Taiwan Beri Amaran Akan Tembak Jatuh Dron China Jika Mereka Ceroboh Pulau Pratas

Amaran itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taiwan selepas mereka mengesan kehadiran dron-dron China berlegar berhampiran pulau itu,berkemungkinan untuk mengintip aktiviti tentera Taiwan di pulau itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Taiwan mengancam untuk menembak jatuh mana-mana dron milik China jika ia menceroboh ruang udara  Pulau Pratas milik Taiwan yang terletak Laut China Selatan.

Amaran itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taiwan selepas mereka mengesan kehadiran dron-dron China berlegar berhampiran pulau itu,berkemungkinan untuk mengintip aktiviti tentera Taiwan di pulau itu.

Menurut Lee Chung-wei yang mengetuai Jawatankuasa Hal Ehwal Laut yang mengawal selia Agensi Pengawal Pantai Taiwan berkata,  mereka mempunyai ‘’rules of engagement’’ dalam menangani sebarang pencerobohan dari udara di pulau itu.

“(Dalam rules of engagement) selepas ia (dron) memasuki ruang udara, ia akan ditangani sepertimana rules of engagement. Jika kita terpaksa melepaskan tembakan, kita akan menembaknya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini aset-aset udara China hanya berlegar di luar zon udara terhad (restricted air zone) iaitu 6km daripada kawasan pantai di Pulau Pratas dan tidak pernah menceroboh.

Pihak berkuasa Taiwan juga akan meningkatkan kemampuan sistem pertahanan udara mereka di Pulau Pratas berikutan kehadiran dron-dron China itu.

Jika Taiwan mengambil tindakan menembak jatuh dron-dron China yang menceroboh ruang udara terhadap di Pulau Pratas, ia bakal menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara sehingga boleh membawa kepada peperangan.

Selain Pulau Pratas, Taiwan turut menduduki Pulau Taiping (Itu-Aba) yang terletak di Kepulauan Spratly, tetapi sehingga kini tidak pernah mengesan kehadiran dron-dron China.

Pulau Pratas

Kenyataan Chung-wei itu disuarakan ketika China mengerah kapal pengangkut pesawatnya “Liaoning” dan lima buah kapal-kapal pengiring untuk mengadakan latihan di perairan berhampiran dengan Taiwan.

Tidak cukup dengan itu, China turut mengerahkan puluhan pesawat-pesawat pejuang, pengebom dan peronda maritimnya untuk menceroboh Air Defence Identification Zone (ADIZ) Taiwan sejak beberapa hari lepas.

Menurut penganalisis pertahanan, kehadiran begitu banyak pesawat-pesawat pejuang China di ADIZ Taiwan itu adalah sebahagian daripada latihan atau simulasi serangan terhadap kapal-kapal perang musuh.

Pulau Pratas ini yang terletak berhampiran dengan Hong Kong, juga menjadi salah satu isu yang meningkatkan lagi ketegangan di antara China dan Taiwan.

Semalam, kapal destroyer Amerika Syarikat daripada kelas Arleigh Burke, USS John S.McCain (DDG-56) melakukan pelayaran rutin di Selat Taiwan, tindakan yang dianggap provokatif oleh pihak China.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaDronPualu TaipingPulau PratasTaiwan