Syarikat Taiwan Didakwa Bekal Komponen Kit UMPK Bagi Bom-Bom Luncur Russia

Syarikat pengeluar "alat ganti automotif" dari Taiwan itu didakwa membekalkan bahagian yang digunakan dalam mekanisme servo kit UMPK (Unifitsirovannyi Modul Planirovaniya i Korrektsii) yang berfungsi untuk meningkatkan ketepatan bom yang digunakan oleh Tentera Udara Russia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Satu laporan oleh penganalisis Ukraine mendedahkan bahawa bom luncur (glide bomb) yang digunakan Russia terhadap Ukraine mengandungi komponen yang dihasilkan oleh sebuah syarikat dari Taiwan.
Syarikat pengeluar “alat ganti automotif” dari Taiwan itu didakwa membekalkan bahagian yang digunakan dalam mekanisme servo kit UMPK (Unifitsirovannyi Modul Planirovaniya i Korrektsii) yang berfungsi untuk meningkatkan ketepatan bom yang digunakan oleh Tentera Udara Russia.
Menurut laman web pertahanan Ukraine, Militarnyi, penganalisis Ukraine terbabit Vadim Labas mendedahkan bahawa syarikat Taiwan itu, “TRC-Auto” atau Rongcherng Suspenparts.
Syarikat yang berpangkalan di Taiwan itu dilaporkan telah mengubah suai dan membekalkan komponen yang “…didakwa digunakan untuk menghasilkan bom berpanduan tepat atas permintaan tentera Russia.”
Salah satu komponen penting dalam bom luncur yang digunakan oleh pesawat pejuang Russia adalah servomekanisme, yang berfungsi mengembangkan sayap pada modul yang dipasang pada kit UMPK.
“…Dokumen yang dikongsi oleh Vadim Labas itu memperincikan pengubahsuaian pada produk ‘servo controller’ dengan nombor model CP500-130-01-M. Pengubahsuaian itu didakwa mengukuhkan peranti tersebut bagi menyokong berat modul sayap selepas versi sebelumnya dianggap terlalu rapuh….”
Pesawat pejuang Russia mengugurkan bom luncur dengan UMPK.
Pendedahan yang dilakukan oleh penganalisis Ukraine itu adalah penting, kerana salah satu kelebihan utama Tentera Udara Russia sepanjang tahun lalu adalah penggunaan bom luncur yang dilengkapi dengan kit UMPK.
Kit UMPK itu membolehkan pesawat pejuang dan pengebom Tentera Udara Russia meningkatkan ketepatan dan keupayaan serangan jarak jauh dengan ketara.
Menurut Institut Kajian Peperangan (Institute for the Study of War), bom-bom luncur itu adalah bom yang telah diubahsuai daripada bom-bom yang biasa digunakan oleh Tentera Udara Russia seperti FAB-250, FAB-500 dan FAB-1500 dengan melengkapkannya dengan kit peluncuran dan pembetulan UMPK.
Menurut institut terbabit, bom-bom luncur itu bukan sahaja dilengkapi dengan kit UMPK tetapi ia juga dilengkapi sistem panduan laser dan juga sistem panduan satelit untuk meningkatkan ketepatan bedilannya sehingga ke jarak 16 kaki berbanding 160 kaki sebelum ini.
Kesemua bom luncur yang lebih pintar itu boleh digugurkan oleh pesawat-pesawat pejuang Su-30, Su-34 dan Su-35.
“Bom-bom luncur terbabit boleh ‘terbang’ sejauh hampir 200km sebaik sahaja ia digugurkan oleh pesawat-pesawat pejuang ke sasaran yang mahu dibedilnya,” kata institut itu sambil menambah, dengan jarak sebegitu, pesawat terbabit dapat mengelak daripada dibedil oleh sistem pertahanan udara Ukraine.
Bom luncur dengan kit UMPK
Bom FAB-250 dengan kit UMPK
Institut itu memberikan contoh bagaimana bom luncur yang menggunakan bom FAB-250 dengan berat 100kg boleh menyebabkan kemusnahkan pada radius 400 kaki manakala bagi bom FAB-500 pula dengan berat 500kg, radius kemusnahannya adalah 800 kaki.
Bagi bom FAB-1500 pula dengan berat lebih 1,500kg pula, radius kemusnahan akibat bedilannya adalah 1,600 kaki.
“Dengan bom FAB-1500 yang dilengkapi dengan kit UMPK, ia boleh menyebabkan kemusnahan terhadap kubu-kubu bawah tanah sedalam kira-kira 20 meter daripada permukaan tanah,”kata penganalisis sambil menambah bahawa adalah amat sukar bagi sistem pertahanan udara Ukraine untuk menangani bom-bom luncur dilengkapi dengan kit UMPK itu.
Sistem-sistem pertahanan udara sebagaimana dioperasikan oleh tentera Ukraine tidak dibangunkan untuk menangani bom-bom luncur yang asalnya adalah bom-bom “bodoh” tanpa sebarang sistem panduan dan dibawa oleh pesawat pejuang Russia.
“Sistem pertahanan udara Ukraine gagal memintas bom-bom luncur yang digugurkan oleh pesawat pejuang Russia. Ini adalah suatu bentuk ancaman kepada Ukraine, bom-bom seberat 500 kilogram yang boleh ‘terbang’ untuk jarak tertentu selepas ia dilengkapi dengan sayap-sayap (kit UMPK),” jurucakap Pemerintahan Tentera Udara Ukraine Yuriy Inhat dilaporkan berkata sebelum ini. — DSA

 

 

Bom LuncurRussiaTaiwanUMPK
Comments (0)
Add Comment