Russia Cari Jalan Selesai Masalah Pengeluaran Rendah Su-57 “Felon”

Pada ketika ini, Russia hanya menghasilkan di antara 10 hingga 15 buah Su-57 dalam tempoh setahun, jauh ketinggalan berbanding Amerika Syarikat yang menghasilkan lebih daripada 50 buah F-35 manakala China pula mengeluarkan kira-kira 120 buah J-20 “Mighty Dragon” dalam tempoh 12 bulan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berhadapan dengan kemungkinan pengenalan pesawat pejuang F-16 dan pesawat-pesawat pejuang buatan Barat oleh Ukraine, Moscow dilaporkan sedang cuba untuk meningkatkan lagi pengeluaran pesawat pejuang generasi kelimanya, Su-57 “Felon”.

Pada ketika ini, Russia hanya menghasilkan di antara 10 hingga 15 buah Su-57 dalam tempoh setahun, jauh ketinggalan berbanding Amerika Syarikat yang menghasilkan lebih daripada 50 buah F-35 manakala China pula mengeluarkan kira-kira 120 buah J-20 “Mighty Dragon” dalam tempoh 12 bulan.

Usaha untuk meningkatkan pengeluaran pesawat pejuang Su-57 itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pertama ROSTEC Vladimir Artyakov yang bercakap kepada agensi berita Russia, Izvestia baru-baru ini.

“Kami sentiasa mematuhi obligasi kepada Kementerian Pertahanan Russia. Pada ketika ini pesawat pejuang (Su-57) sedang menjalani ujian dengan Tentera Udara Russia. Pada tahun ini, kerjasama dengan UAC (United Aircraft Corporation) merancang untuk meningkatkan produksi Su-57 dengan banyak,” kata beliau.

Buat permulaan, pihak ROSTEC dan UAC merancang untuk meningkatkan produksi bersiri pesawat pejuang Su-57 kepada 22 buah bermula pada tahun depan.

Tentera Udara Russia merancang untuk memiliki 76 buah pesawat pejuang generasi kelima, Su-75 “Felon” pada tahun 2028.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran pesawat pejuang termoden Russia itu terutamanya akibat sekatan ekonomi negara-negara Barat, namun dalam masa yang sama ia juga memberikan peluang.

Ia memberikan peluang kepada ROSTEC, UAC dan United Engine Corporation (UEC) untuk melengkapkan pesawat pejuang Su-57 dengan enjin baru, dikenali dengan nama “Izdelie 30.”

Pada ketika, pesawat-pesawat Su-57 yang dilengkapi dengan enjin baru sedang menjalani pelbagai ujian.

Sekiranya ujian yang dijalankan itu terbukti berkesan, ia akan meningkatkan lagi kemampuan pesawat generasi kelima itu.

“Walaupun dilengkapi dengan enjin tahap pertama, namun pesawat Su-57 tetapi ia tetap memenuhi keperluan asas sebagai pesawat pejuang generasi kelima,” kata Artyakov.

Enjin tahap kedua pesawat Su-57 yang dinamakan “Izdelie 30” itu dikatakan adalah enjin pesawat pejuang generasi keenam yang dilengkapi dengan teknologi “flat nozzle” dan “variable thrust vector.”

Pada ketika ini, pesawat-pesawat Su-57  menggunakan enjin tahap pertama iaitu NPO Saturn Product 117 yang merupakan varian kepada enjin AL-41F-1S yang dibangunkan daripada enjin pesawat Su-35.

Menurut penganalisis, penggunaan enjin tahap kedua, Izdelie 30 itu akan meningkatkan daya tujahan (thrust) pesawat Su-57 itu dan keberkesanan penggunaan minyak, selain mengurangkan berat keseluruhan pesawat generasi kelima itu serta kerja-kerja penyelenggarannya.

Berlainan dengan pesawat generasi keempat, pesawat Su-57 boleh mengekalkan kelajuan supersonik sepanjang misi dilakukannya, walaupun sedang berhadapan dengan musuh.

Enjin “Izdelie 30”

 

“Pesawat generasi keempat berada dalam kelajuan subsonic dalam sebahagian besar masanya dan akan hanya berada pada kelajuan supersonik ketika melaksanakan misi kombat, tetapi pesawat Su-57 direkabentuk untuk terbang dalam kelajuan supersonik hampir sepanjang masa,” kata pegawai Sukhoi Design Bureau.

Selain naiktaraf enjin, pesawat Su-57 dipertingkatkan dengan aplikasi Artificial Intelligence (AI).

Peralatan-peralatan baru yang diuji pada pesawat pejuang generasi kelima itu akan membolehkan sistem komputer pada Su-57 untuk melakukan penerbangan, seterusnya membolehkan juruterbang untuk fokus terhadap tugas-tugas kritikal yang lain.

Menurut Ketua Pengarah UAC Yuri Slyusar, pesawat Su-57 yang dinaiktaraf itu bukan sahaja akan dipandu sepenuhnya oleh sistem komputer, tetapi juga dalam aspek penyediaan sistem persenjataannya.

Su-57 yang dinaiktaraf itu juga akan memiliki tahap otomasi yang tinggi ketika di dalam suasana kombat. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

EnjinfeaturedIzdeli 30RussiaSU-57
Comments (2)
Add Comment