(DEFENCE SECURITY ASIA) – Algeria dikatakan bakal menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat pejuang generasi kelima buatan Russia, Su-57 “Felon”, yang diperolehinya bagi menyaingi negara jirannya, Maghribi yang memperkuatkan tentera udaranya dengan perolehan varian terkini F-16 Block 70/72 dan kini bercadang membeli F-35 hasil bantuan “sahabat lamanya.”
Siapakah “sahabat lama” Maghribi, jawapannya ada di penghujung artikel.
Penghantaran pertama 14 pesawat pejuang Russia halimunan itu dijangka bermula pada selepas tahun 2025 sehingga 2027 dan terdapat juga laporan menyatakan bahawa Algeria juga bercadang memperolehi sejumlah pesawat pejuang Su-34.
Hubungan kedua-dua negara Afrika Utara itu tegang disebabkan isu Sahara Barat, menyebabkan mereka berbelanja besar untuk meningkatkan kemampuan angkatan tentera masing-masing.
Maghribi mengakui sebahagian besar daripada Sahara Barat itu sebagai wilayahnya dan disokong oleh Amerika Syarikat dan Israel namun kedudukan itu ia tidak perakui oleh masyarakat antarabangsa.
Pendirian Maghribi itu telah dibantah oleh Republik Demokratik Arab Sahrawi dan cabang tenteranya Barisan Polisario (Polisario Front) yang mendakwa ia mewakili penduduk di Sahara Barat yang mahukan ia menjadi negara yang bebas.
Kerajaan Algeria berada di belakang Republik Sahrawi dan Barisan Polisario dalam pertikaiannya dengan Maghribi.
Dikala Maghribi meningkatkan pembelian senjata bagi angkatan tenteranya daripada Amerika Syarikat dan Israel serta negara-negara Barat, Algeria pula mengeratkan hubungan ketenteraannya dengan Moscow dan melengkapkan angkatan tenteranya dengan peralatan buatan Russia.
Pada 2018, Algeria membeli 18 buah pesawat pejuang Su-35 untuk menyokong tentera udaranya yang dilengkapi dengan pesawat-pesawat pejuang Su-30 serta MiG-29SM dan setahun selepas itu, Maghribi telah melakukan perolehan 25 buah F-16 Block 70 daripada Amerika Syarikat.
Tentera Udara Maghribi telah pun mempunyai sejumlah 23 buah pesawat F-16 daripada varian terdahulu, dimana ia juga bercadang untuk menaiktarafnya kepada varian terkini F-16 Block 70 bagi menyaingi kemampuan Tentera Udara Algeria.
Selain F-16, Maghribi juga diperkuatkan dengan pesawat-pesawat pejuang Mirage F1, F-5 dan Alpha Jet, tetapi secara keseluruhannya penganalisis pertahanan menyatakan kekuatan udara Rabat masih ketinggalan berbanding Algeria.
Negara Afrika Utara yang masih mengekalkan sistem beraja amat rapat dengan negara-negara Barat serta NATO dan turut memperolehi persenjataanya daripada Israel yang membekalkan dron seperti Heron dan dron berani mati, Harop.
Maghribi juga telah dibekalkan dengan sistem pertahanan udara Barak buatan Israel manakala beberapa bulan lepas, laporan media juga menyatakan bahawa ia akan dibekalkan dengan kereta kebal Merkava oleh Tel Aviv.
Hubungan Maghribi dan Israel sebenarnya telah lama terjalin secara rahsia sejak Perang Enam Hari pada 1967 lagi.
Menyedari bahawa Algeria sedang diambang perolehan pesawat pejuang generasi kelima Su-57 “Felon”, Maghribi juga dilaporkan telah memohonkan kepada Amerika Syarikat untuk membenarkannya memperolehi pesawat pejuang F-35.
Rabat bimbang perolehan Su-57 buatan Russia oleh Algeria akan menyebabkan kekuatan udaranya ketinggalan berbanding negara jirannya itu.
Sebab itulah, Maghribi dikatakan menggunakan bantuan “rakan lamanya” iaitu Israel untuk mendapatkan pesawat pejuang F-35 daripada Amerika Syarikat bagi mengimbangi perolehan Su-57 oleh Algeria. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com