Singapura Tamatkan Perkhidmatan Kapal Selam Kelas-Challenger, RSS Conqueror dan RSS Chieftain

Kapal selam kelas-Challenger  itu adalah kapal selam bekas Tentera Laut Diraja Sweden kelas Sjöormen buatan syarikat Kockums dan mula berkhidmat dengan Tentera Laut Republik Singapura pada tahun 1990-an.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Laut Republik Singapura (RSN) secara rasmi menamatkan perkhidmatan dua buah kapal selam terakhir kelas-Challenger, iaitu RSS Conqueror dan RSS Chieftain dalam satu majlis di RSS Singapura – Pangkalan Tentera Laut Changi pada 25 November 2024.
Majlis itu dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut republik itu, Laksamana Muda (RADM) Sean Wat, yang menandakan penyerahan tugas terakhir daripada kapal selam kelas Challenger kepada kapal selam kelas Invincible.
Kapal selam kelas-Challenger  itu adalah kapal selam bekas Tentera Laut Diraja Sweden kelas Sjöormen buatan syarikat Kockums dan mula berkhidmat dengan Tentera Laut Republik Singapura pada tahun 1990-an.
Keseluruhannya Tentera Laut Republik Singapura memiliki empat buah kapal selam kelas-Challenger, dengan dua buah kapal selam jenis itu, RSS Challenger dan RSS Centurion telah pun ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 2015.
Kapal-kapal selam kelas-Challenger yang ditamatkan perkhidmatan pada hari ini, RSS Conqueror dan RSS Chieftain masing-masing ditauliahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan ketika itu, Dr Tony Tan Keng Yam, pada 22 Julai 2000 dan 24 Ogos 2002.
Bersama dengan kumpulan pertama kru kapal selam RSN yang menerima latihan di Sweden, kapal selam kelas-Challenger memainkan peranan penting dalam pembangunan keupayaan operasi kapal selam Tentera Laut Republik Singapura.
(pic kredit Singapore MINDEF)
Sepanjang perkhidmatannya dengan Tentera Laut Republik Singapura, kapal selam itu telah berjaya melaksanakan misi melindungi kepentingan maritim dan kedaulatan wilayah Singapura melalui pelbagai operasi di laut.
Kapal selam kelas-Challenger itu juga memperkukuhkan hubungan pertahanan Singapura melalui penyertaan dalam latihan dua hala dan pelbagai hala.
Komander Armada, RADM Kwon Hon Chung, yang menyampaikan penghormatan kepada kedua-dua kapal selam dan generasi krew mereka dalam majlis penamatan perkhidmatan itu.
Beliau berkata, “Pencapaian RSS Conqueror dan RSS Chieftain adalah bukti kepada ketabahan dan keberanian krew perintis kapal selam Tentera Laut Republik Singapura, yang telah meletakkan asas kukuh untuk pertumbuhan 7th Flotilla dan Tentera Laut Republik Singapura sebagai sebuah pasukan operasi kapal selam bertaraf dunia.”
“Di atas kapal selam inilah kami mula menyelami dunia bawah laut sekitar 29 tahun lalu dan mengatasi pelbagai cabaran dengan bantuan berharga daripada Tentera Laut Diraja Sweden.”
“Bermula dari asas yang sederhana ini, kapal selam perintis Tentera Laut Republik Singapura telah meneroka batas keupayaan kapal selam dengan tekad dan ketabahan, dan kini beroperasi dengan platform tercanggih dengan yakin.”
(pic credit Singapore MINDEF)
Kapal-kapal selam kelas-Challenger Tentera Laut Republik Singapura yang ditamatkan tauliahnya hari ini itu digantikan oleh kapal selam terbaru republik itu daripada kelas-Invincible.
Pada 2013 dan 2017,  Singapura dan syarikat (Thyssen Krupp Marine System — TKMS) daripada Jerman menandatangani dua kontrak berasingan untuk memperolehi empat buah kapal selam Type 218SG kelas-Invicible yang diberikan nama “Invincible”, “Impeccable”, “Illustrious” dan “Inimitable.”
Sehingga kini, dua buah kapal selam Type 218SG kelas-Invincible iaitu RSS Impeccable dan RSS Invincible telah pun berada di Singapura manakala dua buah lagi kapal selam kelas itu masih diperingkat pembinaan di Jerman.
RSS Impeccable tiba di Singapura pada Julai tahun lepas manakala RSS Impeccable tiba di republik itu pada Ogos lepas.
Kedua-dua buah kapal selam yang masih dibina di Jerman, “Inimitable” dan “Illustrious” dijangka akan hanya dihantar ke Singapura pada 2028.
Berikutan penamatan khidmat dua buah kapal selam kelas-Challenger hari ini, Tentera Laut Republik Singapura secara keseluruhannya memiliki empat buah kapal selam – terdiri daripada — dua buah kapal selam kelas-Invincible (RSS Invincible, RSS Impeccable) dan dua buah kapal selam kelas-Archer (RSS Archer dan RSS Swordsman) yang merupakan kapal selam terpakai kelas-Vastergotland Tentera Laut Sweden.
Kapal selam Type 218SG “Invincible” di Pangkalan Laut Changi. (kredit MINDEF Singapore)
Kapal selam kelas-Vastergotland milik Singapura yang telah dinaiktaraf itu juga dibina oleh syarikat Kockums.
Bagaimanapun pada 2028, bilangan keseluruhan kapal selam milik Tentera Laut Republik Singapura akan meningkat kepada enam buah apabila dua buah kapal selam kelas-Invincible iaitu RSS Inimitable dan RSS Illustrious siap dibina di Jerman.
Di samping majlis hari ini, Panglima Tentera Laut Republik Singapura RADM Sean Wat, turut merasmikan pelancaran Sekolah Latihan Kapal Selam (Submarine Training School – STS) yang baru.
Sekolah ini dinamakan sempena RSS Challenger untuk memperingati kapal selam kelas Challenger.
Pelancaran STS ini merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah latihan kapal selam tempatan Tentera Laut Republik Singapura.
Kapal selam Type 218SG kelas-Invincible milik Tentera Laut Republik Singapura “RSS Impeccable”
STS adalah sebuah pusat latihan serba lengkap yang menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan realisme, keberkesanan, dan kecekapan latihan.
 Ia juga dilengkapi simulator yang membolehkan latihan individu dan pasukan dijalankan dalam persekitaran selamat dengan senario yang realistik.
Majlis ini turut dihadiri oleh kru lama dan baharu RSS Conqueror dan RSS Chieftain, serta pegawai kanan RSN. — DSA

ChallengerfeaturedKapal SelamSingapura