Singapura Buka Kedutaan Di Tel Aviv, Israel

Kedua-dua negara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1969, tidak lama selepas negara itu keluar daripada Malaysia pada 1965.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Selepas menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selama 57 tahun, Singapura akhirnya akan membuka kedutaan di Tel Aviv, Israel, bagi mengukuhkan hubungan inovasi antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu.

Pengumuman itu telah dilakukan oleh Menteri Luarnya Dr Vivian Balakrishnan selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Yair Lapid di Baitulmuqaddis.

Republik itu bagaimanapun tidak memberikan tarikh bila ia akan membuka kedutaannya di Israel itu.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya daripada Israel pada ketika itu, Bibi Netanyahu. (Haaretz)

 

Kementerian Luar Singapura menerusi satu kenyataan memaklumkan, kedutaan itu akan menjadi pusat tumpuan dan menyokong syarikat Singapura yang ingin menjalin kerjasama dengan rakan kongsi Israel.

Balakrishnan berkata kedua-dua negara harus memperkasa kerjasama dalam bidang baharu seperti teknologi pertanian makanan, teknologi kesihatan, Kecerdasan Buatan (AI), dan pendigitalan, setelah dunia pulih dari pandemik COVID-19.

Menteri Luar Israel itu pula berkata ia menyambut baik keputusan Singapura untuk membuka kedutaan di negara itu, sekaligus membuktikan hubungan yang baik dan unik di antara kedua-dua negara.

Pesawat AEW&C Singapura yang menggunakan peralatan buatan Israel.

 

Kedua-dua negara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1969, tidak lama selepas negara itu keluar daripada Malaysia pada 1965.

Menurut portal berita negara itu, Times of Israel, Tel Aviv dan Singapura mempunyai hubungan yang rapat terutamanya di dalam bidang perniagaan dan keselamatan.

Israel telah pun membuka kedutaan di Singapura.

Keputusan Singapura membuka kedutaan di Israel berlaku tidak lama selepas Ketua Staf Angkatan Tentera Israel Aviv Kohavi melawat Singapura bulan lepas untuk menghadiri Singapore Air Show 2022.

Pesawat amaran awal (AEW) Gulfstream G550 Tentera Udara Singapura

 

Beberapa syarikat pertahanan terkenal Israel menyertai Singapore Air Show termasuk  Rafael, Elbit, Aeronautics dan Israeli Aerospace Industries.

Pada Oktober tahun lepas juga, Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz turut melawat Singapura, tetapi lawatan beliau ke republik itu telah dirahsiakan oleh Tentera Israel, sebagaimana didakwa oleh portal berita Times of Israel itu.

Menurut pegawai tentera Israel yang dipetik oleh portal berita itu, lawatan Gantz ke Singapura dirahsiakan di atas permintaan Singapura.

Singapura dan Israel memilik hubungan ketenteraan yang panjang dengan Tel Aviv didakwa membantu republik itu membangunkan angkatan tenteranya selepas ia keluar daripada Malaysia pada tahun 1965.

UAV IAI “Heron” milik Tentera Singapura. (Janes)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

Republik itu juga merupakan destinasi eksport kedua terbesar di Asia bagi produk-produk keluaran Israel terutamanya sistem pertahanan dan keselamatan.

Pada Ahad, Singapura menzahirkan hasrat menubuhkan pejabat perwakilan di Ramallah bagi memudahkan kerja-kerja penyelarasan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bagi rakyat Palestin bernilai S$10 juta.

Pejabat perwakilan itu bertanggungjawab menyelaras bantuan teknikal dan menyokong usaha wakil Singapura untuk pihak berkuasa tempatan.

Hasrat itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan ketika bertemu rakan sejawatannya Dr Riyad Al-Malki di Ramallah. — DSA

 

featuredIsraelKedutaanSingapura