Benarkah Kapal Selam Nuklear China “Kemalangan”, 100 Krew Terkorban?

Laporan tentang “kehilangan” sebuah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Shang (Type 093) selepas mengalami kemalangan di Selat Taiwan timbul beberapa hari selepas China melancarkan latihan perang di sekitar perairan Taiwan pada bulan lepas.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Persoalan sama ada sebuah kapal selam berkuasa nuklear China benar-benar “hilang” di Selat Taiwan masih belum terjawap sehingga kini, walaupun “kemalangan” itu didakwa berlaku kira-kira sebulan yang lepas.

Bukan sahaja persoalan tentang kapal selam berkuasa nuklear itu belum terjawab, malah spekulasi mengenai nasib yang menimpa kapal selam itu dan krewnya semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini.

Kesemua krew kapal selam terbabit dikatakan maut akibat kemalangan itu.

Laporan tentang “kehilangan” sebuah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Shang (Type 093) selepas mengalami kemalangan di Selat Taiwan timbul beberapa hari selepas China melancarkan latihan perang di sekitar perairan Taiwan pada bulan lepas.

Latihan perang besar-besar oleh tentera China itu disifatkan sebagai “amaran” kepada Taiwan dan pendokong utamanya, Amerika Syarikat.

Kapal selam kelas-Shang

 

Kementerian Pertahanan China tidak pernah menyentuh mengenai spekulasi “kehilangan” kapal selamnya itu dalam sidang medianya, walaupun media-media di luar China “kecoh” tentang dakwaan kemalangan menimpa aset bawah laut Beijing itu.

Media-media di China, yang sebahagian besarnya dikawal oleh kerajaan atau Parti Komunis China juga tidak melaporkan sebarang berita berkenaan dakwaan mengenai kapal selamnya itu.

“Kehilangan” kapal selam China itu juga berlaku pada waktu yang hampir sama dengan “kehilangan” Menteri Pertahanan China Li Shangfu yang tidak kelihatan di khalayak ramai sejak sebulan yang lalu, walaupun media asing menyatakan beliau sedang disiasat berkenaan dakwaan “rasuah.”  

Ditanya mengenai dakwaan insiden menimpa kapal selam berkuasa nuklear China, Kementerian Pertahanan Taiwan bulan lepas sekadar menyatakan bahawa ia tidak mempunyai “sebarang maklumat untuk disahkan”.

Bagaimanapun pada minggu ini, nada Kementerian Pertahanan Taiwan agak berlainan apabila ditanya tentang dakwaan berkaitan kemalangan menimpa sebuah kapal selam China di Selat Taiwan yang memisahkan pulau itu dengan Tanah Besar China.

Kini Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan “perkara berkaitan itu menyentuh sensitiviti. Bukan hak kami untuk memberikan komen.”

Kapal selam nuklear kelas-Jin (Type 094A) milik China diiringi sebuah lagi kapal selam konvensional miliknya sedang dalam rondaan.

 

Laporan-laporan juga menyatakan bahawa “kemalangan” tentang kapal selam China kini dikatakan berlaku di Laut Kuning (Yellow Sea) dan bukan di Selat Taiwan, sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

Timbalan Pengarah Pejabat Perisikan Kementerian Pertahanan Taiwan Mejar Jeneral Huang Wengqi dilaporkan berkata bahawa beliau tidak memberikan komen tentang dakwaan “kemalangan” yang menimpa kapal selam kelas-Shang China kerana maklumatnya mengenainya adalah “amat rahsia.”

Laporan-laporan tentang “kemalangan” menimpa kapal selam nuklear kelas-Shang China mula muncul pada 21 Ogos, dengan laporan turut menyebut kira-kira 100 orang krew kapal selam itu maut akibat kejadian itu.

Kapal selam nuklear kelas-Shang merupakan antara kapal selam paling berkemampuan milik China, walaupun ia digambarkan sebagai kapal selam berkuasa nuklear generasi kedua.

Terdapat juga varian-varian kapal selam kelas-Shang yang telah dinaiktaraf iaitu, Type 093A dan juga Type 093B.

Kemalangan menimpa kapal selam baru China bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang baru.

 Pada 25 April 2003, sekumpulan nelayan China yang sedang menangkap ikan terjumpa periskop di tengah-tengah lautan dan melaporkannya kepada pihak tentera negara itu yang kemudiannya menghantar dua buah kapal perangnya untuk memeriksa periskop yang akhirnya dipastikan adalah milik sebuha kapal selam negara itu.

Krew sebuah kapal selam China.

 

Pada mulanya, Tentera Laut China menjangkakan bahawa periskop itu adalah milik sebuah kapal selam musuh, sama ada kapal selam daripada Korea Selatan atau Jepun yang sedang di dalam misi perisikan di dalam perairan China.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mereka amat terperanjat apabila mendapati periskop itu dimiliki oleh kapal selam mereka sendiri iaitu kapal selam kelas-Ming dengan nombor pengenalan “361.”

Kapal selam kelas-Ming ini adalah kapal selam berteknologi lama yang direkabentuk berdasarkan rekabentuk kapal selam kelas-Romeo Russia.

Pemeriksaan lanjut terhadap kapal selam yang tersadai di tengah-tengah lautan itu lebih telah membawa penemuan yang menyedihkan selepas mereka telah menemui jasad 70 krew kapal selam diesel/elektrik itu  termasuk seorang pegawai kanan tentera laut negara itu dikenali dengan nama Komodor Chen Fuming.

Insiden membabitkan kapal selam kelas-Ming “361” itu adalah di antara insiden terbesar membabitkan tentera China pada waktu aman.

Bagaimanapun maklumat terperinci mengenai insiden  itu masih tidak diketahui memandangkan negara China  “amat berahsia” tentang apa yang berlaku di dalam angkatan tenteranya terutama yang melibatkan insiden-insiden kemalangan membabitkan anggotanya. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

ChinafeaturedKapal SelamShang
Comments (0)
Add Comment