Nilai Kemusnahan Senjata Amerika, Barat Di Ukraine Cecah US$10 Bilion (RM45 Bilion)

Sejak bermulanya konflik di Ukraine pada Februari tahun lepas, Washington telah membekalkan bantuan ketenteraan bernilai US$47 bilion (RM211 bilion) kepada negara Eropah Timur itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nilai kemusnahan pelbagai senjata buatan Amerika Syarikat dan Barat di medan-medan peperangan di Ukraine dilaporkan telah mencecah US$10 bilion (RM45 bilion).

Anggaran kasar itu adalah berdasarkan kepada laporan oleh New York Times pada Julai yang menyatakan bahawa 20 peratus daripada senjata-senjata yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat dan Barat mengalami kerosakan atau musnah dalam tempoh dua minggu selepas serangan balas musim bunga Ukraine dilancarkan.

Sejak bermulanya konflik di Ukraine pada Februari tahun lepas, Washington telah membekalkan bantuan ketenteraan bernilai US$47 bilion (RM211 bilion) kepada negara Eropah Timur itu.

Kereta kebal Leopard dan kereta perisai Bradley yang ditinggalkan oleh tentera Ukraine dalam serangan balas di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine.

 

Bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat dan Barat itu berjaya menghentikan kemaraan tentera Russia di Ukraine, tetapi ia masih tidak cukup untuk membolehkan Kiev merampas kembali kawasan-kawasan yang kini diduduki oleh tentera Russia.

Pentadbiran Presiden Jo Biden dilapor sedang memohon tambahan US$13 biliion (RM58.5 bilion) dalam bantuan ketenteraan untuk disalurkan kepada Ukraine.

Bantuan ketenteraan Amerika Syarikat kepada Ukraine termasuklah aset-aset yang berharga dan menelan belanja yang tinggi seperti kereta kebal M1 Abrams, sistem pertahanan udara Patriot dan sistem lancaran roket berganda “HIMARS.”   

Namun apa yang malang adalah banyak daripada peralatan-peralatan tentera yang disumbangkan oleh Amerika Syarikat dan Barat kepada Ukraine berhadapan dengan kadar kemusnahan yang tinggi terutamanya ketika operasi serangan balas musim bunga oleh tentera Ukraine.

Namun bagi penganalisis ketenteraan Barat, kadar kemusnahan yang tinggi itu adalah “dijangkakan” kerana tentera Ukraine berhadapan dengan kubu-kubu pertahanan Russia yang lengkap dan medan-medan periuk api.

Keadaan sebegini sentiasa menyebabkan kemusnahan yang besar bagi pihak yang berhadapan dengan musuh yang memiliki masa yang cukup untuk mempersiapkan kubu-kubu pertahanan mereka.

Tahap kemusnahan yang tinggi dialami oleh tentera Ukraine menyebabkan mereka mengubah strategi dan “memperlahankan” serangan balas itu.

Tentera Ukraine kini telah menukar strategi dan memfokuskan kepada serangan-serangan artilleri terhadap kedudukan tentera Russia.

Menurut blog pemantau persenjataan “Oryx”, ia telah mengesan sebanyak 23 kemusnahan kenderaan Infantry Fighting Vehicle (IFV) “Bradley” yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine.

Sebanyak 21 lagi kenderaan IFV “Bradley” telah mengalami kerosakan manakala lagi lima buah telah ditinggalkan di medan peperangan.

Anggota tentera Russia dengan kenderaan IFV CV-90 yang berjaya ditawannya.
Kenderaan kombat AMX-10RC yang berjaya ditawan itu telah ditunda oleh tentera Russia untuk dianalisa oleh pakar senjata.

 

Sehingga akhir Julai, Amerika Syarikat dipercayai telah membekalkan hampir separuh daripada 190 buah kenderaan IFV “Bradley” yang ia telah janji untuk dibekalkan kepada Ukraine.

Adalah dianggarkan kira-kira 60 buah kenderaan perisai M113, 57 buah kenderaan MRAP (Mine Resistant Ambush Protected) Maxxpro dan lebih 100 buah kenderaan Humvees turut telah musnah di medan peperangan di Ukraine.

Kesemua kenderaan terbabit juga dianggarkan bernilai ratusan jutaan dollar Amerika. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmerikafeaturedMusnahSenjataUkraine
Comments (0)
Add Comment