(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia dikatakan bakal mengikut jejak langkah Malaysia untuk memperolehi kapal selam “Scorpene”, sekaligus menjadi negara kedua di Asia Tenggara menggunakan kapal selam buatan Perancis itu.
Mungkin selepas melihat keberkesanan kapal selam Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), telah mendorong Indonesia untuk memilih kapal selam yang sama.
Portal pertahanan antarabangsa, Janes dalam laporannya mengatakan bahawa Kementerian Kewangan Indonesia telah meluluskan permohonan Kementerian Pertahanan negara itu untuk mendapatkan pinjaman luar berjumlah US$2.16 bilion (RM8.64 bilion) bagi membeli dua buah kapal selam.
Walaupun laporan portal itu tidak menyatakan jenis dua buah kapal selam yang akan dibeli oleh Indonesia, tetapi negara jiran itu sejak beberapa tahun lepas telah pun menyatakan hasratnya untuk memperolehi kapal selam “Scorpene.”
Ia selepas cadangan perolehan tiga buah lagi kapal selam buatan Korea Selatan berhadapan dengan masalah.
Menurut Janes, pengesahan tentang perolehan kapal selam oleh Indonesia itu terkandung dalam sepucuk surat daripada Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati kepada Menteri Pertahanan Prabowo Subianto pada 15 Mac lalu.
Surat itu didedahkan kepada Janes ketika pameran IMDEX di Singapura baru-baru ini.
Selain kapal selam, Kementerian Pertahanan Indonesia turut menyenaraikan 25 perolehan aset pertahanan akan dibeli menggunakan kaedah pinjaman luar pada tahun ini, yang sebagaimana dilaporkan oleh media negara itu termasuk pesawat amaran awal (AEWC) dan sistem pesawat tanpa pemandu, Bayraktar TB2 serta Anka.
Menerusi kaedah pinjaman luar itu, Jakarta dijangka memperolehi dua buah pesawat amaran awal buat permulaan,dengan siling pinjaman luar dianggarkan sebanyak US$800 juta (RM3.2 bilion).
Menurut portal pertahanan antarabangsa itu, Indonesia bercadang membeli kapal selam yang memilik berat sekitar 1,800 tan (di permukaan) dan 2,800 tan (menyelam) serta dilengkapi dengan sistem AIP (Air Independent Propulsion).
Pakej pembelian kapal selam oleh Indonesia itu turut termasuk lojistik dan penyelenggaran, latihan dan pemindahan teknologi.
Selain Indonesia, Filipina juga telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap perolehan kapal selam “Scorpene” untuk tentera lautnya.
Kedua-dua kapal selam kelas-Perdana Menteri, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak milik negara telah ditauliahkan ke dalam TLDM pada 2009. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com