Sayap Penerbangan Tentera Laut Bangladesh Minat Dron Bayraktar TB2, Bakal Buat India Lagi Gusar

Selain dron Bayraktar TB2 yang dibangunkan oleh syarikat Baykar Technology daripada Turkiye, sayap penerbangan Tentera Laut Bangladesh dilaporkan turut menunjukkan minat untuk memperolehi varian terkini dron Bayraktar TB3 yang boleh berlepas dan mendarat daripada landasan yang lebih pendek.
Sayap Penerbangan Tentera Laut Bangladesh Minat Dron Bayraktar TB2, Bakal Buat India Lagi Gusar
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berkemungkinan besar kerana berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh dron Bayraktar TB2 buatan Turkiye digunakan oleh Tentera Darat Bangladesh, kini sayap penerbangan Tentera Laut negara itu juga sedang menimbang untuk memperolehi dron yang sama untuk kegunaannya pula.
Laman web pertahanan Bangladesh melaporkan bahawa sayap penerbangan Tentera Laut Bangladesh sedang mengkaji untuk memperolehi dron, bukan sahaja untuk membolehkannya memantau Teluk Benggala (Bay of Bengal) tetapi juga memusnahkan sebarang ancaman.
Sumber-sumber yang dipetik oleh laman web itu memberitahu bahawa sayap penerbangan Tentera Laut Bangladesh itu berminat untuk memiliki dron Bayraktar TB2 yang kini dioperasikan oleh Tentera Darat Bangladesh.
Selain dron Bayraktar TB2, sayap penerbangan Tentera Laut Bangladesh dilaporkan turut menunjukkan minat untuk memperolehi varian terkini dron Bayraktar TB3 yang boleh berlepas dan mendarat daripada landasan yang lebih pendek.
Sebenarnya, syarikat Baykar Technology daripada Turkiye membangunkan dron Bayraktar TB2 itu untuk operasi daripada kapal pengangkut helikopter (Landing Helicopter Dock) TCG Anadolu yang telah diubahsuai untuk menjadi kapal pengangkut dron pertama dunia.
Dron Bayraktar TB3 dijangka mula beroperasi untuk Angkatan Tentera Turkiye bermula pada tahun ini.
Sementara itu, bukan sahaja sayap penerbangan Tentera Laut Bangladesh dilihat bakal memperkenalkan dron dalam perkhidmatannya, tetapi Tentera Darat negara itu juga dilaporkan bercadang menambah pemilikan dron Bayraktar TB2.
Bangladesh
Dron Bayraktar Tb2 milik Bangladesh
Angkatan Tentera Bangladesh dilaporkan telah memperolehi 12 buah Medium Altitude Long Endurance (MALE) Bayraktar TB2 daripada Turkiye dengan enam daripadanya sudah pun beroperasi sejak 2023 manakala enam lagi bakal diterima dalam jangkamasa terdekat.
Dron-dron ini digunakan untuk misi perisikan, pengawasan, dan peninjauan (ISR), serta operasi-operasi ofensif.
 Perolehan itu dibuat setahun selepas Pakistan memperoleh dan menggunakan dron Bayraktar TB2 tersebut di lokasi-lokasi strategik berhampiran sempadannya dengan India
 Bangladesh mendakwa bahawa dron Bayraktar TB2 ini digunakan untuk tujuan pertahanan.
Pemilikan dan pengoperasian dron Bayraktar TB2 oleh Tentera Darat Bangladesh bukan sahaja telah meningkatkan kemampuannya di dalam aspek ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaisance), tetapi juga telah kebimbangan di kalangan negara jirannya yang tidak berapa senang dengan pemilikan aset itu oleh Bangladesh.
Akhir tahun lepas, negara jiran Bangladesh iaitu India telah mengancam untuk menembak jatuh dron Bayraktar TB2 milik Tentera Darat Bangladesh itu sekiranya dron ISR itu terbang hampir dengan sempadan kedua-dua negara.
Bayraktar TB2
 
Pegawai kanan tentera India yang dipetik oleh media tempatan berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan selama ini menyatakan bahawa tidak ada dron dibenarkan terbang di dalam jarak 10 km daripada sempadan India-Bangladesh.
“Kita mempunyai kemampuan untuk menjejaki dan menembak jatuh mana-mana dron atau objek yang menceroboh ruang udara India, “ menurut pegawai berkenaan ketika ditanya tentang laporan berkenaan penerbangan dron Bayraktar TB2 milik tentera Bangladesh berhampiran sempadan kedua-dua negara itu dipercayai untuk misi pengintipan dan perisikan.
India dilaporkan mengetatkan kawalan keselamatan di sempadannya dengan Bangladesh selepas sebuah dron Bayraktar TB2 milik tentera Bangladesh dengan identifikasi transponder TB2R1071 terbang berhampiran sempadan kedua-dua negara di kawasan Meghalaya, Tripura dan Mizoram.
 Dron Bayraktar TB2 milik Bangladesh itu dipercayai berlepas daripada Pangkalan Udara negara itu Tejgaon di ibu negara, Dhaka.
Dron itu dipercayai dioperasikan oleh Tentera Darat Bangladesh ke-67 (67th Army) dan sedang melakukan misi ISR rutin.
Satu lagi sumber ketenteraan India menyatakan kepada media tempatan bahawa kehadiran dron milik Bangladesh itu telah dikesan oleh radarnya.
Bayraktar TB3
“Dron ini terbang pada altitud yang sangat tinggi sehingga tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” kata sumber keselamatan, sambil menambah bahawa dron Bayraktar milik Bangladesh telah dikesan oleh radar Tentera Udara India (IAF).
“IAF akan membangkitkan isu ini dengan pihak berkuasa Bangladesh,” menurut sumber keselamatan.
Sumber keselamatan India memberitahu media tempatan bahawa ini bukan kejadian terpencil.
Aktiviti dron Bangladesh telah dikesan berhampiran sempadan Bengal Barat, menunjukkan corak peningkatan pergerakan dron di sepanjang sempadan antarabangsa dengan Bangladesh.
Susulan ketidakstabilan politik dan pergolakan yang berterusan di Bangladesh, sumber keselamatan India menyatakan bahawa pengesanan dron Bayraktar TB2 milik tentera Bangladesh berhampiran sempadan kedua-dua negara menekankan cabaran-cabaran keselamatan yang semakin meningkat  di rantau itu.
Walaupun dron Bangladesh tidak meceroboh ruang udara India, namun jaraknya yang dekat dengan sempadan antarabangsa memerlukan langkah berjaga-jaga dan tindakan proaktif oleh New Delhi.
India didakwa telah mengerahkan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia ke kawasan strategik dinamakan Korridor Siliguri atau “Chicken Neck”, jalur tanah sempit dan strategik yang menghubungkan tanah besar India dengan negeri-negeri di bahagian timur lautnya.

 

Sumber keselamatan India turut mengakui bahawa perkembangan ini adalah sesuatu yang membimbangkan. 
Pada ketika ini, hubungan dua hala di antara Bangladesh dan negara jirannya India disifatkan sebagai “tidak berapa baik” terutamanya selepas kejatuhan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina yang pro-India Ogos 2024 selepas beliau digulingkan berikutan demonstrasi besar-besaran di negara itu.
Bekas Perdana Menteri Bangladesh itu telah melarikan diri ke India dan kini tinggal dalam buangan di negara jiran Bangladesh itu.
Kerajaan Bangladesh yang kini dipimpin oleh pemenang hadiah Nobel Muhamad Yunus telah beberapa kali mendesak supaya India mengektradisi Sheikh Hasina,beberapa menteri kabinetnya dan bekas pegawai kerajaan untuk diadili atas beberapa tuduhan termasuk pembunuhan tetapi tidak dilayan oleh New Delhi.
Disebabkan keengganan itu, hubungan di antara kedua-dua negara jiran itu semakin tegang.
Hanya beberapa hari lalu, Defence Security Asia melaporkan bahawa India didakwa telah mengerahkan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia ke kawasan strategik dinamakan Korridor Siliguri atau “Chicken Neck”, jalur tanah sempit dan strategik yang menghubungkan tanah besar India dengan negeri-negeri di bahagian timur lautnya.
Rafale
India bukan sahaja mengerahkan sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 ke kawasan berhampiran dengan Siliguri Corridor itu, tetapi ia juga telah menempatkan skuadron pesawat pejuang Rafale miliknya di korridor itu.
Tentera Udara India telah menempatkan satu skuadron pesawat pejuang Rafale di Pangkalan Udara Hashimara, bersama pesawat-pesawat pejuang MiG.
Kerahan sistem pertahanan udara S-400, pesawat pejuang Rafale buatan Perancis dan sistem-sistem persenjataan yang lain oleh India itu adalah sebagai reaksi balas terhadap peningkatan aktiviti udara oleh negara-negara jirannya, China dan Bangladesh yang dianggap boleh mengancam keselamatan oleh New Delhi.
Tentera Bangladesh dan China dikatakan telah meningkatkan aktiviti udara mereka di kawasan-kawasan bersempadan dengan korridor itu, sekaligus mencetus kebimbagan India.
Selama beberapa dekad, Koridor Siliguri itu dianggap sebagai titik paling lemah dalam pertahanan India, iaitu satu jalur tanah sempit selebar 20 hingga 22 kilometer di Bengal Barat yang menghubungkan wilayah timur laut dengan seluruh tanah besar India.
Kebimbangan utama adalah kemungkinan serangan terancang oleh musuh, khususnya dari arah China melalui Doklam, yang boleh memutuskan hubungan timur laut India daripada tanah besar negara itu.
Korridor Siliguri atau “Chicken Neck”
Peningkatan kerahan aset-aset ketenteraan India di kawasan Siliguri Corridor itu juga adalah sebagai respons terhadap peningkatan “kemesraan” hubungan di antara Bangladesh dibawah pemimpin sementaranya, Mohamad Yunus dengan China.
Setakat April 2025, laporan-laporan yang tidak dapat disahkan mendakwa bahawa Bangladesh sedang menimbangkan kemungkinan untuk menubuhkan sebuah pangkalan udara disokong oleh China di daerah Lalmonirhat di utara negara itu.
Langkah itu sekiranya menjadi kenyataan bakal menimbulkan kebimbangan di negara jiran, India, memandangkan lokasi cadangan itu terletak berhampiran Koridor Siliguri.
— DEFENCE SECURITY ASIA

BangladeshBayraktar TB2IndiaSempadan
Comments (0)
Add Comment