(VIDEO) Saksikan Serangan Dron Berani Mati Hezbollah, 18 Anggota Tentera Israel Cedera

(VIDEO) Rakaman video dirakam oleh orang awam menunjukkan sebuah daripada dua dron berani mati dilancar pejuang Hezbollah itu menjunam dengan laju dan membedil pusat komuniti merangkap ibu pejabat tentera Israel di perkampungan Arab al-Aramshe menyebabkan 18 orang anggota tentera Israel cedera.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penduduk awam yang tinggal di utara Israel telah merakam video serangan dron berani mati dilancar oleh kumpulan bersenjata Hezbollah terhadap pusat komuniti yang dijadikan ibu pejabat tentera Israel di sebuah perkampungan di utara Israel ketika anggota tentera negara Yahudi itu sedang berkumpul.

Rakaman video dirakam oleh orang awam menunjukkan sebuah daripada dua dron berani mati dilancar pejuang Hezbollah itu menjunam dengan laju dan membedil pusat komuniti merangkap ibu pejabat tentera Israel di perkampungan Arab al-Aramshe menyebabkan 18 orang anggota tentera Israel cedera.

Setakat ini tidak diketahui jenis dron berani mati dilancar oleh pejuang Hezbollah itu, tetapi berkemungkinan besar ia dibekalkan oleh Iran.

Perkampungan Arab al-Aramshe itu terletak tidak jauh daripada sempadan Israel-Lubnan dan dihuni oleh penduduk Arab Badwi warga Israel.

Menurut tentera Israel yang mengesahkan kejadian serangan Hezbollah itu, enam daripada 18 orang anggota tentera Israel itu mengalami kecederaan parah.

Hezbollah yang mengeluarkan kenyataan sejurus selepas insiden serangan dron berani mati itu pula berkata, serangan dilakukan terhadap pusat komuniti terbabit kerana ia telah digunakan oleh tentera Israel sebagai ibu pejabatnya untuk berkumpul dan mengadakan pertemuan.

Menurut media-media Israel berbahasa Hebrew pula: “Pejuang-pejuang Hezbollah telah mengenalpasti lokasi dimana tentera Israel berkumpul dan mereka telah melancarkan serangan yang kompleks membabitkan dua serangan peluru berpandu anti-kereta kebal dan dua serangan dron berani mati.”

Laporan media Israel juga menyatakan bahawa sebuah daripada peluru berpandu anti-kereta kebal dilancar oleh pejuang Hezbollah itu mengenai kenderaan tentera Israel, tetapi tidak diketahui sama ada ia telah mengakibatkan kematian atau kecederaan.

Gambar-gambar dilokasi kejadian juga menunjukkan sebuah kereta terbakar.

Helikopter tentera Israel telah bergegas ke lokasi kejadian untuk memindahkan anggotanya yang cedera ke hospital, dalam apa yang mereka nyatakan adalah suatu insiden serangan yang serius terhadap anggota dan infrastruktur tenteranya sejak konflik tercetus.

Pusat komuniti di perkampungan Arab al-Aramshe yang diserang oleh dron-dron berani mati Hezbollah itu dilaporkan telah ditukar menjadi ibu pejabat kompeni tentera Israel yang bertugas  di kawasan terbabit dan dijadikan lokasi untuk mereka berkumpul.

Terdapat juga laporan mengatakan ia merupakan lokasi kompeni perisikan tentera Israel.

Sementara itu stesen televisyen Israel, Kann menyatakan tiada kedengaran sebarang siren ketika dron-dron berani mati Hezbollah itu terbang di ruang udara perkampungan terbabit dalam misi mereka membedil pusat komuniti yang dijadikan ibu pejabat kompeni tentera Israel.

Tentera Israel juga tidak melancarkan sebarang peluru berpandu sistem pertahanan udara “Iron Dome” untuk memintas dron-dron berani mati yang dilancarkan oleh pejuang Hezbollah itu.

Media Israel juga mengesahkan bahawa dron-dron berani mati Hezbollah itu telah membedil sasarannya dengan tepat tanpa dipintas oleh sistem pertahanan udara tentera negara itu.

Sejak konflik tercetus di sempadan Israel-Lubnan, lebih dairpada 100,000 penduduk Yahudi di utara negara itu telah dipindahkan ke kawasan lain bagi mengelak mereka menjadi mangsa kepada serangan-serangan dilakukan oleh kumpulan bersenjata Hezbollah. – DSA

DronfeaturedHezbollahIsrael
Comments (0)
Add Comment