(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pejuang generasi kelima F-35 milik Amerika Syarikat terhempas di Pangkalan Tentera Udara Eielson di Alaska, dengan video menunjukkan pesawat pejuang tersebut menjunam ke bumi sambil juruterbang masih bergayut pada payung terjun selepas berjaya menyelamatkan diri.
Insiden itu yang berlaku pada 12.49 tengah hari (waktu tempatan) pada 28 Jan telah menyebabkan pesawat pejuang canggih itu mengalami “kerosakan yang amat besar” di pangkalan tentera udara yang menempatkan 354th Fighter Wing, menurut kenyataan.
“Juruterbang pesawat pejuang F-35 itu selamat dan telah dipindahkan ke Hospital Tentera Darat Basset untuk pemerhatian lanjut,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh komander pangkalan tentera udara itu.
Komander itu juga menyatakan bahawa Tentera Udara Amerika Syarikat akan menjalankan “siasatan menyeluruh dengan harapan dapat mengurangkan kemungkinan insiden seperti ini daripada berulang.”
Video yang telah tersebar di platform media-media sosial menunjukkan pesawat pejuang F-35 yang malang itu dengan gear pendaratannya yang dikeluarkan , seolah “melayang-layang” ke kiri dan kanan sebelum mengalami hentaman yang dahsyat.
Seorang individu dengan payung terjun, dipercayai juruterbang, kelihatan melayang turun ke daratan tidak jauh dari lokasi kejadian.
(PLEASE LIKE AND SUBSCRIBE OUR YOU TUBE CHANNEL)
Insiden ini menandakan insiden besar pertama melibatkan pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat bagi tahun 2025.
Ia berlaku kira-kira tujuh minggu selepas sebuah dron MQ-9 Reaper ditembak jatuh di Syria oleh Pasukan Demokratik Syria yang bersekutu dengan Amerika Syarikat.
Pada Mei lalu, sebuah pesawat pejuang F-35B yang dikendalikan oleh juruterbang Tentera Udara Amerika Syarikat terhempas di New Mexico sejurus selepas berlepas.
Menurut kenyataan Tentera Udara Amerika Syarikat ketika itu, juruterbang terbabit sempat melenting keluar pada altitud rendah tetapi mengalami kecederaan serius.
Pesawat pejuang generasi kelima F-35 merupakan program pertahanan paling mahal dalam sejarah Amerika Syarikat dan penyumbang utama kepada pendapatan syarikat pertahanan Lockheed Martin, dengan menyumbang kira-kira 30 peratus daripada keuntungan syarikat.
Baru-baru ini, Lockheed Martin mengumumkan bahawa keuntungan syarikat bagi tahun 2025 dijangka lebih rendah daripada yang diramalkan, sebahagiannya disebabkan oleh kelewatan pelaksanaan program naik taraf bagi pesawat pejuang F-35.
Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat merancang untuk membelanjakan sebanyak US$1.7 trillion bagi program pesawat pejuang F-35, termasuk memperolehi 2,500 pesawat dalam beberapa dekad akan datang.
Pangkalan Udara Eielson telah dipilih pada tahun 2016 untuk menempatkan 54 buah pesawat pejuang F-35 dalam projek pembangunan pangkalan udara yang menelan kos lebih daripada setengah bilion dollar Amerika.
Projek pembangunan pangkalan udara itu merangkumi pembinaan 36 bangunan baru serta puluhan unit kediaman untuk menempatkan kira-kira 3,500 anggota tentera udara aktif bersama tanggungan mereka.
— DEFENCE SECURITY ASIA