Sistem Pertahanan Udara S-400 “Triumf” Russia Guna Komponen Elektronik Negara Barat?

Peluru berpandu 40N6E yang digunakan oleh sistem pertahanan udara S-400 itu adalah yang terbaru dan paling jauh jarak bedilannya, menjadikan ia sistem pertahanan udara paling strategik milik Russia. Peluru berpandu itu baru sahaja diperkenalkan beberapa tahun lalu, dengan jarak effektif adalah sejauh 400km.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakar persenjataan Ukraine mendapati peluru berpandu milik sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” Russia turut memiliki beberapa komponen elektronik  yang berasal daripada negara-negara Barat.

Mereka mendapati peluru berpandu 40N6E yang digunakan oleh sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” yang digeruni itu diperbuat oleh negara-negara “musuh” Russia.

Pakar persenjataan Ukraine yang membuat penemuan itu telah memaklumkan kepada negara-negara Barat yang “membekalkan” komponen elektronik itu kepada peluru berpandu sistem pertahanan udara S-400 itu.

Peluru berpandu 40N6E yang digunakan oleh sistem pertahanan udara itu mempunyai untuk membedil sasaran sejauh 400km.

Selain Russia, peluru berpandu berkuasa tinggi itu turut digunakan oleh Turkiye.

Disebabkan “keupayaannya yang tinggi”, Turkiye tidak mahu melepaskan sistem pertahanan udara S-400 itu walaupun berhadapan dengan tindak balas keras daripada Amerika Syarikat yang mengeluarkan Ankara daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35.

Diperolehi pada 2019, sistem pertahanan S-400 yang diperolehi Turkiye itu menjadi punca kepada ketegangan hubungan di antara Ankara dan Washington.

Ankara menandatangani perjanjian dengan Moscow pada 2017 untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 Russia yang dianggarkan bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion).

Rejimen pertama sistem S-400 itu telah dihantar ke Turkiye pada 2019.

Turkiye membuat keputusan untuk mendapatkan sistem pertahanan udara S-400 selepas rundingannya untuk mendapatkan sistem pertahanan udara Patriot daripada Amerika Syarikat gagal.

Amerika Syarikat tidak memberikan alasan mengapa ia enggan menjual sistem pertahanan udara Patriot kepada Turkiye.

Radar S-400

 

Kegagalan memperolehi sistem pertahanan udara Patriot itu membuatkan Turki bertekad untuk mendapatkan S-400 daripada Russia yang menawarkan pakej menarik kepada Ankara termasuk pemindahan teknologi dan membuat sistem peluru berpandu itu di Turki sendiri.

Sejak bermulanya konflik di antara Russia dan Ukraine pada Februari tahun lepas, pakar-pakar senjata Ukraine telah melakukan kajian terhadap senjata-senjata milik Russia, di dalam usahanya untuk mengenalpasti komponen yang diperbuat di negara-negara Barat.

Sebaik sahaja menemui komponen-komponen negara Barat pada sistem senjata Russia, pakar Ukraine akan memaklumkan penemuan itu kepada negara-negara Barat terbabit.

Tujuan utama aktiviti pakar-pakar senjata Ukraine itu adalah untuk memberi tekanan kepada negara-negara Barat itu supaya menghalang penjualan komponen penting itu kepada Russia  dan mematuhi sekatan ekonomi antarabangsa yang dikenakan terhadap Russia itu.

Baru-baru ini, komponen buatan syarikat Switzerland turut ditemui dalam sistem peluru berpandu anti-pesawat lancaran bahu “Verba” buatan Russia.

Peluru berpandu 40N6E yang digunakan oleh sistem pertahanan udara S-400 itu adalah yang terbaru dan paling jauh, menjadikannya sistem pertahanan udara paling strategik milik Russia.

Peluru berpandu itu baru sahaja diperkenalkan beberapa tahun lalu, dengan jarak effektifnya adalah sejauh 400km serta dilengkapi dengan active radar seeker.

Bagaimanapun maklumat tentang sistem panduan bagi S-400 masih tidak konklusif selain ia didakwa boleh beroperasi di mod semi-aktif.

Sasaran utama bagi sistem pertahanan udara S-400 adalah pesawat-pesawat Airborne Early Warning and Control Aircraft (AWACS), pesawat pengangkut, pesawat pejuang dan pesawat bantuan serta serangan elektronik.

Oleh kerana itulah, sistem pertahanan udara S-400 itu juga dipanggil sistem pertahanan udara “anti-AWACS.” — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

BaratfeaturedKomponen ElektrionikRussiaS-400