Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[EKSKLUSIF] Russia Tawar Su-57E Kepada Negara-Negara Asia Tenggara

Bercakap secara eksklusif kepada Defence Security Asia, jurucakap ROSOBORONEXPORT JSC berkata, pihaknya turut menawarkan pesawat-pesawat pejuang lincah Su-35 dan Su-30SME kepada tentera udara negara-negara Asia Tenggara.

0 12,642
(DEFENCE SECURITY ASIA) – ROSOBORONEXPORT JSC, sebuah agensi kerajaan Russia yang bertanggungjawab terhadap export senjata dan teknologi pertahanan menawarkan pesawat pejuang generasi kelimanya, Su-57E kepada tentera udara negara-negara Asia Tenggara.
Bercakap secara eksklusif kepada Defence Security Asia, jurucakap ROSOBORONEXPORT JSC berkata, pihaknya turut menawarkan pesawat-pesawat pejuang lincah Su-35 dan Su-30SME kepada tentera udara negara-negara Asia Tenggara.
“Antara cadangan yang dikemukakan oleh Russia bagi meningkatkan keupayaan tempur tentera udara negara-negara Asia Tenggara termasuklah pesawat pejuang pelbagai peranan generasi kelima Su-57E serta pesawat pejuang super-maneuverable pelbagai peranan Su-35 dan Su-30SME.”
Menurut jurucakap itu lagi, pesawat pejuang generasi kelima Su-57E direka bagi menguasai ruang udara dan pada masa sama mampu melaksanakan serangan terhadap sasaran di darat dan laut dengan keberkesanan tinggi.
Katanya, reka bentuknya yang mempunyai tahap kebolehkesanan radar yang rendah memberikan kelebihan dalam operasi secara senyap dan sukar dikesan.
“Antara ciri utama pesawat Su-57E termasuklah sistem radar terkini dengan teknologi Active Electronically Scanned Array (AESA), sistem peperangan elektronik (EW) moden, sistem sokongan pintar kepada juruterbang, keupayaan manuver ekstrem (super maneuverability), serta dilengkapi dengan pelbagai persenjataan udara terkini.”
“Gabungan teknologi-teknologi canggih ini menjadikan Su-57E sebagai antara aset strategik udara paling berbahaya yang ditawarkan oleh Rusia kepada negara-negara rantau ini,” kata beliau kepada Defence Security Asia.
Sementara itu beliau berkata, pesawat pejuang Su-35 terkenal dengan keupayaannya mengesan sasaran udara pada jarak yang jauh, selain mampu membawa pelbagai jenis persenjataan serta beroperasi dalam misi jarak jauh.
Su-57
Su-57
Manakala, pesawat pejuang pelbagai peranan Su-30SME pula katanya, menawarkan kelebihan tambahan menerusi konfigurasi dua tempat duduk yang membolehkannya melaksanakan penerbangan dalam tempoh yang panjang, termasuk merentasi kawasan laut.
Ciri ini juga menjadikannya sesuai digunakan dalam latihan juruterbang serta misi-misi operasi jarak jauh yang memerlukan kehadiran dua kru penerbangan.
Beberapa negara di Asia Tenggara telah lama menjadikan pesawat pejuang buatan Russia sebagai tunjang utama kekuatan angkatan udara mereka, memanfaatkan kelebihan teknologi tempur dan kos yang kompetitif berbanding pesawat-pesawat buatan Barat.
Antara negara paling menonjol ialah Vietnam, yang merupakan pengguna terbesar aset udara Russia di rantau ini, termasuk pesawat pejuang Su-27 dan Su-30MK2.
Pesawat-pesawat pejuang ini memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan udara negara itu, terutama dalam konteks ketegangan Laut China Selatan.
Malaysia pula mengoperasikan pesawat pejuang Su-30MKM, sebuah varian yang direka khas mengikut keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pesawat ini dianggap antara yang paling canggih dalam kelasnya, dengan sistem peperangan elektronik dari Perancis, paparan kokpit dari Afrika Selatan, dan teknologi enjin serta lain-lain komponen serta persenjataan termaju Russia.
Su-57
Su-57
Indonesia turut menggunakan pesawat buatan Russia, termasuk Su-27SK dan Su-30MK2, dengan Jakarta memanfaatkan pesawat-pesawat ini pejuang bagi memperkukuhkan kawalan ruang udara dan menjalankan operasi pemintasan di kawasan-kawasan strategik.
Negara itu juga pernah menyatakan minat untuk mendapatkan Su-35, walaupun proses pembelian pesawat pejuang itu terganggu akibat tekanan geopolitik dan ancaman sekatan antarabangsa.
Myanmar juga dilaporkan mengoperasikan Su-30SME, hasil perjanjian pembelian dengan Russia beberapa tahun lalu.
Sementara itu, bercakap kepada Defence Security Asia, jurucakap ROSOBORONEXPORT  itu juga menyatakan hasrat untuk memperluaskan kerjasama industri dengan negara-negara Asia Tenggara dalam bidang teknikal ketenteraan.
Cadangan yang dikemukakan oleh pihak Russia ini berasaskan kepada kepakaran unik yang dimiliki serta kejayaan pelaksanaan pelbagai projek terdahulu di negara-negara pelanggan.
“Ketika ini, Russia menawarkan bentuk kerjasama teknologi dalam bidang persenjataan dan peralatan ketenteraan melibatkan pelbagai cabang pasukan keselamatan kepada negara-negara Asia Tenggara, termasuk kesediaan untuk melaksanakan pengeluaran bersama serta pembangunan sistem senjata dan kelengkapan ketenteraan.”
Kata beliau, antara bidang kerjasama yang dilihat berpotensi termasuklah pelaksanaan pengeluaran berlesen bagi senjata api ringan, peluru dalam pelbagai kaliber, sistem peluru berpandu pertahanan udara, sistem peperangan elektronik, peluru berpandu anti-kereta kebal, kenderaan perisai dan pelbagai lagi peralatan ketenteraan moden di rantau ini.
Su-35
Sukhoi Su-35 (Flanker-E)
ROSOBORONEXPORT dalam satu kenyataan berasingan juga menyatakan bahawa ia menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei di Langkawi, Malaysia.
Penyertaan kali ini menandakan kemunculan semula syarikat tersebut di pameran berprestij itu selepas kali terakhir mengambil bahagian pada tahun 2019.
“Malaysia merupakan rakan kerjasama utama dan lama ROSOBORONEXPORT di rantau Asia Tenggara, dan kerjasama dalam bidang ketenteraan-teknikal antara kedua-dua negara mempunyai prospek kukuh untuk terus berkembang pada masa hadapan.”
“Angkatan Tentera Malaysia masih mengoperasikan pelbagai aset pertahanan yang dibekalkan oleh Rusia sebelum ini, termasuk pesawat, helikopter, peralatan Tentera Darat serta sistem pertahanan udara.”
“Pesawat pejuang Su-30MKM yang menjadi tulang belakang kekuatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini diselenggara oleh syarikat usaha sama Rusia-Malaysia, Aerospace Technology System Corporation (ATSC), yang beroperasi di dalam negara.”
“Ini merupakan contoh jelas kerjasama teknologi yang berjaya, dan kami bersedia untuk memperluaskan lagi bentuk kerjasama ini secara menyeluruh,” kata Ketua Pengarah ROSOBORONEXPORT, Alexander Mikheev.
Para pengunjung pameran LIMA 2025 serta rakan-rakan strategik berpotensi ROSOBORONEXPORT berpeluang menyaksikan pesawat pejuang Su-35S dan Su-30SM beraksi dalam pertunjukan udara oleh pasukan aerobatik terkenal Rusia, Russian Knights.
Myanmar
Su-30SME
Aksi penerbangan dan kemahiran juruterbang Rusia itu sentiasa menjadi tarikan utama dalam mana-mana pertunjukan udara di seluruh dunia.
ROSOBORONEXPORT turut mempamerkan pesawat pengangkut IL-76MD-90A(E) yang mampu membawa sehingga 60 tan kargo sejauh 4,000 kilometer.
Pesawat ini boleh digunakan untuk mengangkut anggota tentera dan peralatan ketenteraan, menjatuhkan payung terjun dan kargo dari udara, serta boleh ditukar pantas menjadi pesawat pemadam kebakaran atau hospital tentera udara bergerak.
Di samping itu, syarikat ini turut mempamerkan helikopter serangan Ka-52E dan Mi-28NME serta helikopter pengangkut tentera Mi-171Sh yang telah terbukti mempunyai prestasi penerbangan tinggi dan kini menjadi antara platform paling mendapat permintaan di Asia Tenggara.
Dalam bidang pertahanan udara, ROSOBORONEXPORT mengetengahkan sistem peluru berpandu antipesawat canggih buatan Rusia yang direka untuk melindungi kawasan pentadbiran, industri, pasukan tentera dan kemudahan strategik sesebuah negara.
Antara sistem yang ditawarkan termasuk sistem peluru berpandu jarak jauh Antey-4000, sistem jarak sederhana S-350E Vityaz dan Viking yang dibangunkan oleh Almaz-Antey Air and Space Defence Corporation.
ROSOBORONEXPORT turut memperkenalkan sistem pertahanan udara jarak dekat dan sangat dekat Pantsir-S1M dan Pantsir-SMD-E, serta sistem pertahanan udara mudah alih Verba (MANPADS) untuk mempertahankan sasaran penting daripada ancaman udara seperti UAV, peluru berpandu kruis dan roket pelancar berganda (MRL).
Su-57
Model pesawat pejuang Su-57E di LIMA 2025
Su-57E
Model Su-57E dan Su-75 Checkmate
Keberkesanan sistem-sistem ini telah dipamerkan kepada dunia semasa sambutan Hari Kemenangan Rusia pada 9 Mei 2025, apabila ia berjaya mempertahankan orang awam dan infrastruktur penting daripada serangan besar-besaran UAV.
Selain itu, ROSOBORONEXPORT juga mempamerkan rangkaian sistem peperangan elektronik (EW) bagi menentang UAV dan peluru berpandu berpanduan tepat.
Turut diketengahkan ialah sistem munisi berkeliaran Kub-E serta UAV peninjau Orlan-10E dan Scat-350M, yang menawarkan penyelesaian efektif untuk operasi ketenteraan dan operasi khas oleh pasukan keselamatan.
Satu lagi segmen penting dalam LIMA 2025 akan memberi tumpuan kepada komponen maritim, di mana ROSOBORONEXPORT akan mempamerkan kapal peronda Projek 22160 dan kapal penyapu periuk api Projek 12701 Alexandrit-E.
Menariknya, pembinaan kapal-kapal ini boleh dilakukan secara tempatan di limbungan kapal Malaysia serta negara-negara lain di rantau ini, sama ada untuk keperluan Tentera Laut, Pasukan Pengawal Pantai, Polis Marin, atau bagi tujuan eksport ke negara ketiga.

Roso

Roso
Antara bahan pameran di booth ROSOBORONEXPORT di LIMA 2025
Keupayaan industri pertahanan Russia dalam membangunkan sistem robotik maritim turut akan diperlihatkan melalui demonstrasi kenderaan bawah laut autonomi tanpa pemandu, Klavesin-1RE.
Sepanjang berlangsungnya LIMA 2025, delegasi ROSOBORONEXPORT akan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil Kementerian Pertahanan dan agensi keselamatan lain, termasuk syarikat-syarikat awam dan swasta dari Malaysia serta negara-negara serantau, bagi meneroka peluang kerjasama dan prospek perluasan kerjasama pada masa hadapan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.