(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Russia dikatakan telah melengkapkan pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 miliknya dengan peluru berpandu udara-ke-udara “R-37M” (RVV-BD)yang boleh menembak jatuh sasaran udara sejauh 300km
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh yang tidak pernah digunakan sebelum ini telah digunakan oleh pesawat Su-30SM dan SU-35S untuk menembak jatuh pesawat pejuang Ukraine pada 1 November.
Pihak berkuasa Russia turut telah menyiarkan penggunaan peluru berpandu terbabit oleh pesawat itu.
Menurut pemerhati ketenteraan antarabangsa, ini adalah kali pertama mereka melihat peluru berpandu udara-ke-udara R-37B digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Russia pada konflik bersenjata di Ukraine.
Pada Oktober lepas, terdapat laporan media mengatakan pesawat pejuang Su-27 milik Tentera Udara Ukraine telah berjaya ditembak jatuh oleh peluru berpandu R-37M yang dilancarkan oleh pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57.
Insiden itu bagaimanapun tidak dapat disahkan oleh Kementerian Pertahanan Russia.
Moscow dikatakan telah meningkatkan penggunaan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti R-37M bagi membolehkan pesawat pejuangnya berada di luar ruang udara tengah dan barat Ukraine yang dikawal ketat oleh sistem pertahanan udara Ukraine serta dipantau rapi oleh pesawat-pesawat amaran awal NATO.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M (RVV-BD) atau AA-13 adalah peluru berpandu moden, dengan komponennya dihasilkan di dalam Russia.
Ia dihasilkan oleh firma Russia terkenal dalam pembangunan sistem peluru berpandu udara-ke-udara iaitu Vympel.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37 itu pada mulanya dibangunkan pada 1980-an untuk pesawat pejuang altitud tinggi, MiG-31 manakala varian terkininya, R-37M mula dibangunkan pada awal tahun 2000.
Walaupun R-37 itu dibangunkan untuk diguna pesawat MiG-31, tetapi varian terkininya iaitu R-37M boleh digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang yang lain termasuk Su-35, Su-30 dan pesawat generasi kelima, Su-57.
Peluru berpandu itu dikatakan mampu meningkatkan kemampuan keseluruhan sesebuah pesawat pejuang itu.
Sama seperti R-37, varian terkini peluru berpandu itu,R-37M juga boleh dilengkapkan dengan kepala peledak nuklear bagi memusnahkan formasi pesawat-pesawat tentera “musuh.”
Penganalisis tentera Barat mengatakan bahawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M direkabentuk khusus untuk menumpaskan pesawat-pesawat amaran awal (AWACS) dan juga sasaran udara berkepentingan tinggi.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Mereka berkata, peluru berpandu R-37M ini amat effektif menumpaskan sasaran udara berkepentingan tinggi jika digandingkan dengan pesawat pejuang generasi kelima Su-57 “Felon.”
Menurut media-media Russia, tentera udara negara itu mula melengkapkan pesawat-pesawat pejuangnya seperti Su-35, Su-30 dan Su-57 dengan peluru berpandu R-37M dua tahun lepas.
Setiap pesawat Su-35 dan Su-30 boleh membawa sehinga empat butir peluru berpandu R-37M. — DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore