(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang pegawai kanan daripada United Aircraft Corporation (UAC), agensi pembuat pesawat kombat Russia menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi kelimanya Su-57 “Felon” sedang dilengkapkan dengan teknologi-teknologi generasi ke-enam.
Bercakap dalam rancangan “Military Acceptance” baru-baru ini, pengarah UAC Jeneral Vadim Badekha berkata, pesawat pejuang Su-57 itu dibangunkan untuk terus beroperasi selama 50 tahun dan sedang dilengkapkan dengan teknologi-teknologi pesawat pejuang generasi ke-enam.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut teknologi-teknologi generasi ke-enam yang sedang diterapkan ke dalam pesawat pejuang Su-57 itu.
“Semasa membangunkan pesawat pejuang Su-57 ini, kami mempertimbangkan prospek sekurang-kurangnya 50 tahun bagi perkembangannya. Oleh itu, sejak awal lagi, para pereka pesawat Su-57 telah memasukkan keupayaan untuk pembangunan dan penyesuaian mengikut keperluan pelanggan serta kehendak zaman.”
“Kami sudah mula memperkenalkan elemen dan teknologi generasi ke-enam ke dalam pesawat ini,” kata Badekha seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Russia, TASS.
Walaupun pegawai kanan UAC itu enggan menjelaskan secara terperinci teknologi generasi ke-enam yang terlibat, namun ia tidak menghalang pemerhati pertahanan dan pakar-pakar penerbangan membuat spekulasi.
Penambahbaikan tersebut berkemungkinan merangkumi penyelesaian modular yang direka untuk memastikan pesawat pejuang Su-57 kekal relevan di masa hadapan serta meningkatkan keupayaannya secara berperingkat.
Salah satu teknologi yang bakal dititikberatkan dalam sebarang usaha menaiktaraf pesawat pejuang Su-57 adalah Artificial Intelligence (AI).
“Pada pesawat Su-57 yang dinaiktaraf itu terdapat set peralatan dengan fungsi-fungsi yang dipertingkatkan seperti Artificial Intelligence (AI) . Pesawat itu juga melakukan ujian penggunaan sistem persenjataan yang baru. Ia juga menguji penggunaan enjin baru pada pesawat itu, “ kata agensi berita, TASS dua tahun lepas.
Peralatan-peralatan baru yang diuji pada pesawat itu akan membolehkan sistem komputer pada Su-57 untuk melakukan penerbangan, seterusnya membolehkan juruterbang untuk fokus terhadap tugas-tugas kritikal yang lain.
Pada 2021, ketua jabatan kokpit di Sukhoi Design Bureau Nikita Dorofeev dilaporkan berkata bahawa di masa depan juruterbang pesawat Su-57 boleh mengawal pesawat itu hanya dengan mengerakkan mata atau suara.
Juruterbang ujian di Sukhoi Design Bureau Rafael Suleimanove pula berkata bahawa dengan penggunaan AI pada pesawat pejuang itu, ia akan membolehkan Su-57 “berbuat apa sahaja ketika di udara.”
Sememangnya Russia sedang menimbangkan kemungkinan untuk membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam.
Awal tahun ini, Pengarah Saintifik Institut Penyelidikan Sistem Penerbangan Negara (GosNIIAS) Russia, Evgeny Fedosov menyatakan bahawa menyatakan negara itu mensasarkan untuk membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enamnya yang dijangkakan boleh beroperasi menjelang tahun 2050.
“Pada masa ini, kami sedang mempertimbangkan konsep pesawat generasi ke-enam, menjalankan penyelidikan, dan bertukar pandangan dengan pakar ketenteraan.”
“Pesawat seperti itu (generasi ke-enam) dijangka muncul sekitar tahun 2050, namun adalah penting untuk memahami dari sekarang bagaimana bentuk konflik bersenjata di masa hadapan,” kata beliau,
Pada ketika ini, beberapa negara seluruh dunia sedang membangunkan program pesawat pejuang generasi ke-enam seperti Amerika Syarikat dengan program Next-Generation Air Dominance (NGAD) manakala Itali-United Kingdom dan Jepun pula mengetengahkan program Global Combat Air Program (GCAP).
Manakala Perancis-Jerman-Sepanyol pula sedang membangunkan Future Combat Air System (FCAS), dan pihak China dengan program pesawat pejuang generasi ke-enam “Baidi.”
Berlainan dengan pesaing-pesaingnya, Russia sehingga kini masih belum lagi mendedahkan program pembangunan pesawat pejuang generasi ke-enam. — DSA