(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam tempoh 10 tahun, Tentera Laut Russia telah menambah 24 buah kapal selam konvensional dan nuklear ke dalam armadanya, peningkatan lapan kali ganda berbanding dekad sebelum itu.
Menurut pemerhati, ia adalah suatu perubahan yang ketara di mana Tentera Laut Russia menerima peningkatan mendadak sumber dan aset-aset yang membolehkan kuasa besar itu memperluaskan operasi kapal selam sehingga ke Atlantik.
Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Viktor Yevtukhov dilaporkan berkata bahawa 20 tahun lalu setiap penambahan aset-aset tentera laut Russia adalah suatu perkara yang besar tetapi pada hari ini (penambahan aset tentera laut) adalah sesuatu yang rutin.
Baru-baru ini, Tentera Laut Russia telah menerima kapal selam konvensional terbarunya dipanggil kelas-Lada atau Project 677 yang dibangunkan untuk menggantikan kapal selam kelas-Kilo yang telah lama berkhidmat dengan negara itu.
Kapal selam kelas-Lada Tentera Laut Russia yang pertama itu dipanggil “Kronstadt.”
Walaupun telah lama berkhidmat dengan Tentera Laut Russia, namun kapal selam konvensional kelas-Kilo masih merupakan tulang belakang kepada kemampuan kapal-kapal selam konvensional Russia.
Moscow mahu menggantikan kapal-kapal selam kelas-Kilo miliknya dengan kapal selam kelas-Lada tetapi usaha tertangguh menyebabkan terpaksa ia menaiktaraf kapal selam kelas-Kilo itu dengan varian naiktaraf dipanggil “Improved Kilo Class.”
Berlainan dengan kapal-kapal selam kelas-Kilo, kapal selam kelas-Lada direkabentuk dengan struktur unibody dan towed sonar bersama-sama dengan beberapa usaha permodenan yang lain.
Pemerhati menyatakan bahawa selain dengan towed sonar, kapal selam kelas-Lada itu juga dilengkapkan dengan conformal sonar yang dikatakan paling lengkap didapati pada sesebuah kapal selam konvensional.
Sistem sonar kapal selam kelas-Lada itu dikatakan adalah kelebihan kritikalnya, membolehkan ia mengesan kapal-kapal selam musuh sebelum kehadirannya dikesan.
Walaupun tidak dilengkapi dengan teknologi Air Independent Propulsion (AIP), namun pemerhati menyatakan kapal selam kelas-Lada itu berkemungkinan dilengkapi dengan teknologi bateri lithium ion yang membolehkan ia berada di bawah permukaan air dengan lebih lama dalam keadaan yang lebih senyap berbanding kapal-kapal selam sebelumnya ini.
Dengan sebuah kapal selam kelas-Lada telah pun dilancarkan, dua masih di dalam pembinaan dan lain-lain yang bakal menyusul, kapal-kapal selam kelas-Lada konvensional bakal memberikan kenyataan kuat tentang kemampuan kapal selam pesisir pantai Russia.
Mengenai sistem persenjataannya, sebagaimana kapal-kapal selam kelas-Kilo yang dilengkapi dengan peluru berpandu kruis “Kalibr” dan torpedo, kapal-kapal selam kelas-Lada juga dijangkakan memiliki kemampuan yang sama atau lebih.
Peluru-peluru berpandu kruis “Kalibr” memiliki beberapa varian dengan jarak bedilan daripada 300km sehinggalah 1,500-2,00km.
Terbaru, terdapat laporan mengatakan bahawa syarikat pembuat peluru berpandu “Kalibr” itu sedang membangunkan varian peluru berpandu yang mampu membedil sasaran sehingga jarak di antara 4,000km dengan 4,500km.
Peluru-peluru berpandu kruis “Kalibr” itu juga boleh dilengkapi dengan peledak nuklear.
Sejak beberapa bulan lepas, Kementerian Pertahanan United Kingdom “rungsing” selepas ia berjaya menjejaki pergerakan beberapa buah kapal selam berkuasa nuklear Russia di perairan berhampirannya menggunakan apa yang disifatkan mereka sebagai laluan-laluan dasar laut yang “pelik” dan tidak pernah digunakan oleh kapal-kapal selam terbabit sebelum ini.
Pegawai-pegawai kanan Tentera Laut Britain berkata kapal-kapal selam Russia itu telah dikesan beroperasi di perairan Atlantik Utara dan Laut Irish (Irish Sea) serta Laut Utara (North Sea).
“Pihak United Kingdom telah mengesan kehadiran kapal-kapal selam Russia di Atlantik Utara dan Laut Irish serta Laut Utara. Mereka (kapal-kapal selam Russia) menggunakan laluan-laluan (kapal selam) yang pelik yang tidak pernah dilalui mereka sebelum ini”. — DSA