Russia Kerah MiG-29, MiG-31 “Halau” Pengebom B-52H Amerika Dari Ceroboh Ruang Udaranya

Dalam satu kenyataan Oleh Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa ia telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang MiG-29 dan MiG-31 untuk memintas “sasaran udara" iaitu dua buah pesawat pengebom strategik B-52H milik Amerika Syarikat yang menghampiri sempadan udara Persekutuan Russia di Laut Barents.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa ia telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang miliknya untuk memintas dan “menghalau” di dua buah pesawat pengebom B-52 milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) daripada memasuki ruang udaranya.

Dalam satu kenyataan, ia berkata bahawa ia telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang MiG-29 dan MiG-31 untuk memintas “sasaran udara yang menghampiri sempadan udara Persekutuan Russia” di Laut Barents.

“Krew-krew pesawat pejuang Russia telah mengenalpasti sasaran udara itu sebagai dua buah pesawat pengebom strategic B-52H milik Tentera Udara Amerika Syarikat.”

“Ketika pesawat-pesawat pejuang Russia menghampiri kedua-dua buah pesawat pengebom strategic B-52H milik Amerika Syarikat, ia telah memperbetulkan laluan penerbangannya, bergerak jauh daripada sempadan udara Russia,” menurut Kementerian Pertahanan Russia itu.

Laporan juga menyatakan bahawa kedua-dua buah pesawat pengebom strategik B-52H Amerika itu diiringi oleh pesawat-pesawat pejuang F-18 milik Tentera Udara Finland.

Tentera Amerika Syarikat kerap kali melakukan penerbangan di ruang udara antarabangsa, dalam operasi yang didakwanya dilakukan di ruangan udara berkecuali dan selari dengan undang-undang antarabangsa.

Bagaimanapun Moscow dikatakan telah memberikan tindak balas yang agresif terhadap penerbangan-penerbangan pesawat pejuang dan pesawat pengebom Amerika Syarikat itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada Jun lepas, Russia memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas terhadap penerbangan-penerbangan dron dan pesawat pengintip Amerika Syarikat terutamanya di ruang udara Laut Hitam.

Ia menuduh penerbangan terbabit digunakan untuk membantu serangan oleh tentera Ukraine terhadap kedudukan tentera Russia di Semenanjung Crimea.

Moscow memberi amaran bahawa penerbangan-penerbangan pesawat pengintip Amerika Syarikat iitu akan mengakibatkan konflik secara langsung dengan Amerika Syarikat.

Pada Jun lalu, Menteri Pertahanan Russia Andrei Belousov telah mengarahkan pegawai-pegawainya untuk menyediakan pelan “tindak balas” bagi menangani penerbangan dron-dron Amerika Syarikat dan NATO di ruang udara Laut Hitam.

Amaran oleh Menteri Pertahanan Russia Andrei Belousov itu merupakan suatu mesej jelas bahawa Moscow kini bersedia untuk mengambil tindakan yang lebih keras terhadap dron-dron milik Amerika Syarikat dan NATO, sekaligus meningkatkan lagi kemungkinan pertentangan secara langsung antara Russia dan NATO diketuai Washington.

Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa terdapat “peningkatan kekerapan” penerbangan pesawat pengintip dan dron-dron Amerika serta NATO di ruang udara Laut Hitam.

Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa terdapat “peningkatan kekerapan” penerbangan dron-dron Amerika dan NATO di ruang udara Laut Hitam.

Ia mendakwa dron-dron Amerika dan NATO melakukan kerja-kerja “perisikan dan membidik sasaran bagi senjata-senjata moden yang dibekalkan oleh Washington kepada Ukraine untuk membedil kemudahan-kemudahan Russia.

“Ia menunjukkan peningkatan daripada segi penglibatan Amerika Syarikat dan negara-negara anggota NATO dalam konflik di Ukraine, menyebelahi rejim Kiev,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia.

Ia juga memberitahu bahawa penerbangan-penerbangan pesawat pengintip dan dron itu telah meningkatkan kemungkinan berlakunya “insiden” melibatkan pesawat-pesawat tentera Russia dengan negara-negara anggota Pakatan Ketenteraan diketuai oleh pegawai tentera Amerika Syarikat.

MiG-31
MiG-29K

 

“Negara anggota NATO akan bertanggungjawab sekiranya insiden itu benar-benar berlaku,” katanya.

Menurut Menteri Pertahanan Russia itu lagi, ia juga menunjukkan peningkatan penglibatan Amerika Syarikat dan NATO menyebelahi Ukraine dalam konflik itu dengan Moscow.”

Russia dikatakan mahu bertindak balas terhadap dron-dron milik Amerika Syarikat dan NATO yang beroperasi di Laut Hitam untuk untuk melaksanakan misi-misi mengumpul maklumat di Laut Hitam.

Maklumat-maklumat yang diperolehi oleh pesawat perisikan itu termasuk daripada pesawat peronda maritim P-8 Poseidon dan dron MQ-4C Triton milik Amerika Syarikat itu kemudiannya disalurkan kepada tentera Ukraine bagi membolehkan mereka membedil kedudukan tentera Russia terutamanya di Crimea yang lebih tepat.

Desakan supaya Russia bertindak balas terhadap dron-dron Amerika Syarikat yang beroperasi di Laut Hitam semakin hebat terutamanya selepas serangan peluru berpandu Ukraine menggunakan peluru berpandu MGM-140 ATACMS dibekalkan oleh Washington terhadap Semenanjung Crimea.

Serangan peluru berpandu ATACMS oleh Ukraine itu terhadap pantai popular di Crimea telah mengorbankan penduduk awam dan mencederakan lebih daripada 100 penduduk yang sedang bermandi-manda di pantai itu. — DSA

AmerikaB-52featuredRussia
Comments (0)
Add Comment