Russia Beri Anugerah Negara Pada Juruterbangnya Kerana “Langgar” Dron Amerika

“Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu telah menyampaikan anugerah negara kepada juruterbang pesawat pejuang Su-27 yang telah menghalang dron MQ-9 milik Amerika Syarikat daripada menceroboh ruang udara sementaranya,” kata Kementerian Pertahanan Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Juruterbang pesawat pejuang Su-27 Russia yang terlibat dalam insiden dengan sebuah dron milik tentera Amerika Syarikat sehingga menyebabkan ia terhempas di Laut Hitam beberapa hari lepas, telah diberikan anugerah negara di atas tindakan mereka itu.

Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan berkata, anugerah negara itu telah disampaikan oleh Menteri Pertahanan negara itu, Sergei Shoigu.

“Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu telah menyampaikan anugerah negara itu kepada juruterbang pesawat pejuang Su-27 yang telah menghalang dron MQ-9 milik Amerika Syarikat daripada menceroboh ruang udara sementaranya,” kata Kementerian Pertahanan Russia.

Pada Khamis, pihak tentera Amerika Syarikat telah mengeluarkan rakaman video tentang insiden berkenaan yang menunjukkan pesawat pejuang Russia menghampiri dron MQ-9 dan melepaskan minyak dalam percubaan untuk “membutakan” alatan elektro-optik dron berkenaan.

“Dron MQ-9 kami sedang melakukan operasi rutin di ruang angkasa antarabangsa apabila ia dipintas dan berlanggar dengan pesawat pejuang Russia, menyebabkan ia terhempas dan kami kehilangan dron terbabit,” menurut Jeneral James Hecker daripada Tentera Udara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan.

Dron MQ-9 buatan General Atomics

 

Dron MQ-9 yang dibangunkan oleh syarikat General Atomics, memiliki panjang sayap sepanjang 20 meter manakala keseluruhan pesawat itu panjangnya adalah 36 meter.

Dron itu memiliki berat 2.2 tan apabila tidak membawa apa-apa muatan.  — DSA

Dalam insiden yang memarakkan perseteruan antara Moscow dan Washington, pesawat pejuang Su-27 Russia bertindak memintas dan didakwa telah dengan sengaja “melanggar” kipas dron MQ-9 itu sehingga menyebabkan ia terhempas di Laut Hitam.

Pihak tentera Amerika Syarikat mengecam tindakan pesawat pejuang Russia itu dan mendakwa ia melakukan penerbangan secara “tidak selamat” sehingga menyebabkan dron itu terhempas.

Ketika terhempas dron itu dipercayai sedang melakukan misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR).

Rakaman pesawat Su-27 Russia

 

Sementara itu pihak pihak Kementerian Pertahanan Russia menafikan pesawat pejuangnya melanggar dron Amerika Syarikat dan mendakwa bahawa ia terhempas ke Laut Hitam akibat “maneuver tajam” yang dilakukannya ketika penerbangan itu.

Ia juga berkata kedua-dua pesawat pejuang itu tidak menggunakan sebarang senjata yang dibawanya.

Insiden itu merupakan kejadian pertama melibatkan pertembungan secara langsung (direct confrontation) di antara tentera Russia dan Amerika Syarikat pada konflik Ukraine, sesuatu yang membimbangkan jikalau ia menyebabkan konflik itu merebak (escalation) kepada peperangan di antara Amerika serta sekutunya dengan Russia dan sekutunya.  — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

DronfeaturedMQ-9 ReaperRussiaSu-27
Comments (0)
Add Comment