Doktrin Maritim Russia Mahu Lebih Banyak Kapal Pengangkut Pesawat, Tetapi…

Pada ketika ini, Russia walaupun diakui sebagai kuasa tentera dunia tetapi apa yang memeranjatkan adalah, ia hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat yang aktif iaitu, Admiral Kuznetsov, yang sering mengalami kerosakan dan lebih banyak menghabiskan masa di limbungan diperbaiki daripada belayar di lautan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Doktrin Maritim Russia yang dilancarkan pada pertengahan tahun lepas menghendaki tentera laut negara kuasa besar itu memiliki lebih banyak kapal pengangkut pesawat (aircraft carriers) dan kapal -kapal perang permukaan (surface warships) bersaiz besar untuk mencabar dominasi Amerika Syarikat dan sekutunya di setiap pelusuk perairan dunia.

Pada ketika ini, walaupun Russia diakui sebagai kuasa tentera dunia tetapi apa yang memeranjatkan adalah ia hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat yang aktif iaitu, Admiral Kuznetsov, tetapi sering mengalami kerosakan dan lebih banyak menghabiskan masa di limbungan untuk diperbaiki daripada belayar di lautan.

Pada ketika ini, kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu masih berada di limbungan kapal di Murmansk untuk diperbaiki.

Admiral Kuznetsov

Berbanding dengan Russia yang hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat, Amerika Syarikat pada ketika ini mempunyai 11 buah kapal pengangkut pesawat dan sembilan buah Landing Helicopter Dock (LHD) atau dipanggil “Amphibious Assault Ship”.

Untuk mencapai objektif doktrin maritim yang mahu melihat negara itu menambah pegangan kapal pengangkut pesawat dan kapal perang yang besar, Russia perlu memiliki kompleks-kompleks limbungan pembinaan kapal yang moden.

Limbungan pembinaan kapal yang moden itu perlu untuk memastikan keselamatan industri pembinaan kapal-kapal tentera Russia itu sendiri serta kelestarian pembangunan sosio-ekonomi.

Usaha Russia untuk menambah pegangan kapal-kapal pengangkut pesawat itu bagaimanapun, dipandang sinis oleh pakar-pakar tentera laut yang mengatakan negara itu tidak limbungan kapal yang mempunyai kemampuan untuk membina kapal-kapal pengangkut pesawat dengan cepat.

Ini kerana semasa zaman Kesatuan Soviet, limbungan-limbungan kapal yang bertanggungjawab membina kapal-kapal pengangkut pesawat untuk mereka terletak di Ukraine (yang merupakan sebahagian daripada Soviet Union tetapi kini adalah sebuah negara yang merdeka).

Kapal friget Tentera Russia, Admiral Makarov

 

Industri sokongan yang menyokong pembinaan kapal-kapal pengangkut pesawat juga terletak di sekeliling limbungan kapal di Ukraine itu.

Membinanya semula daripada kosong akan mengambil masa yang amat lama, selain memakan kos yang amat tinggi.

“Limbungan kapal terbesar yang bertanggungjawab membina kapal-kapal pengangkut pesawat ketika di zaman Kesatuan Soviet terletak di Nikolaev, Ukraine,” menurut seorang penganalisis daripada Centre for Naval Analyses Dmitry Gorenburg memberitahu portal pertahanan, Breaking Defense.

Jikalau tentera Russia gagal merampas Pelabuhan Nikolaev di Odessa, Ukraine dalam konflik Russia-Ukraine pada ketika ini, maka Moscow menurut beliau perlu membina sebuah limbungan kapal baru yang besar di suatu tempat lain.

Usaha membina limbungan kapal terutamanya dry dock yang besar untuk membina kapal-kapal pengangkut pesawat dan kapal perang besar adalah kompleks dan memakan masa yang lama.

Bagaimanapun itulah laluan yang terpaksa diambil oleh Russia sekiranya ia gagal menakluk Pelabuhan Nikolaev di Odessa yang pada ketika ini masih dikuasai oleh tentera-tentera Ukraine.

Kapal pengangkut Russia Admiral Kuznetsov sedang dibaiki di limbungan kapal di Murmansk.

 

 

Dengan sekatan ekonomi oleh Barat, maka usaha Moscow untuk membina lebih banyak kapal-kapal pengangkut pesawat dan kapal perang yang besar sebagaimana yang digariskan oleh Doktrin Maritim yang dilancarkan itu bakal berdepan dengan jalan yang lebih sukar.

Sementara itu pakar-pakar ketenteraan antarabangsa juga mengatakan bahawa di bawah Doktrin Maritim itu, Russia akan lebih menumpukan perhatiannya kepada Armada Pasifik berbanding armada tentera lautnya yang lain.

Ini adalah supaya ia dapat bersama-sama dengan sekutunya, China dalam bersaing dengan Amerika Syarikat dan sekutunya di rantau Indo-Pasifik. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Admiral KuznetsovDoktrinfeaturedKapalmaritimRussia