(VIDEO) Russia Didakwa Guna Peluru Berpandu ICBM Dalam Serangan Terhadap Ukraine

(VIDEO) Sumber-sumber media Ukraine menyatakan bahawa peluru berpandu ICBM yang dilancarkan oleh Russia semalam itu dipercayai RS-26 Rubezh, peluru berpandu ICBM menggunakan bahan api pepejal dengan kemampuan membedil sasaran sejauh 5,800km, menurut Arms Control Association.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilaporkan telah melancarkan Peluru Berpandu Ballistik Antara Benua (Intercontinental Ballistic Missile – ICBM) terhadap Ukraine, pertama kali senjata yang direkabentuk untuk membedil sasaran yang terletak ribuan kilometer itu digunakan dalam sejarah peperangan.
Perkara itu telah disahkan oleh Tentera Udara Ukraine.
Penggunaan peluru berpandu ballistik ICBM menggunakan peledak konvensional itu merupakan petanda ketegangan yang semakin memuncak dalam peperangan di antara Russia dan Ukraine yang telah berlangsung selama 33 bulan.
Menurut pakar-pakar persenjataan, jika dakwaan serangan itu disahkan maka ia adalah penggunaan pertama peluru berpandu ICBM yang dibangunkan untuk membawa senjata nuklear dalam sejarah peperangan dunia.
Peluru berpandu ICBM itu adalah bahagian penting dalam deteren nuklear Russia.
Russia tidak memberikan reaksi balas terhadap dakwaan penggunaan peluru berpandu ICBM terhadap Ukraine, dengan jurucakap Kremlin Dmitry Peskov meminta wartawan berhubungan dengan Kementerian Pertahanan Russia tentang jawapan balas terhadap dakwaan itu.
Sumber-sumber media Ukraine menyatakan bahawa peluru berpandu ICBM yang dilancarkan oleh Russia semalam itu dipercayai RS-26 Rubezh, peluru berpandu ICBM menggunakan bahan api pepejal dengan kemampuan membedil sasaran sejauh 5,800km, menurut Arms Control Association.
Peluru berpandu ballistik ICBM RS-26 Rubezh itu mula diuji pada 2012 dan mempunyai anggaran ketinggian 12 meter dan seberat 36 tan, menurut Center for Strategic and International Studies (CSIS).
Ia juga berkata bahawa RS-26 Rubezh itu berkemampuan membawa peledak nuklear seberat 800kg.
Peluru berpandu ICBM RS-26 Rubezh itu dipercayai dilancarkan daripada Astrakhan di Russia dan membedil infrastruktur-infratruktur kritikal di Dnipro yang terletak di timur Ukraine.
Selain menggunakan peluru berpandu ballistik ICBM terhadap Dnipro itu, Russia juga dilapor melancarkan serangan peluru-peluru berpandu kruis, KH-101 terhadap infrastruktur di Dnipro itu.
Serangan peluru berpandu ballistik ICBM oleh Russia sebagaimana didakwa oleh Tentera Udara Ukraine itu menyusuli serangan peluru berpandu kruis Storm Shadow dan ATACMS oleh Ukraine terhadap kedudukan tentera-tentera Russia dan juga Korea Utara di wilayah Kursk, Russia yang kini ditawan oleh Ukraine.
Ukraine menyerang kedudukan tentera Russia dan Korea Utara di wilayah Kursk menggunakan peluru berpandu Storm Shadow dan ATACMS selepas Presiden Amerika Syarikat Jo Biden memberikan kebenaran terhadap penggunaan senjata-senjata jarak jauh buatannya dan Barat untuk membedil kedudukan tentera Russia yang berada jauh di dalam negara itu.
Tindakan Amerika Syarikat itu, kira-kira dua bulan sebelum Presiden Jo Biden meninggalkan Rumah Putih dan diggantikan dengan Donald Trump itu dikatakan bakal menyebabkan peperangan di antara Russia dan Ukraine itu semakin marak.

Sebagai reaksi balas, Presiden Vladimir Putin menyatakan bahawa Russia telah merendahkan ambang (threshold) untuk mewajarkan Moscow menggunakan senjata nuklear terhadap musuh-musuhnya yang menggunakan senjata jarak jauh buatan negara Barat terhadap wilayah Russia.
Dengan penurunan ambang penggunaan senjata nuklear oleh Russia itu, ia hanya mendekatkan dunia terhadap Perang Dunia Ketiga dimana pihak-pihak bertelagah akan menggunakan stok senjata-senjata nuklear mereka terhadap masing-masing. — DSA

featuredICBMRussiaUkraine