Russia Bangunkan Dron Berani Mati Baru “Garpiya-A1”, Guna Enjin dan Komponen China

Sumber-sumber perisikan Eropah mendedahkan bahawa Russia telah membangunkan dron berani mati jarak jauh yang baru dinamakan “Garpiya-A1” menggunakan enjin dan alat-alat ganti buatan China.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sumber-sumber perisikan Eropah mendedahkan bahawa Russia telah membangunkan dron berani mati jarak jauh yang baru dinamakan “Garpiya-A1” menggunakan enjin dan alat-alat ganti buatan China.
Bercakap kepada media antarabangsa, sumber terbabit menganggarkan bahawa Russia telah membina sebanyak 2,500 dron berani mati jarak jauh Garpiya-A1 sejak setahun yang lepas dan digunakannya dalam konflik Russia-Ukraine.
Rekabentuk dron berani mati jarak jauh Garpiya-A1 itu adalah hampir menyamai dron berani mati keluaran Iran, Shahed-136.
Sebelum ini, tidak ada sebarang maklumat atau berita tentang dron berani mati keluaran Russia yang baru itu, tetapi sumber pertahanan Eropah itu mempercayai ia dibangunkan oleh IEMZ Kupol, yang merupakan anak syarikat kepada Almaz-Antey.
IEMZ Kupol didakwa menghasilkan dron Garpiya-A1 itu bermula pada Julai tahun lepas hingga Julai tahun ini, menurut agensi berita antarabangsa yang melihat dokumen-dokumen perisikan Eropah itu.

Almaz-Antey merupakan syarikat pembuat sistem pertahanan udara terkenal Russia, yang bertanggungjawab membangunkan sistem-sistem seperti S-300, S-400 dan kini S-500.
Penganalisis tentera berkata jika maklumat tentang pengoperasian Garpiya-A1 di medan peperangan berjaya disahkan, maka, Russia semakin kurang bergantung kepada dron-dron berani mati buatan Iran seperti Shahed-136 dalam konfliknya dengan Ukraine.
Sebaliknya, Moscow mula menghasilkan sendiri dron-dron berani matinya dan menggunkan sistem-sistem dan komponen diperbuat oleh China.
Sebelum ini, Iran dipercayai telah mengirimkan ribuan dron berani mati seperti Shahed-136 ke Russia bagi membantu operasi ketenteraan khas Moscow di Ukraine, yang kini memasuki tahun ketiga.
Terdapat juga laporan menyatakan sebelum ini bahawa Russia telah membangunkan kemudahan pembuatan dron berani mati Shahed-136 atau dinamakan Geran-2 oleh pihak Russia di kawasan industri Alabuga di Tatarstan yang terletak tidak jauh daripada ibu negara Moscow.

Kemudahan itu dilaporkan dibangunkan dengan kerjasama pakar-pakar Iran.
Pihak Kementerian Pertahanan Russia tidak memberi sebarang reaksi terhadap penggunaan dron berani mati baru, Garpiya-A1 manakala Kementerian Luar China itu pula menyatakan bahawa negara itu mengawal ketat sebarang eksport produk ketenteraan termasuk dron.
Sumber perisikan Eropah menyatakan bahawa dron-dron Garpiya-A1 itu telah pun digunakan dalam serangan-serangan Russia terhadap kemudahan-kemudahan awam dan tentera di Ukraine, menyebabkan kemusnahan besar.
Ia menyatakan bahawa dron-dron berani mati jarak jauh Garpiya-A1 itu telah dihasilkan di kemudahan milik IEMZ Kupol di satu lokasi dinamakan Izhevsk yang terletak di Republic Udmurt, di barat Russia.
Dron berani mati jarak jauh Garpiya-A1 itu memiliki berat 300kg iaitu hampir menyamai berat dron berani mati Shahed-136.
Dron berani mati jarak jauh itu berkemampuan terbang sejauh 1,500km untuk membedil sasarannya. — DSA

 

 

ChinafeaturedGarpiyaRussia
Comments (0)
Add Comment