Tiada Rundingan Penjualan 33 Pesawat Hornet Kepada Malaysia – Kuwait

Staf Am Tentera Darat Kuwait dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitter-nya menafikan laporan media mengatakan terdapatnya rundingan di antara Malaysia dan Kuwait tentang pesawat-pesawat pejuang itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA)  — Pada ketika ini, tiada sebarang rundingan berhubung hasrat pembelian 33 pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet yang telah dilucut tauliah milik Tentera Udara Kuwait oleh Malaysia sebagaimana dilaporkan oleh media.

Staf Am Tentera Darat Kuwait dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitter-nya menafikan laporan media mengatakan terdapatnya rundingan di antara Malaysia dan Kuwait tentang pesawat-pesawat pejuang itu.

Ia mengatakan bahawa sebarang prosedur rundingan mengenai penjualan peralatan yang dimiliki oleh Kementerian Pertahanan Kuwait akan diumumkan secara terus dan dilakukan menerusi Jawatankuasa Pelupusan Aset Yang Tidak Lagi Digunakan Oleh Kementerian Pertahanan.

Menurutnya lagi, penjualan peralatan peralatan itu (dalam kes ini 33 pesawat F/A-18C/D Hornet) adalah dengan koordinasi Kementerian Kewangan Kuwait selepas memperolehi kelulusan daripada negara yang membuat peralatan (Amerika Syarikat)  itu serta terma kontrak.

Kuwait dengan jelas mengatakan bahawa pihak yang akan memberikan kelulusan terhadap penjualan 33 buah pesawat F/A-18C/D Hornet adalah Amerika Syarikat, bermakna Malaysia perlu juga mengadakan rundingan dengan Washington terlebih dahulu.

Pesawat F/A-18C/D Hornet Tentera Udara Kuwait

 

Tanpa “lampu hijau” daripada Washington, tidak mungkin pesawat-pesawat Hornet Kuwait itu boleh dijual kepada mana-mana pihak ketiga.

Beberapa hari lepas, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Abdul Aziz berkata kerajaan sememangnya mahu memperolehi pesawat-pesawat Hornet milik Tentera Udara Kuwait itu tetapi ia bergantung kepada proses rundingan antara kedua-dua negara belum lagi bermula.

Beliau berkata demikian di Dewan Negara.

“Kerajaan Kuwait dijangka akan melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F (Super Hornet) dari  Amerika Syarikat,” kata Ikmal.

Menurut beliau, pesawat pejuang F/A-18C/D  yang dioperasikan oleh Tentera Udara Kuwait itu masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding F/A-18D yang dioperasikan oleh TUDM.

Pesawat F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait

“Inisiatif ini masih menunggu perbincangan di antara kedua buah negara atau di peringkat Government to Goverment,

“Sekiranya inisiatif ini berjaya direalisasikan, sudah pasti ianya akan meningkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan TUDM dalam menjaga ruang angkasa negara,” menurut beliau.

Awal bulan lepas, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad memberitahu media bahawa beliau akan bertemu dengan Panglima Tentera Udara Kuwait  untuk membincangkan tentang kemungkinan TUDM memperolehi pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai daripada negara Timur Tengah itu.

Panglima TUDM mengatakan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika menghadiri pameran Dubai Airshow 2021 yang berlangsung di Dubai World Central daripada 14 hingga 18 November 2021.

Dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tidak lama dahulu, Ackbal berkata, pihak TUDM telah menghantar surat bagi kepada Panglima Tentera Udara Kuwait untuk menyatakan hasratnya untuk memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait yang telah ditamatkan perkhidmatannya.

Super Hornet

“Kita (TUDM dan Tentera Udara Kuwait) masih berunding dan masih menunggu reaksi balas daripada mereka (Kuwait),” kata Panglima TUDM.

TUDM merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum ia membeli pesawat Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.

Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memutuskan untuk memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.

Ia memiliki sebanyak 27 buah pesawat F/A-18 C/D dan tujuh buah pesawat F/A-18D pada ketika ini.

Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D dan F/A-18D atau dipanggil “legasi Hornet”, Kuwait telah membeli sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.

Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems.

Eurofighter Typhoon

 

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

F/A-18C/DKuwaitMalaysiaRundinganTUDM