Kapal Selam Terbaru Singapura, RSS Impeccable Selamat Tiba Di Perairan Republik Itu

Kapal selam terbaru Singapura itu tiba dengan selamat di perairan republik itu menaiki kapal Heavy Load Carrier “Rolldock Storm”. Ketibaanya di perairan republik itu disambut oleh kapal peronda Tentera Laut Republik Singapura, RSS Unity serta sepasang pesawat pejuang F-16C milik tentera udaranya yang juga bertindak sebagai “pengiringnya.”

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebulan selepas meninggalkan limbungan kapal milik syarikat Thyssenkrupp Marine Systems Shipyard (TKMS) di Kiel, Jerman, kapal selam terbaru Singapura Type 218SG iaitu RSS Impeccable telah tiba di republik itu beberapa hari lepas.

Kapal selam terbaru Singapura itu tiba dengan selamat di perairan republik itu diangkut menggunakan kapal Heavy Load Carrier “Rolldock Storm” menggunakan laluan Selat Melaka.

Ketibaanya kapal Rolldock Storm membawa kapal selam Type 218SG itu di perairan republik itu disambut oleh kapal peronda Tentera Laut Republik Singapura, RSS Unity serta sepasang pesawat pejuang F-16C milik tentera udaranya yang juga bertindak sebagai “pengiringnya.”

Kapal heavy load-carrier “Rolldock Storm” diguna untuk membawa pulang kapal selam terbaru Singapura. (kredit Schlepp-und Fahrgesellesschadt Kiel)

 

RSS Impeccable itu merupakan kapal selam kelas-Invicible yang pertama “kembali” ke republik itu daripada empat yang dipesan oleh Singapura daripada syarikat Jerman TKMS.

Keempat-empat kapal selam itu dibina di Jerman.

RSS Impeccable adalah kapal selam Type 218SG kelas-Invincible yang kedua selepas RSS Invincible yang telah pun siap dibina pada 2019 dan berkemungkinan akan terus berada di Kiel untuk tujuan latihan krew kapal selam Singapura yang lain.

Bagi penganalisis kapal selam serantau, kapal selam terbaru milik Singapura itu  merupakan aset bawah permukaan air yang paling moden, paling besar daripada segi saiznya dan paling berkeupayaan di Asia Tenggara.

 Rekabentuk kapal selam terbaru Singapura  yang direkabentuk khusus untuk republik  itu dikatakan hampir sama dengan kapal selam Dolphin-2 Tentera Laut Israel (berkemungkinan sistem sensor dan lain juga adalah sama).

Kapal selam milik Tentera Laut Israel itu juga telah dibina oleh anak syarikat TKMS, HDW.

Dengan berat kira-kira 2,200 tan, kapal selam Type 218SG kelas-Invicible milik Singapura itu boleh beroperasi 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam lain yang kini dimiliki oleh republik itu, selain dilengkapi dengan sistem persenjataan dan sensor yang jauh lebih baik.

Dua buah lagi kapal selam Type 218SG iaitu “Illustrious” dan “Inimitable” iaitu “adik-adik” kepada RSS Invincible dan RSS Impeccable sedang menjalani kerja-kerja pembinaan di Limbungan Kapal TKMS di Kiel, Jerman pada ketika ini.

Kemasukan RSS Invincible dan “tiga beradiknya yang lain” bakal melonjakkan kemampuan bawah permukaan Tentera Laut Singapura ke tahap yang lebih tinggi, yang selama ini mempertaruhkan kapal-kapal selam terpakai yang diperolehinya iaitu daripada kelas-Archer dan kelas-Challenger.

Tidak dapat dinafikan angkatan kapal selam Singapura dengan kemasukkan RSS Invincible dan empat adik-beradiknya yang lain adalah yang paling ampuh dan berkeupayaan di rantau ini.

Gambar Fail

 

Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen dilaporkan berkata sebelum ini, memandangkan tentera-tentera laut India, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia sedang berusaha untuk membesarkan lagi angkatan kapal selamnya, maka, tindakan Singapura memperolehi empat buah kapal selam Type 218SG daripada Jerman adalah suatu “langkah yang tepat.” 

Kesemua kapal selam terbaru Singapura itu mempunyai berat 2,000-2,200 tan (apabila di bawah permukaan) dan kelajuan 15 knot.

Ia memiliki panjang 70 meter dan lebar lebih 6 meter.

 Kapal selam Singapura ini memiliki lapan corong torpedo yang bukan sahaja boleh melancarkan torpedo berkaliber 533mm tetapi juga peluru berpandu anti kapal.

Ia juga akan dilengkapi dengan Air Independent Propulsion (AIP) menggunakan teknologi Fuel Cell yang membolehkan kapal selam itu menyelam 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam yang lain.

Sistem kombatnya pula direkabentuk oleh Atlas Elektronik dan ST Elektronics. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

featuredKapal SelamKelas-InvicibleRSS ImpeccableSingapuraType 218SG