(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang remaja Singapura berusia 18 tahun merancang untuk mengebom Keramat Habib Noh dan kem tentera Amoy Quee di republik terbabit, telah diberkas bulan lepas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) negara pulau itu.
Remaja itu dikenali Muhammad Irfan Danyal Mohamad Nor, yang merupakan pelajar pos menengah turut merancang untuk menikam dan membunuh orang awam, termasuk beragama Islam di lorong-lorong gelap, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura dalam kenyataannya pada Rabu (1 Feb).
Menurut laporan oleh akhbar Berita Harian Singapura, Irfan Danyal, yang ingin memulakan pemerintahan khalifah di Pulau Coney bernama Negara Islam Singahafura, juga berhasrat merekrut 100-500 pejuang setempat untuk melaksanakan serangan-serangan itu.
Menurut ISD, dia telah mencacakkan bendera yang dibuatnya sendiri – serupa dengan bendera yang digunakan oleh kumpulan pengganas Hayat Tahrir al-Sham dari Syria yang berhubungan dengan Al-Qaeda – di Pulau Coney, pada Hari Kebangsaan Singapura pada tahun lalu.
Dia juga merancang mengambil video dirinya melakukan bai’ah atau ikrar taat setia di Pulau Coney pada hujung minggu 12-13 November tahun lalu dengan memakai seragam NCC dan mengangkat senapang mainan.
Bercakap dengan media mengenai kes itu pada Rabu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang Singapura, K.Shanmugam, berkata Muhammad Irfan diberkas empat hari sebelum dia dapat melaksanakan hasrat itu.
“Ia agak tidak masuk akal, tapi sebahagian rancangannya agak serius.
“Kami memberkasnya empat hari sebelum dia merancang (rakaman) ini, kerana dia juga fikir untuk lakukan tiga rancangan serangan.
“Pertama menyerbu dan menikam serta membunuh golongan “yang tidak percaya” dan katanya golongan bukan Muslim, Muslim Syiah dan Sufi yang dianggap golongan “yang tidak percaya”.
“Kedua dia juga ingin merekrut seorang pengebom nekad untuk serangan di Kem Amoy Quee, kerana dia biasa dengan susun atur kem itu.
“Ketiga dia ingin mengebom Keramat Habib Noh yang terletak di Masjid Haji Muhammad Salleh kerana dia menganggap tapak kubur itu “bukan Islam” kerana ia dihiasi dan tidak terletak di tanah,” katanya.
Menurut Shanmugam lagi, sekiranya Irfan laksanakan semua rancangannya itu terutamanya serangan menggunakan pisau dan meletupkan bom, kesannya pasti teruk.
Pastinya akan ada kehilangan jiwa, hilang kepercayaan dan timbul permusuhan dalam kalangan masyarakat kita, tambah Shanmugam.
Beliau juga berkata anggota keluarga remaja itu tidak mengetahui tentangan rancangan Irfan Danyal itu. — DSA/Berita Harian Singapura
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE