Redzuan Dilantik Sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings

Mohd Redzuan, 64, telah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari 2018 hingga 2020, seterusnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dari 2020 hingga 2021 dan terkenal dengan cadangannya mengenai kereta terbang.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Boustead Holdings Bhd telah melantik Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif baharunya untuk mempercepatkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat itu untuk tahun 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Datuk Sri Mohammed Shazalli Ramly berkata kumpulan itu amat berbesar hati atas pelantikan Mohd Redzuan itu dan percaya pengalaman luas beliau dalam bidang korporat dan awam akan mempertingkatkan prestasi Boustead.

“Kami berharap di bawah kepimpinan Mohd Redzuan, beliau akan memenuhi matlamat strategik kami selaras dengan strategi Reinventing Boustead untuk mempercepatkan prestasi keseluruhan untuk meningkatkan dan memaksimumkan nilai pemegang saham erta melindungi kepentingan pemegang saham kami terutamanya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai pemegang saham majoriti kami,” katanya.

Dalam satu kenyataan, cabang pelaburan LTAT itu berkata Mohd Redzuan, 64, telah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari 2018 hingga 2020, seterusnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dari 2020 hingga 2021.

Sebagaimana yang diketahui ramai, Mohd Redzuan dikenali ramai kerana projek “kereta terbang-nya” ketika berkhidmat di bawah Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamed.

Projek “kereta terbang” ketika Redzuan menjadi menteri ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

 

Anak syarikat Boustead Holdings iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) merupakan kontraktor utama dalam projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 billion yang tergendala sehingga kini.

Sejak kontrak pembinaan enam buah kapal perang itu dianugerah pada 2011, tidak ada sebuah kapal LCS itu pun berjaya disiapkan. 

Terbaru, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengatakan kapal LCS pertama dijangka hanya siap pembinaannya pada tahun 2025.

Kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM

 

Menurut syarikat itu lagi, Mohd Redzuan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Awam dari University of Leeds, United Kingdom dan memulakan kerjaya cemerlangnya sebagai jurutera dengan ESSO Malaysia Sdn Bhd, seterusnya berkhidmat di Petronas Carigali Sdn Bhd.

Mohd Redzuan meneruskan kerjayanya dalam sektor korporat dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk pengarah eksekutif (ED) Swiber Marine (M) Sdn Bhd serta Wakil Negara untuk Swiber Holdings Ltd, Singapura; ketua pegawai eksekutif (CEO) Module Tech Sdn Bhd, ED Kumpulan Syarikat Gagnar dan ED Kumpulan Syarikat Orbtech.

Beliau juga merupakan Pengarah Bukit Fraser Thermal Technologies Sdn Bhd; Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gagnar, Marginal Field Solutions Sdn Bhd dan Seahorse Platforms Asia Sdn Bhd.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

BousteadKapal PerangLCSPengerusi
Comments (0)
Add Comment