(DEFENCE SECURITY ASIA) – Minggu lepas, Poland, sebuah negara Eropah Timur yang bersempadan dengan Ukraine dan Russia telah menandatangani perjanjian untuk memperolehi 48 buah pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).
Poland bercadang menggunakan pesawat FA-50 yang diperolehinya daripada Korea Selatan itu untuk tujuan latihan lanjutan (advance training) dan pesawat pejuang tambahan kepada pesawat F-16 miliknya.
Dalam satu temuramah dengan media tempatan negara itu baru-baru ini,Menteri Pertahanannya Mariusz Blaszczak memberi sebab mengapa Poland memilih pesawat pejuang buatan Korea Selatan.
Menurutnya, pesawat FA-50 dipilih daripada senarai beberapa jenis pesawat pejuang lain selepas menerima pandangan daripada juruterbang tentera udara Poland sendiri dan kerana tahap interoperabiliti yang tinggi dengan pesawat-pesawat F-16 miliknya.
“Pesawat FA-50 juga mempunyai kemampuan yang tinggi untuk dilengkapkan dengan sistem-sistem sensor yang lebih baik serta sistem persenjataan yang lebih moden.
“Pesawat FA-50 ini bukan sahaja boleh digunakan untuk kombat,tetapi ia juga adalah plaftom latihan yang amat baik,” kata Menteri Pertahanan Poland itu mengenai sebab utama ia memilih pesawat buatan Korea Selatan itu.
Korea Selatan bukan negara pembekal senjata tradisional kepada Poland yang selama ini bergantung kepada Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah untuk bekalan senjata mereka.
Daripada 48 buah pesawat FA-50 yang diperolehi oleh Poland, 12 buah daripada pesawat itu akan diterima oleh negara Eropah itu pada pertengahan tahun depan.
Pesawat-pesawat itu akan dikonfigurasi supaya ia dapat diintergrasikan dengan struktur pemerintahan NATO.
Varian pesawat FA-50 yang bakal diperolehi oleh Poland adalah Block 20 (sama seperti yang ditawarkan kepada Malaysia) yang turut meliputi peningkatan kemampuan pesawat untuk membawa sistem persenjataan Beyond Visual Range (BVR) seperti peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM.
Beliau juga berkata, selain pesawat FA-50 Poland juga sedang melihat dengan penuh minat perkembangan varian pesawat F-15 terkini serta pesawat generasi 4.5 keluaran KAI, “KF-21” yang baru sahaja melakukan penerbangan sulungnya baru-baru ini.
Pada tahun 2020, Poland menandatangani perjanjian bernilai US$4.6 bilion untuk memperolehi 32 buah pesawat F-35.
Menteri Pertahanan Poland itu berkata beliau menimbangkan beberapa perkara seperti keberkesanan sistem persenjataan itu, tempoh penghantaran dan faedah industri sebelum membuat keputusan memilih pesawat pejuang buatan Korea Selatan itu.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
“Tidak ada syarikat pembuat pesawat yang mampu melakukan penghantaran dalam tempoh yang amat cepat dan melaksanakan kerjasama yang sungguh meluas dengan industri pertahanan Poland,” kata beliau.
Pemindahan teknologi berkaitan dengan perolehan pesawat FA-50 itu akan membolehkan Poland menubuhkan kemudahan perkhidmatan dan penyelenggaraan di Poland, katanya sambil menambah ia akan membabitkan PGZ Group (sebuah holding company yang ditubuhkan oleh kerajaan Poland untuk menggabung semua syarikat berkaitan pertahanan milik kerajaan) — DSA