Mengapa PETRONAS Jual Kepentingannya Di Azerbaijan Ketika Harga Gas Dunia Melambung?

Apa menjadi persoalan adalah mengapa PETRONAS mengambil keputusan untuk melupuskan kepentingan perniagaannya di dalam projek gas asli Shah Deniz di Azerbaijan itu pada ketika harga gas di Eropah dan seluruh dunia melambung tinggi disebabkan kekurangan bekalan komoditi itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada pertengahan bulan ini, syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS mengesahkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan syarikat LUKOIL daripada Russia untuk menjual kepentingannya dalam sebuah lapangan gas  di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai RM9.41 billion (US$2.25 bilion).

Kepentingan PETRONAS di Azerbaijan itu turut meliputi keseluruhan 15.5 peratus pegangannya dalam projek gas asli di Shah Deniz yang terletak di Laut Kaspia.

PETRONAS membeli kepentingan 15.5 peratus ekuiti di dalam projek bekalan gas asli Shah Deniz itu pada 2014 daripada syarikat minyak dan gas Norway, Statoil, yang masa ini dikenali sebagai Equinor ASA pada harga US$2.25 bilion.

Lapangan gas Shah Deniz, yang merupakan lapangan gas asli terbesar di Azerbaijan itu terletak kira-kira 70km di selatan Baku, dengan pengeluaran gas secara komersial bermula pada 2006.

Isu mengenai penjualan aset tenaga yang amat berdaya maju di Azerbaijan oleh PETRONAS itu telah menjadi topik yang sangat hangat, sehingga ia menjadi isu perdebatan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Lapangan Gas Shah Deniz, Azerbaijan

 

Apa menjadi persoalan adalah mengapa PETRONAS mengambil keputusan untuk melupuskan kepentingan perniagaannya di dalam projek gas asli Shah Deniz di Azerbaijan itu pada ketika harga gas di Eropah dan seluruh dunia melambung tinggi disebabkan kekurangan bekalan komoditi itu.

Harga gas di benua Eropah dikatakan telah meningkat sebanyak lima kali ganda, bersamaan dengan kira-kira US$200 satu tong minyak.

 

Syarikat dan kilang-kilang di Eropah terpaksa mengurangkan produksi mereka disebabkan kekurangan bekalan gas pada ketika ini, yang membuatkan harga gas melambung lagi tinggi di pasaran tenaga benua itu.

Harga gas di Amerika Syarikat pula dikatakan telah meningkat sebanyak dua kali ganda.

Kekurangan bekalan tenaga bukan sahaja berlaku di benua Eropah, tetapi juga Asia dengan kilang-kilang di China juga terpaksa mengurangkan produksi mereka.

Pada ketika harga gas di pasaran seluruh dunia melambung tinggi, PETRONAS memutuskan untuk menjual kepentingannya dalam projek lapangan gas yang prolifik dan berdaya maju.

Keputusan “pelik” PETRONAS menjual kepentingannya perniagannya di Azerbaijan itu juga berlaku pada ketika pengeluaran gas daripada Lapangan Gas Shah Deniz itu dijangka meningkat daripada 18.1 bilion meter padu pada 2020 kepada 26 bilion meter padu gas tidak lama lagi.

Laporan media juga mengatakan bahawa saluran paip dari Lapangan Shah Deniz untuk menjual terus gas ke Eropah telah siap dan mula beroperasi pada Disember tahun lepas.

Syarikat minyak dan gas Russia, LUKOIL yang membeli kepentingan PETRONAS dalam Lapangan Shah Deniz mengatakan bahawa projek itu dilaksanakan di bawah PSA (Production Sharing Contracts) dengan pengeluaran gas secara komersial telah bermula sejak 2006.

 

Pada tahun lepas, konsortium Shah Deniz telah berjaya menghasilkan 18.1 bilion meter padu gas dan 3.6 juta tan gas condensate.

Dan pada tahun 2018, fasa kedua projek Shah Deniz itu telah dilancarkan dengan pengeluaran gas tahunan daripada projek itu dijangka mencapai 26 bilion meter padu dan lima juta tan gas condesate.

“Gas yang dihasilkan daripada Projek Gas di Shah Deniz itu dijual pada pasaran-pasaran Azerbaijan, Georgia dan Turki. Sejak Disember 2020, gas daripada projek itu juga telah dihantar ke benua Eropah menerusi sistem paip gas,” menurut LUKOIL.

PETRONAS memberikan alasan bahawa penjualan asetnya di Azerbaijan bernilai hampir RM10 bilion itu adalah disebabkan kajian semula portfolio perniagaannya untuk selari dengan strategi pembangunan perniagaannya.

“Urusan perniagaan itu sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa dan pematuhan syarat-syarat. Lebih banyak maklumat akan didedahkan selepas urusan itu selesai,” menurut PETRONAS kepada theedgemarkets.com baru-baru ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan adalah berdasarkan penilaian komersial jangka masa panjang untuk menjamin daya tahan dan kecemerlangan operasi serta komersial.

Menurut beliau, ia sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan PETRONAS yang dilaksanakan secara berterusan.

Mustapa menegaskan keputusan penjualan itu juga bukanlah atas desakan politik.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

AzerbaijanPetronasShah Deniz
Comments (0)
Add Comment