PETRONAS Jual Aset Di Azerbaijan Bernilai Hampir RM10 Bilion

Kepentingan PETRONAS di Azerbaijan itu turut meliputi keseluruhan 15.5 peratus pegangan syarikat minyak dan gas negara dalam projek gas asli di Shah Deniz yang terletak di Laut Kaspia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS mengesahkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan syarikat LUKOIL untuk menjual kepentingan perniagaan miliknya di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai RM9.41 billion (US$2.25 bilion).

Kepentingan PETRONAS di Azerbaijan itu turut meliputi keseluruhan 15.5 peratus pegangan syarikat minyak dan gas negara dalam projek gas asli di Shah Deniz yang terletak di Laut Kaspia.

 PETRONAS memberikan alasan kajian semula portfolio perniagaannya untk selari dengan strategi perkembangan perniagaan sebagai alasan di sebalik penjualan asetnya di Azerbaijan bernilai RM9.41 bilion itu.

Syarikat Lambert Energy Advisory Ltd dilantik sebagai penasihat PETRONAS berkenaan cadangan penjualan kepentingan perniagaannya itu.

“Urusan perniagaan itu sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa dan pematuhan syarat-syarat. Lebih banyak maklumat akan didedahkan selepas urusan itu selesai,” menurut PETRONAS kepada theedgemarkets.com baru-baru ini.

Kelulusan pihak berkuasa itu termasuklah daripada pihak syarikat minyak dan gas kebangsaan Azerbaijan, SOCAR.

Keseluruhan projek gas asli Shah Deniz itu bernilai US$14.52 billion (RM59.5 bilion).

PETRONAS bagaimanapu,  tidak memaklumkan apa yang akan dilakukan hasil daripada keuntungan menerusi penjualan projek gas asli itu.

Dengan pembelian 15.5 peratus daripada PETRONAS, peratus kepentingan LUKOIL di dalam projek gas asli Shah Deniz itu akan meningkat kepada 25 peratus.

LUKOIL merupakan syarikat minyak dan gas Russia.

Syarikat minyak dan gas negara itu membeli kepentingan 15.5 peratus ekuiti di dalam projek bekalan gas asli Shah Deniz itu pada 2014 daripada syarikat minyak dan gas Norway, Statoil yang pada masa ini dikenali sebagai Equinor ASA pada harga US$2.25 bilion.

Lapangan gas Shah Deniz yang merupakan lapangan gas asli terbesar di Azerbaijan itu terletak kira-kira 70km di selatan Baku, dengan pengeluaran gas secara komersial bermula pada 2006.

Lapangan gas itu ditemui pada 1999 dengan operator adalah syarikat British Petroleum dengan kepentingan sebanyak 28 peratus diikuti TPAO (Turkish Petroleum Overseas) sebanyak 19 peratus, SOCAR (16.7 peratus), Lukoil (10 peratus) dan Nico (10 peratus).

Gas asli yang berjaya dibawa keluar daripada lapangan gas Shah Deniz itu dijual kepada pasaran-pasaran Azerbaijan, Georgia dan Turki, manakala bermula pada 2020 gas asli daripada lapangan itu turut dipasarkan ke Eropah menerusi paip-paip gas.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

AzerbaijanLapangan Gas AsliPetronas
Comments (0)
Add Comment