Pesawat Terbaru Russia, Su-75 “Checkmate” Beri Saingan Pada F-35

Pada pameran Dubai Airshow yang baru sahaja berakhir, Russia telah mendedahkan lebih banyak maklumat tentang pesawat pejuang generasi-kelimanya terbaru Su-75 "Checkmate", yang bakal memberikan saingan kepada pesawat halimunan F-35 buatan Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Dubai Airshow yang baru sahaja berakhir, syarikat Russia, ROSTEC telah mendedahkan lebih banyak maklumat tentang pesawat pejuang terbarunya, Sukhoi Su-75 “Checkmate” yang diharapkan oleh Moscow untuk memberikan saingan kepada pesawat halimunan Amerika Syarikat iaitu, F-35.

Menurut maklumat yang dikeluarkan pada pameran itu, wingspan pesawat itu adalah kira-kira 11.8 meter manakala panjang Su-75 pula adalah kira-kira 17.5 meter, membuktikan bahawa saiz pesawat pejuang “Checkmate” adalah lebih besar daripada pesawat-pesawat satu enjin yang lain termasuk F-35, F-16 dan Gripen.

Bagaimanapun, berbanding dengan pesawat F/A-18 Hornet, saiznya adalah hampir sama.

Maklumat yang dikeluarkan pada pameran Dubai Airshow itu juga menunjukkan bahawa pesawat Su-75 “Checkmate” Russia ini boleh beroperasi sekitar 2,800km tanpa memerlukan drop tanks dan ia bakal dilengkapi dengan 11 hardpoints, lima di dalam internal weapons bays dan empat external pylons.

“Pesawat pejuang Checkmate boleh dibina mengikut beberapa varian iaitu satu tempat duduk, dua tempat duduk serta varian tanpa pemandu,” menurut maklumat tentang spesifikasi pesawat terbabit yang dikeluarkan pada Dubai Airshow itu.

 

Maklumat juga menyatakan bahawa kerja-kerja untuk membina pesawat Su-75 itu bermula pada 2016.

Sementara, ROSTEC mengadakan perbincangan dengan Emiriah Arab Bersatu tentang kemungkinan menghasilkan “Checkmate” di negara itu untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap pesawat pejuang generasi ke-lima.

Ketua Hubungan Antarabangsa ROSTEC, Viktor Kladov berkata, syarikat telah mengadakan perbincangan dengan Tawazun Economic Council, Mubadala Investment dan Edge Group tentang kemungkinan penghasilan pesawat “Checkmate” di negara Timur Tengah itu.

Kajian yang dilakukan oleh syarikat menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi terhadap pesawat-pesawat pejuang generasi ke-lima.

“Pada ketika ini, pasaran untuk pesawat pejuang generasi ke-lima (di Timur Tengah) adalah kosong kecuali F-35 di mana Amerika Syarikat menghasilkannya untuk 22 buah negara,” kata beliau.

Su-75 “Checkmate” (kiri) dan Su-57 “Felon” (kanan)

 

ROSTEC dijangka akan mula membina pesawat-pesawat Su-57 “Checkmate” itu bermula pada tahun 2026. Syarikat itu mula mendedahkan pesawat terbarunya pada khalayak ramai pada pameran MAKS 2021 yang berlangsung di Russia pada Julai lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ROSTEC Sergey Chemezov dalam satu kenyataan berkata, pesawat “Checkmate” menggabungkan “low visibility” dan peralatan/sistem terbaik, ia adalah pesawat yang paling sesuai daripada segi keberkesanan kombat dan kos (untuk setiap jam penerbangan).

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

CheckmatefeaturedRostecRussiaSU-57UAE