(Video) Pesawat Pengebom China Tunjuk “Taring” Baru

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Untuk pertama kalinya, sebuah pesawat pengebom strategik China daripada jenis Xian “H-6N” telah dilihat dikhalayak ramai membawa peluru berpandu balistik anti-kapal (anti-ship ballistic missile-ASBM).

Memandangkan peluru berpandu balistik anti-kapal ini mampu membedil sasaran laut seperti kapal perang daripada jarak di antara 1,500km hingga 2,000km, ini memberikan China kemampuan “standoff” ketika berdepan dengan musuh dalam sesuatu konflik.

Ini seolah-olah satu amaran kepada musuh-musuhnya di Laut China Selatan dan keseluruhan rantau Asia Pasifik bahawa ia kini mempunyai “taring” baru yang jauh lebih berbisa daripada apa yang dimiliki oleh musuh-musuhnya.

Rakaman video pendaratan pesawat pengebom strategik H-6N tentera China bersama peluru berpandu balistik anti kapal. (sumber Twitter)

Dan pesawat-pesawat pengebom strategik China ini sudah pun meronda di Laut China Selatan atau Selat Taiwan dengan membawa peluru berpandu balistik anti kapal ini, melihatkan gambar dan rakaman video terbaru ini.

Didalam gambar dan rakaman video terbabit, pesawat H-6N itu dilihat membawa sebuah peluru berpandu balistik anti-kapal ketika mendarat di sebuah sebuah pengkalan udara yang tidak dinyatakan.

Penyebaran gambar dan rakaman video pendaratan pesawat pengebom H-6N bersama-sama peluru berpandu jarak jauh itu mungkin disengajakan oleh pihak berkuasa China sebagai makluman kepada dunia luar tentang kemampuannya.

Mengenai jenis peluru berpandu balistik anti kapal yang dibawa oleh pesawat pengebom China itu, penganalisis ketenteraan mengatakan ia berkemungkinan besar Dong Feng DF-21D atau “CH-AS-X-13”.

Peluru berpandu balistik anti kapal DF-21D itu kerapkali dikenali sebagai “aircraft carrier killer” atau “pembunuh kapal pengangkut pesawat.”

Ia memang ia direka untuk merobek badan kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat atau musuh yang lain yang kini banyak belayar di Asia Pasifik ini termasuk di Laut China Selatan.

Peluru berpandu DF-21D bersama kenderaan lancaran daratnya. (sumber internet)

Kemampuannya memang digeruni oleh musuh-musuh China kerana ia mampu membedil sasaran laut sehingga 2,000km (bergantung kepada versi) dan ia adalah sistem peluru berpandu yang dikatakan tepat kerana dipandu oleh sistem Beidou Navigation Satellite System serta radar aktif.

Ada penganalisis pula mengatakan ada versi ASBM yang mampu membedil sasaran sehingga 3,000km.

Bagaimanapun, ada pula yang mengatakan pesawat pengebom strategic H-6N itu tidak membawa DF-21D tetapi satu jenis peluru berpandu yang baru kerana saiznya yang lebih besar berbanding DF-21D.

Bagaimanapun, apa yang admin ingin katakan adalah, kapal-kapal perang dan kapal pengangkut pesawat yang beroperasi di perairan Asia Pasifik perlu berjaga-jaga kerana mereka boleh dibedil daripada suatu jarak yang amat jauh.

Ia perlu mengubah pemikiran tentang strategi peperangan di laut di Asia Pasifik.

Pesawat H-6 Tentera China. (sumber internet)

Jarak maksimum operasi pesawat pengebom H-6N adalah 6,000 batu.

Tidak banyak negara yang mampu menangani ancaman ini atau radar-radar kapal perang yang mampu mengesan peluru berpandu ini jika ia dilancarkan daripada 2,000km atau 3,000km jauhnya, kecuali Amerika Syarikat dan Russia.

So apakah jalan penyelesaiannya? Menurut penganalisis ketenteraan, antara cara paling effektif untuk menangani ancaman peluru berpandu balistik anti kapal itu selain cara konvensional iaitu menembaknya jatuh menggunakan sebuah lagi peluru berpandu, adalah menerusi “electronic countermeasures.”

Tetapi pendapat itu pun masih dipertikaikan…

— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaH-6NLaut China SelatanPeluru berpanduPesawat Pengebom