Pesawat Pengangkut Tentera Mesir Tiba-Tiba Terbang ke Pakistan Dari China. Apa Muatan Dibawanya ??

Maklumat diperolehi daripada aplikasi penjejakan pesawat FlightRadar 24 itu mengesahkan bahawa pesawat pengangkut misteri tentera Mesir sebelum itu dilaporkan telah berlepas daripada China sebelum mendarat di Pakistan, sehari selepas gencatan senjata antara Pakistan dan India itu dimeterai.
Pesawat Pengangkut Tentera Mesir Tiba-Tiba Terbang ke Pakistan Dari China. Apa Muatan Dibawanya ??
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pendaratan secara tiba-tiba sebuah pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 milik Tentera Udara Mesir di sebuah lapangan terbang di Pakistan sebaik sahaja gencatan senjata dimeterai antara Islamabad dan New Delhi,  telah mencetuskan spekulasi hebat terutama berkenaan muatan yang mungkin dibawanya.
Menggunakan aplikasi penjejakan penerbangan, pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 Tentera Udara Mesir dengan callsign EGY1916 itu dikesan mendarat di landasan Lapangan Terbang Bhurban di daerah Muree, Pakistan.
Maklumat diperolehi daripada aplikasi penjejakan pesawat FlightRadar 24 itu mengesahkan bahawa pesawat pengangkut misteri tentera Mesir sebelum itu dilaporkan telah berlepas daripada China sebelum mendarat di Pakistan, sehari selepas gencatan senjata antara Pakistan dan India itu dimeterai.
Pesawat pengangkut IL-76 Mesir itu dikatakan berlepas semula daripada Pakistan menuju ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Apa yang mencetuskan spekulasi yang amat hebat dikalangan pemerhati di India adalah dakwaan  kemungkinan pesawat pengangkut tentera Mesir itu telah digunakan untuk mengangkut sistem pertahanan udara buatan China dan sistem-sistem persenjataan yang lain untuk digunakan oleh tentera Pakistan.
Dakwaan yang tidak dapat disahkan itu menyatakan bahawa China mengambil peluang daripada gencatan senjata itu untuk menghantar lebih banyak senjata terutamanya sistem pertahanan udara untuk membantu Islamabad menangani serangan peluru berpandu dan bom-bom pintar India yang mensasarkan pangkalan-pangkalan udara Pakistan.
Konflik bersenjata selama beberapa hari di antara Pakistan dan India menyaksikan India melancarkan serangan antaranya menggunakan peluru-peluru berpandu kruis BrahMos dan SCALP EG terhadap beberapa pangkalan udara penting Pakistan.

Flight radar

Walaupun sistem pertahanan udara tentera Pakistan berjaya menangani beberapa serangan BrahMos dan SCALP EG terhadap pangkalan udaranya sebagaimana yang berlaku di Pangkalan Udara Shahbaz, terdapat juga contoh dimana Pakistan gagal mematahkan serangan itu.
Pakistan mengoperasikan beberapa sistem pertahanan udara buatan China yang merangkumi keupayaan jarak dekat hingga jarak jauh, bagi menangani ancaman dari udara seperti pesawat, dron, peluru berpandu kruis dan berkemungkinan juga peluru berpandu balistik.
Antara sistem pertahanan udara buatan China dioperasikan oleh tentera Pakistan adalah HQ-9/P atau FD-2000,  yang merupakan sistem pertahanan udara jarak jauh dengan jarak tembakan sehingga 200 kilometer untuk varian FD-2000, dan boleh diperluaskan lagi dalam versi yang dinaik taraf.
Ia direka untuk memintas pelbagai jenis ancaman udara termasuk pesawat pejuang, peluru berpandu kruis, dron, dan juga peluru berpandu balistik.
Sistem ini menggunakan radar jenis HT-233 atau Type 305A dengan teknologi ‘phased-array’ untuk pengesanan dan penjejakan sasaran yang lebih tepat.
HQ-9/P sering dibandingkan dengan sistem S-300 buatan Russia dan dianggap sebagai setanding dengan sistem Patriot milik Amerika Syarikat.
“BrahMos”
Dalam konteks strategik, sistem ini berfungsi sebagai lapisan pertahanan udara utama Pakistan, yang bertujuan melindungi kawasan-kawasan penting seperti pangkalan tentera dan bandar utama daripada serangan udara.
Selain itu tentera Pakistan juga mengoperasikan LY-80 atau HQ-16, yang merupakan sistem pertahanan udara jarak sederhana dibangunkan oleh China, dengan keupayaan untuk memintas sasaran pada jarak sehingga 70 kilometer.
Ia direka untuk menangkis pelbagai ancaman udara termasuk pesawat sayap tetap, helikopter, dron, serta peluru berpandu kruis.
LY-80 dilengkapi dengan radar pengawasan tiga dimensi jenis IBIS-150 atau sistem radar berkaitan yang berupaya mengesan sasaran pada pelbagai ketinggian dan arah.
Sistem ini telah pun dikerahkan secara aktif oleh Kor Pertahanan Udara Tentera Darat Pakistan untuk melindungi kawasan strategik.
Ciri utama sistem ini adalah keupayaannya yang sangat mudah alih, menjadikannya sesuai untuk perlindungan formasi tentera di lapangan serta infrastruktur penting negara.
HQ-9
HQ-9
Tentera Pakistan juga mengoperasikan FM-90, yang merupakan sistem pertahanan udara jarak dekat (SHORAD) buatan China untuk menangkis ancaman pada altitud rendah, denga jarak efektif sekitar 15 kilometer.
Ia direka khas untuk memintas pesawat yang terbang rendah serta peluru berpandu kruis dan digunakan secara meluas bagi melindungi kemudahan ketenteraan utama serta unit-unit tentera yang bergerak.
FM-90 dibangunkan berdasarkan reka bentuk lama HQ-7, yang asalnya diadaptasi daripada sistem pertahanan udara Crotale buatan Perancis.
Tentera Pakistan juga dilaporkan telah menunjukkan minat untuk memperolehi FM-3000, yang merupakan sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak pendek ke sederhana yang direka untuk menangani ancaman seperti dron, helikopter dan pesawat yang terbang rendah.
Ia mempunyai anggaran jarak tembakan antara 30 hingga 50 kilometer, bergantung kepada konfigurasi dan varian yang digunakan.
Pakistan dilaporkan menunjukkan minat terhadap sistem FM-3000, namun masih belum jelas sama ada ia telah diterima masuk ke dalam perkhidmatan tenteranya secara rasmi.
HQ-16
Kebergantungan Pakistan terhadap sistem pertahanan udara buatan China mencerminkan kerjasama ketenteraan dan teknikal yang semakin mendalam antara Islamabad dan Beijing, dengan matlamat untuk membina “payung” pertahanan udara berlapis dan bersepadu.
Langkah ini dianggap amat penting bagi menghadapi ancaman daripada keupayaan udara dan peluru berpandu India yang semakin berkembang, termasuk peluru berpandu kruis BrahMos dan pesawat pejuang Rafale.
Selain itu, kehadiran secara tiba-tiba pesawat pengangkut tentera Mesir di Pakistan juga telah mencetuskan spekulasi terutamanya di negara “musuh tradisinya” iaitu India bahawa serangan peluru berpandu New Delhi telah menyebabkan “kerosakan” terhadap kemudahan penyimpanan senjata nuklear milik Pakistan yang ditempatkan di beberapa pangkalan udaranya.
Walaupun pihak berkuasa India dan Pakistan tidak mengesahkan dakwaan ini, spekulasi mengenainya terus tersebar meluas, dengan perbincangan di media-media sosial mengaitkan ketibaan pesawat itu dengan kemungkinan misi berkaitan keselamatan nuklear.
Namun apa yang menarik perhatian pemerhati adalah penerbangan pesawat pengangkut Tentera Mesir itu berlaku tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Mesir atau China terutamanya berhubung muatan di bawa pesawat tersebut.
Pemerhati mengaitkan insiden ini dengan hubungan ketenteraan yang semakin erat antara Mesir dan China, yang turut diserlahkan menerusi latihan ketenteraan bersama baru-baru ini seperti “Eagles of Civilization 2025”.
FM-90
Ilyushin Il-76 merupakan pesawat pengangkut strategik buatan Russia yang digunakan secara meluas oleh pelbagai angkatan tentera di seluruh dunia, termasuk Tentera Udara Mesir.
Pesawat ini dibangunkan oleh Biro Rekaan Ilyushin dan pertama kali diperkenalkan pada awal 1970-an sebagai pesawat kargo berat untuk Tentera Udara Soviet.
Tentera Udara Mesir memiliki beberapa buah Il-76 yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk penghantaran logistik, misi bantuan kemanusiaan, serta pemindahan pasukan dan peralatan berat ke kawasan operasi.
Il-76 mampu membawa muatan sehingga 50 tan, termasuk kenderaan tentera, sistem persenjataan, serta bekalan kritikal ke kawasan yang sukar diakses.
Pesawat ini juga mempunyai keupayaan untuk mendarat di landasan yang tidak berturap atau kasar, menjadikannya amat berguna dalam operasi ketenteraan di medan yang mencabar.
Il-76
Selain itu, varian khas Il-76 juga boleh digunakan untuk tugas-tugas seperti pengisian bahan api udara, amaran awal udara (AWACS), dan misi perubatan aeroangkasa.
Dengan gabungan keupayaan jarak jauh, muatan besar dan ketahanan operasi dalam pelbagai cuaca, Ilyushin Il-76 kekal sebagai aset penting dalam keupayaan mobiliti strategik Tentera Udara Mesir.
— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaIlyushin Il-76IndiaMesirPakistan
Comments (0)
Add Comment