Pesawat Pejuang Halimunan F-22 “Raptors” Amerika di Singapura Untuk Latihan Bersama di Laut China Selatan

Beberapa buah pesawat pejuang halimunan generasi kelima, F-22 “Raptor” yang bernaung di bawah U.S Pacific Air Forces (PACAF) kini berada di Singapura untuk mengadakan latihan bersama-sama pesawat pejuang Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) di Laut China Selatan, yang didakwa oleh China sebagai miliknya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa buah pesawat pejuang halimunan generasi kelima, F-22 “Raptor” yang bernaung di bawah U.S Pacific Air Forces (PACAF) kini berada di Singapura untuk mengadakan latihan bersama-sama pesawat pejuang Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) di Laut China Selatan, yang didakwa oleh China sebagai miliknya.

Pesawat-pesawat F-22 “Raptors” akan menghabiskan masa beberapa hari di republik itu untuk melaksanakana Dissimilar Air Combat Training (DACT) dengan pesawat-pesawat pejuang milik RSAF.

“Pesawat-pesawat pejuang F-22 U.S. Pacific Air Forces (PACAF) akan berada beberapa hari di Singapura untuk melaksanakan  Dissimilar Air Combat Training (DACT) bersama-sama pesawat pejuang F-15SG dan F-16 fighter.”

“Selain itu pesawat pejuang F-22 PACAF itu juga akan mengadakan latihan pengisian minyak di udara dengan pesawat pengisi minyak, A330 Multi-Role Tanker Transport (MRTT) milik Singapura,” menurut kenyataan di media sosial RSAF.

Latihan bersama di antara pesawat-pesawat F-22 PACAF dengan pesawat-pesawat pejuang Singapura itu akan diadakan di bahagian selatan ruang udara antarabangsa di Laut China Selatan bagi membolehkan mereka melaksanakan pelbagai taktik dengan rakan-rakan daripada PACAF.

(kredit Tentera Udara Republik Singapura)

 

Tidak dinyatakan di dalam kenyataan media sosial itu daripada mana pesawat pejuang F-22 itu berpangkalan sama ada di Guam, Jepun atau Australia.

Mengapa Australia??

Laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah secara “senyap-senyap” sedang membangunkan infrastruktur ketenteraan di utara Australia, bukan sahaja untuk menempatkan anggota tenteranya tetapi juga pesawat-pesawat pengebom B-52 dan juga pesawat pejuang F-22 “Raptor.”

Kesemua usaha itu yang dilakukan dengan kebenaran kerajaan Australia itu adalah untuk berhadapan dengan isu Laut China Selatan dan sikap agresif Beijing dalam mendakwa hampir keseluruhan perairan itu sebagai miliknya.

Kawasan utara Australia yang sedang dibangunkan oleh Amerika Syarikat sebagai “pangkalan tentera” barunya  untuk menempatkan pesawat pengebom dan pesawat pejuang generasi kelima itu adalah Darwin dan Tindal. 

Pangkalan tentera Amerika Syarikat di Darwin dan Tindal itu juga akan menempatkan pesawat-pesawat pengisi minyak (transport tanker) dan pelbagai pesawat sokongan lain.

(kredit Tentera Udara Republik Singapura)

 

Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) mahu membersarakan khidmat kira-kira 32 buah pesawat pejuang air-dominance F-22 “Raptor” miliknya bermula daripada tahun 2030 tetapi tindakan itu dihalang oleh anggota-anggota Kongres negara itu.

Anggota-anggota Kongres Amerika Syarikat itu enggan membenarkan USAF menamatkan khidmat pesawat pejuang generasi kelima F-22 itu kerana bimbang program pembangunan pesawat air dominance generasi keenam (Next Generation Air Dominance – NGAD) akan berdepan dengan kelewatan.

Kongres Amerika Syarikat mahukan kesemua 32 buah pesawat pejuang F-22 Block 20 itu terus terbang melepasi tahun 2030 atau sehingga pesawat-pesawat NGAD itu telah bersedia untuk mengambil-alih peranan yang dimainkan oleh F-22 sebelum ini.

Mereka mahukan 32 buah pesawat pejuang F-22 Block 20 yang mahu dibersarakan kerana tidak dilengkapi dengan sistem terkini dan hanya digunakan untuk latihan itu terus berkhidmat.

Malah mereka mahukan USAF diberikan peruntukan kewangan yang besar bagi membolehkan F-22 Block 20 itu dilengkapi dengan peralatan dan sistem moden setanding dengan F-22 Block 30/35 dan pesawat-pesawat pejuang di dalam USAF yang lain seperti F-35 dan F-15EX.

F-22 Raptor.

 

Pada ketika ini, USAF memiliki 185 pesawat pejuang F-22 dengan 32 daripadanya adalah daripada varian Block 20 yang tidak dilengkapi dengan peralatan terkini dan lebih banyak digunakan untuk latihan.

Oleh kerana varian F-22 Block 20 itu tidak dilengkapi dengan sistem dan komponen terkini seperti IRST (Infra Red Search Tracking), maka sebab itulah ia tidak dikerahkan kepada misi-misi di barisan hadapan dan hanya digunakan untuk latihan.

Dengan penamatan khidmat 32 pesawat pejuang F-22 Block 20, USAF hanya mengekalkan 153 F-22 untuk kegunaannya. — DSA

AmerikaF-22featuredRaptors
Comments (2)
Add Comment