(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pejuang F/A-18F Super Hornet milik Tentera Laut Amerika Syarikat ditembak jatuh oleh kapal perang negara itu sendiri di perairan Laut Merah, menurut kenyataan US Central Command (CENTCOM).
Menurut kenyataan CENTCOM, pesawat pejuang dua tempat duduk Super Hornet itu yang beroperasi daripada kapal pengangkut pesawat USS Harry S.Truman (CVN75) itu didakwa ditembak jatuh oleh peluru berpandu yang dilancarkan oleh kapal kruiser Tentera Laut Amerika Syarikat USS Gettysburg (CG-64).
“Kedua-dua juruterbang telah diselamatkan dengan jayanya. Penilaian awal menunjukkan bahawa salah seorang daripada krew mengalami kecederaan ringan,” menurut kenyataan daripada CENTCOM.
“Kejadian ini bukan disebabkan oleh tembakan musuh, dan siasatan penuh sedang dijalankan.”
Insiden penembakan jatuh pesawat pejuang dua tempat duduk Super Hornet itu berlaku di tengah-tengah operasi ketenteraan hujung minggu terhadap kumpulan pejuang Houthi, yang menguasai sebahagian besar Yaman, termasuk ibu negara, Sana’a.
Pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat dan Britain telah mengebom sasaran di Sana’a sejak Sabtu.
Insiden penembakan jatuh pesawat pejuang Super Hornet itu merupakan kali pertama menimpa pesawat pejuang milik Amerika Syarikat dalam tempoh 14 bulan operasi tentera Amerika menentang kumpulan pejuang Houthi di sekitar Yaman.
Kumpulan pejuang Houthi mendakwa telah menembak jatuh beberapa dron MQ-9 Reaper, namun tiada pesawat pejuang atau helikopter yang menjadi sasaran setakat ini.
Pesawat pejuang F/A-18F Super Hornet itu adalah yang pertama terlibat dalam pertempuran, walaupun secara tidak sengaja oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.
Pesawat pejuang Super Hornet yang dibina oleh syarikat Boeing adalah pesawat pejuang supersonik yang dilengkapi dengan dua enjin yang “mampu melaksanakan hampir setiap misi dalam spektrum taktikal,” menurut pengeluar pesawat pejuang itu.
Kapal perang kruiser USS Gettysburg adalah antara kapal perang yang terlibat mengiringi kapal pengangkut pesawat USS Harry S Truman, di mana pesawat F/A-18F Super Hornet yang terlibat dalam insiden penembakan jatuh tersebut ditugaskan sebagai sebahagian daripada Carrier Air Wing 1.
USS Gettysburg (CG-64) adalah kapal kruiser peluru berpandu kelas Ticonderoga yang dilengkapi dengan rangkaian sistem pertahanan udara yang kukuh untuk melindungi dirinya serta kapal lain dalam kumpulan tempurnya. Komponen utama dalam persenjataan pertahanan udara kapal ini termasuk:
1. Sistem Tempur Aegis
Sistem Pertahanan Udara Teras: Sistem Aegis adalah tunjang utama pertahanan udara USS Gettysburg. Ia menggunakan radar canggih (siri SPY-1) untuk mengesan, menjejak, dan memusnahkan ancaman, membolehkan kapal ini menyasarkan pelbagai pesawat, peluru berpandu, dan kapal permukaan secara serentak.
2. Sistem Peluru Berpandu:
-
SM-2 (Standard Missile-2): Peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) utama untuk memusnahkan pesawat dan peluru berpandu yang mendekat pada jarak jauh.
-
SM-6 (Standard Missile-6): Mampu memintas peluru berpandu kruis, peluru berpandu balistik, dan pesawat.
-
ESSM (Evolved Sea Sparrow Missile): Menyediakan pertahanan jarak sederhana terhadap peluru berpandu dan pesawat.
Sistem ini membentuk lapisan pertahanan yang komprehensif, memastikan USS Gettysburg dan kapal-kapal lain dalam kumpulannya dilindungi daripada pelbagai ancaman udara dan permukaan.
Kapal pengangkut pesawat USS Harry S.Truman tiba di perairan Timur Tengah pada 14 Disember lalu untuk “memastikan kestabilan dan keselamatan serantau,” menurut pengumuman terdahulu oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
Sementara itu kumpulan bersenjata Houthi dalam satu kenyataan berkata pejuangnya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat pejuang Super Hornet Amerika Syarikat itu dan bukan satu insiden “friendly fire” sebagaimana didakwa oleh tentera Amerika Syarikat itu.
“Angkatan tentera kami telah berjaya mematahkan serangan oleh pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat dan Britain terhadap negara kami, dengan mensasarkan kapal pesawat pejuang USS Harry S.Truman dan beberapa kapal perang.”
Operasi terhadap kapal-kapal pengangkut pesawat dan kapal perang Amerika Syarikat dilakukan menggunakan lapan peluru berpandu kruis dan 17 dron. — DSA