Pesawat Pejuang F/A-18E Super Hornet Amerika Mula Tiba di Pangkalan Udara Jordan

Pesawat-pesawat pejuang Super Hornet Amerika Syarikat itu berada di Jordan dipercayai sebagai sebahagian daripada langkah negara itu untuk “melindungi” sekutunya, Israel daripada sebarang serangan peluru berpandu ballistik oleh Iran.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang F/A-18E Super Hornet daripada kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat USS Theodore Roosevelt telah dilihat tiba dan mula beroperasi di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Jordan baru-baru ini.

Pesawat-pesawat pejuang itu dilihat beroperasi di pangkalan udara Jordan itu lengkap bersenjata, membawa sekurang-kurangnya empat buah peluru berpandu AIM-120 AMRAAM dan AIM-9X Sidewinders.

Pesawat-pesawat pejuang Super Hornet Amerika Syarikat itu berada di Jordan dipercayai sebagai sebahagian daripada langkah negara itu untuk “melindungi” sekutunya, Israel daripada sebarang serangan peluru berpandu ballistik oleh Iran.

Iran mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap Israel selepas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh di Teheran baru-baru ini, yang dipercayai dilakukan oleh agensi perisikan Israel,Mossad.

Iran dipercayai akan menggunakan peluru berpandu ballistik, dron berani mati dan peluru berpandu kruis, sekiranya ia memutuskan untuk melancarkan serangan besar-besar terhadap Israel sebagai membalas dendam terhadap pembunuhan Ismail di Teheran.

F/A-18E Super Hornet

 

Sebagaimana yang berlaku pada April lalu, Amerika Syarikat turut mengerahkan pesawat-pesawat pejuangnya untuk menembak jatuh peluru-peluru berpandu ballistik, dron berani mati dan peluru berpandu kruis dilancarkan Iran terhadap Israel.

Kebanyakkan daripada peluru berpandu ballistik, dron berani mati dan peluru berpandu kruis dilancar oleh Iran itu ditembak jatuh oleh pesawat pejuang Amerika ketika ia berada di ruang udara Jordan sebelum memasuki ruang udara Israel.

Pangkalan Udara Muwaffaq Salti milik Jordan itu adalah lokasi yang baik untuk menempatkan pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat untuk menembak jatuh peluru-peluru berpandu Iran yang menuju ke arah Israel kerana kedudukannnya yang terletak di tengah-tengah Jordan.

Dengan pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat telah pun berada di pangkalan udara di Jordan, ia menunjukkan Washington sudah bersiap-sedia untuk “melindungi” Israel daripada sebarang serangan oleh Iran.

Bagi Jordan pula,kehadiran pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat di pangkalan udara miliknya itu menunjukkan berkemungkinan besar ia akan membenarkan ruang udaranya digunakan oleh Washington untuk mempertahankan Israel daripada serangan peluru berpandu Iran.

Kemungkinan besar, ia juga akan membenarkan pesawat-pesawat pejuang Israel menggunakan ruang udaranya untuk menembak jatuh peluru-peluru berpandu yang dilancar Iran terhadap negara Yahudi itu.

Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Jordan

 

Jika itu berlaku, maka kenyataan terbuka Jordan bahawa ia tidak akan membenarkan ruang udaranya digunakan oleh mana-mana pihak beberapa hari lalu, hanyalah kenyataan untuk meredakan kemarahan rakyat itu dan masyarakat Arab keseluruhannya terhadap pembunuhan Ismail dipercayai oleh Israel.

 Tindakan Jordan mengarah pesawat pejuangnya dan membenarkan pesawat pejuang Amerika serta Israel menggunakan ruang udaranya untuk menembak jatuh peluru-peluru berpandu dan dron berani mati dilancar Iran terhadap Israel pada April lalu,  telah mengundang kecaman dan kritikan keras daripada keseluruhan dunia Arab dan Islam.

“Kemurahan hati” kerajaan Jordan membuka ruang udaranya kepada pesawat Israel dan Amerika Syarikat adalah untuk memastikan peluru berpandu dan dron Iran itu berjaya dimusnahkan di dalam ruang udara Jordan sebelum ia memasuki ruang Israel.

Ramai dikalangan warga Arab dan penduduk Islam seluruh dunia menyifatkan tindakan Jordan itu amat mengejutkan kerana negara itu dilihat sebagai “mempertahankan” Israel pada ketika rejim Yahudi pimpinan Benjamin Netanyahu itu membunuh lebih daripada 39,000 penduduk Palestin menerusi tindakan ketenteraannya di Gaza ketika ini.

Berhadapan dengan kecaman keras daripada dunia Arab dan Islam di atas tindakannya “mempertahan dan melindungi” Israel yang disifatkan seperti “menikam belakang” penduduk Palestin,  kerajaan Jordan terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk menjernihkan keadaan.

USS Theodore Roosevelt (CVN-71)

 

Kerajaan Jordan menyatakan bahawa tindakannya mengarahkan pesawat-pesawat pejuangnya menembak jatuh peluru berpandu dan dron Iran itu dan membuka ruang udaranya kepada pesawta pejuang Amerika dan Israel adalah tindakan mempertahankan diri dan bukan bertujuan untuk membantu Israel.

Ia berkata peluru berpandu dan dron Iran yang memasuki ruang udaranya menuju ke Israel perlu ditangani supaya ia tidak membahayakan penduduk dan rakyatnya serta mereka yang mendiami kawasan-kawasan penempatan yang padat di Jordan. — DSA

 

F/A-18EfeaturedJordanSuper Hornet