Pesawat Pertama A400M TUDM Selesai Jalani Peningkatan Kemampuan

Selepas kerja-kerja peningkatan kemampuan itu, pesawat A400M TUDM itu kini mampu melaksanakan misi-misi yang baru seperti penghantaran udara, kerahan anggota payung terjun dan penerbangan aras rendah.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pengangkut pertama A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kemampuan dipertingkat telah “dipulangkan” semula kepada TUDM selepas selesai menjalani kerja-kerja peningkatan kemampuan itu.

Kerja-kerja peningkatan kemampuan itu telah dilakukan di kemudahan Airbus di Sevilla, Sepanyol.

Syarikat Airbus yang membangunkan pesawat pengangkut itu dalam satu kenyataan berkata, selepas kerja-kerja peningkatan kemampuan itu, pesawat A400M TUDM itu kini mampu melaksanakan misi-misi yang baru seperti penghantaran udara, kerahan anggota payung terjun dan penerbangan aras rendah.

Mula berkhidmat dengan TUDM pada 2015, pesawat A400M telah mengubah operasi pengangkut udara penggunanya dengan memainkan peranan dalam perlaksanaan misi termasuk pengangkutan kargo dan anggota, misi kemanusiaan serta bencana dan pengangkutan peralatan berat,

Pesawat A400M itu juga memainkan peranan dalam strategi menangani pandemic COVID-19, pengangkutan perubatan selain operasi pengisian minyak udara-ke-udara.

Pesawat pengangkut A400M TUDM

TUDM merupakan pelanggan eksport pesawat pengangkut A400M yang pertama serta pelanggan A400M pertama di rantau Asia Pasifik.

Dengan jumlah penerbangan pesawat-pesawat pengangkut A400M TUDM telah mencecah 10,000 jam,  TUDM juga merupakan pendahulu dikalangan pengguna yang lain daripada segi jumlah jam penerbangan.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Sebagai Fleet Leader, pesawat-pesawat A400M TUDM sering dirujuk dikalangan pengguna-pengguna pesawat pengangkut A400M. 

TUDM memiliki empat buah pesawat pengangkut A400M.

 Malaysia mula menggunakan empat buah pesawat A400M Atlas yang mula diterimanya pada tahun 2015, dengan No 22 Skuadron mengoperasikannya. — DSA

 

 

A400MAirbusfeaturedTUDM