Perolehan Helikopter ASW Untuk Ganti Super Lynx TLDM Pada RMK-13

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, perolehan helikopter ASW bagi menggantikan helikopter Super Lynx itu adalah bagi memenuhi penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15 to 5.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Malaysia telah mendaftarkan program perolehan helikopter Anti-Submarine Warfare (ASW) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menggantikan helikopter tempur Super Lynx Mk300 dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang akan bermula tahun 2026.
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, perolehan helikopter ASW bagi menggantikan helikopter Super Lynx itu adalah bagi memenuhi penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15 to 5.
“Pihak TLDM kini sedang merancang perolehan helikopter tempur baharu bagi menggantikan helikopter Super Lynx di bawah program perolehan helikopter Anti-Submarine Warfare yang telah didaftarkan dalam RMKe-13.”
“Perolehan ini adalah bagi memenuhi sasaran Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15 to 5,” kata Menteri Pertahanan dalam jawapan lisan kepada soalan Komander Nordin Ahmad Ismail (Lumut) pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Baru-baru ini, sumber industri memberitahu Defence Security Asia bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengemukakan permohonan Request For Proposal (RFQ) untuk perolehan enam buah enam buah helikopter anti-peperangan kapal selam (ASW – Anti Submarine Warfare).

RFP bagi enam buah helikopter ASW itu adalah langkah permulaan untuk program menggantikan enam buah helikopter Super Lynx Mk300 yang dioperasikan oleh TLDM pada ketika ini (sebenarnya hanya empat helikopter Super Lynx masih beroperasi).
Sebagaimana yang diketahui sebelum ini,  TLDM sememangnya berhasrat untuk menggantikan enam buah helikopter Super Lynx Mk300 yang telah pun digunakannya sejak tahun 2003 dan usia helikopter terbabit sudah pun mencecah 21 tahun pada tahun ini.
Daripada enam buah helikopter Super Lynx Mk300 yang diperolehi daripada Augusta Westland (dahulu dikenali sebagai GKN Westland Helicopter), hanya empat buah sahaja masih dioperasikan  oleh TLDM pada ketika ini.
Sumber industri menyatakan bahawa syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) turut berminat untuk membekalkan helikopter ASW kepada TLDM.
Defence Security Asia difahamkan KAI bakal mengetengahkan “Marineon” MOH (Marine Operation Helicopter) yang merupakan varian marin helikopter “Surion” dibangunkan oleh syarikat  itu dan digunakan secara meluas oleh cabang-cabang Angkatan Tentera Korea Selatan.
Helikopter “Marineon” oleh Korea Aerospace Industries (KAI)
Helikopter “Marineon”/”Surion” telah dibangunkan oleh KAI dengan menggabungkan kelebihan-kelebihan teknologi diperolehi menerusi pengoperasian helikopter Amerika Syarikat dan Eropah oleh negara itu, selain menggunakan platform dan sistem yang sudah sedia ada di pasaran.
Secara asasnya,helikopter “Marineon” MOH antaranya itu boleh dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-darat, peluru berpandu udara-ke-udara, torpedo, Gatling Gun, mesingan berat dan lain-lain lagi.
Manakala bagi sistem sensor pula, helikopter itu boleh dilengkapi dengan Sonarbuoy, Electronic Support Measure (ESM), Forward Looking Infra Red (FLIR), Search Radar dan sebagainya, manakala  untuk tujuan Anti-Submarine Warfare (ASW), helikopter “Marineon” MOH  boleh dilengkapi dengan “dipping sonar” untuk mengesan kehadiran kapal-kapal selam musuh.
Sebuah lagi helikopter yang digembar-gemburkan bakal menyertai persaingan untuk menggantikan helikopter Super Lynx TLDM adalah AW159 Wildcat yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo.
AW159 “Wildcat” oleh Leonardo
Sementara itu Menteri Pertahanan juga menyatakan bahawa Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 dan Fennec yang tidak terlibat di dalam kemalangan telah kembali beroperasi seperti biasa.
“Berdasarkan status operasi dan sokongan logistik daripada pihak Original Equipment Manufacturer (OEM), Kementerian Pertahanan melalui TLDM menjangkakan bahawa pesawat Fennec masih boleh digunakan sehingga tahun 2030,” katanya.
Mohamed Khaled juga berkata, pihak TLDM juga sedang meneliti opsyen menambahkan kekuatan HOM AW139 sedia ada untuk menampung keperluan operasi TLDM melalui kaedah sewaan. — DSA
featuredMohamed KhaledSuper LynxTLDM
Comments (0)
Add Comment