Perjanjian Rahsia Membolehkan UAE Tempatkan Radar Buatan Israel Miliknya di Somalia
Tindakan UAE itu dilihat sebagai usaha untuk memperkukuhkan keselamatan infrastrukturnya di Afrika Timur, memandangkan ketegangan serantau semakin memuncak susulan serangan balas oleh Angkatan Bersenjata Yaman terhadap sasaran yang disyaki mempunyai kaitan dengan kepentingan negara Arab Teluk itu di rantau tersebut.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan telah menempatkan sistem radar ketenteraan canggih buatan Israel di wilayah separa autonomi Puntland, Somalia bagi melindungi Lapangan Terbang Bosaso daripada kemungkinan serangan dron atau peluru berpandu oleh Angkatan Bersenjata Yaman (YAF).
Tindakan UAE itu dilihat sebagai usaha untuk memperkukuhkan keselamatan infrastrukturnya di Afrika Timur, memandangkan ketegangan serantau semakin memuncak susulan serangan balas oleh Angkatan Bersenjata Yaman terhadap sasaran yang disyaki mempunyai kaitan dengan kepentingan negara Arab Teluk itu di rantau tersebut.
Radar buatan Israel itu, ELM-2084 3D AESA (Active Electronically Scanned Array) telah dipasang berhampiran Lapangan Terbang Bosaso pada awal tahun ini, berdasarkan imej satelit bertarikh Mac 2025.
UAE dan Israel telah menjalin hubungan diplomatik secara rasmi pada 13 Ogos 2020 melalui satu perjanjian bersejarah yang dikenali sebagai Abraham Accords.
Perjanjian damai itu secara rasmi ditandatangani pada 15 September 2020 di Rumah Putih, Washington D.C, dengan kehadiran Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan dan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump sebagai saksi.
UAE menjadi negara Arab ketiga selepas Mesir (1979) dan Jordan (1994) yang menjalin hubungan diplomatik penuh dengan Israel, serta yang pertama dari rantau Teluk Arab berbuat demikian.
Radar ELM-2084 merupakan sebuah sistem radar canggih berteknologi Active Electronically Scanned Array (AESA) yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan terkemuka Israel, ELTA Systems, anak syarikat kepada Israel Aerospace Industries (IAI).
Imej satelit menunjukkan penempatan radar Israel milik UAE di Somalia.
Sistem ini direka untuk berfungsi dalam tiga peranan utama iaitu mengesan dan menjejak ancaman udara, mengendalikan sistem pertahanan udara, serta memberi sokongan kepada artileri dengan mengesan lokasi tembakan musuh secara pantas dan tepat.
Menggunakan teknologi AESA 3D, ELM-2084 mampu mengimbas ruang udara dengan kelajuan tinggi tanpa perlu menggerakkan antenanya secara fizikal, membolehkan ia mengesan, menjejak dan mengklasifikasikan pelbagai sasaran udara termasuk dron, peluru berpandu balistik, peluru berpandu sayap, roket, dan pesawat tempur dalam masa yang sangat singkat.
Radar ini mempunyai jarak pengesanan sejauh 100 hingga 470 kilometer bergantung kepada konfigurasi, dan boleh menjejak ratusan sasaran serentak, memberikan kelebihan operasi kepada pasukan pertahanan dalam persekitaran peperangan moden yang kompleks.
Dalam konteks pertahanan peluru berpandu, ELM-2084 berfungsi sebagai tulang belakang kepada sistem pertahanan udara terkenal Israel seperti Iron Dome, David’s Sling, dan sistem integrasi peluru berpandu balistik Arrow.
Kebolehannya untuk mengesan pelancaran peluru berpandu atau roket dari jarak jauh serta mengira titik jatuhan dengan ketepatan tinggi membolehkan pertahanan bertindak balas lebih awal, meningkatkan peluang untuk memintas ancaman sebelum mencapai sasaran.
Radar ini juga direka untuk beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca dan persekitaran, termasuk dalam situasi peperangan elektronik di mana cubaan gangguan dan serangan jamming adalah tinggi.
Lapangan Terbang Bosaso
Bersifat modular dan boleh dipasang pada pelbagai platform, termasuk kenderaan bergerak, menjadikan ELM-2084 sangat fleksibel untuk operasi pantas, sama ada untuk pertahanan lapangan terbang, kawasan sempadan, mahupun infrastruktur kritikal.
Abu Dhabi dilaporkan menggunakan Lapangan Terbang Bosaso untuk membekalkan senjata kepada kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Sudan, yang kini terlibat dalam peperangan berdarah selama dua tahun dengan tentera Sudan.
Pesawat kargo bersaiz besar dilaporkan kerap membawa senjata dan peluru dari Bosaso ke Sudan, dengan sesetengah hari mencatatkan sehingga lima penghantaran utama.
Penempatan radar buatan Israel itu berkemungkinan untuk memastikan lapangan terbang itu selamat daripada sebarang ancaman.
Pihak berkuasa nasional Somalia pula dilihat terus berdiam diri mengenai kehadiran ketenteraan UAE di wilayah tersebut.
Presiden Puntland, Said Abdullahi Deni, didakwa telah memberikan kebenaran kepada operasi UAE itu tanpa mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan Somalia atau parlimen wilayah Puntland sendiri.
Menurut dua sumber Somalia, urusan itu digambarkan sebagai satu “perjanjian rahsia,” dengan beberapa pegawai kanan Puntland sendiri tidak mengetahui sepenuhnya skala sebenar operasi tersebut.
Rapid Support Forces (RSF) merupakan kumpulan separa tentera paling berkuasa di Sudan, yang asalnya ditubuhkan daripada militia Janjaweed semasa konflik Darfur dan kemudiannya diserap ke dalam struktur keselamatan negara.
Sejak tercetusnya perang saudara pada April 2023, RSF telah bertempur hebat dengan Angkatan Tentera Sudan (SAF) dalam perebutan kuasa, menyebabkan ribuan nyawa terkorban dan jutaan rakyat Sudan terpaksa melarikan diri ke negara jiran.
Konflik ini turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat antarabangsa, memandangkan Sudan terletak di kawasan strategik di antara Afrika Timur dan utara, berhampiran laluan perdagangan Laut Merah yang penting kepada ekonomi global.
Pihak RSF, yang diketuai oleh Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai “Hemedti,” dipercayai mendapat sokongan logistik dan persenjataan daripada beberapa pihak luar, termasuk daripada negara-negara Teluk.
Penggunaan Lapangan Terbang Bosaso oleh UAE sebagai saluran penghantaran logistik kepada RSF bukan sahaja mendedahkan kerumitan hubungan geopolitik di rantau ini, malah memperlihatkan bagaimana pergolakan di Sudan memberi kesan langsung kepada kestabilan dan keselamatan di Tanduk Afrika.
Dalam suasana ketegangan ini, tindakan UAE dilihat oleh penganalisis serantau sebagai usaha memperkukuh pengaruhnya di Afrika Timur, pada masa sama meningkatkan risiko Somalia terheret ke dalam konflik serantau yang lebih luas.
UAE dilaporkan menyokong kumpulan separa tentera RSF di Sudan atas beberapa sebab strategik dan ekonomi.
UAE, khususnya Dubai, merupakan destinasi utama bagi eksport emas Sudan.
Sebahagian besar emas ini didakwa diperolehi melalui saluran tidak rasmi yang dikawal oleh RSF.
Hubungan ini membolehkan RSF membiayai operasinya, manakala UAE mendapat akses kepada sumber emas yang berharga.
Selain itu, UAE juga telah melabur dalam pelbagai projek infrastruktur di Sudan, termasuk pembangunan pelabuhan di Laut Merah, dengan sokongannya kepada RSF membantu UAE melindungi dan memperluas pelaburannya di kawasan yang dikawal oleh kumpulan tersebut.
Dengan menyokong RSF, UAE juga berusaha memperkukuh pengaruhnya di Afrika Timur dan negara Tanduk Afrika, sejajar dengan strategi luar negara negara Arab Teluk itu untuk menjadi pemain utama dalam politik dan ekonomi serantau.
UAE dan Sudan mempunyai sejarah kerjasama ketenteraan, termasuk penglibatan bersama dalam konflik di Yaman.
Sokongan kepada RSF mungkin merupakan lanjutan daripada hubungan ketenteraan ini.
Walaupun terdapat laporan mengenai sokongan UAE kepada RSF, kerajaan UAE secara rasmi menafikan sebarang penglibatan dalam membekalkan senjata atau sokongan ketenteraan kepada kumpulan tersebut.