Kapal Selam China Terkandas Dalam “Perangkap” Sendiri, 55 Krew Dikhuatiri Maut

Laporan perisikan oleh pihak British itu menyatakan: “ Pada 21 Ogos telah berlakunya kemalangan di dalam kapal selam ketika ia sedang menjalankan misi di Laut Kuning pada 08:12 (waktu tempatan),menyebabkan kehilangan nyawa 55 anggotanya. Turut maut dalam insiden itu adalah Kapten Kolonel Xue Yong-Peng.”

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan perisikan oleh pihak keselamatan British menyatakan bahawa 55 orang krew kapal selam China terbunuh selepas kapal selam malang mereka terkandas dalam perangkap yang disediakan oleh pihak Beijing untuk memerangkap kapal-kapal selam Barat.

Insiden terbabit didakwa berlaku di Laut Kuning.

Menurut laporan perisikan itu lagi, kesemua krew kapal selam itu maut selepas sistem penghasilan oksigen kapal selam mereka mengalami kerosakan, mengakibatkan mereka mengalami keracunan udara.

Di antara krew kapal kapal selam yang menemui ajal termasuklah kapten kapal selam “093-417” milik Tentera Laut China.

Beijing secara rasminya tidak pernah mengakui bahawa insiden malang itu berlaku, walaupun pihak-pihak Barat serta Taiwan mendakwa tentang berlakunya insiden itu.

Pihak Barat juga dilaporkan telah menawarkan bantuan kepada Beijing untuk menyelamatkan kapal selam itu dan krewnya.

Laporan perisikan oleh pihak British itu menyatakan: “ Pada 21 Ogos telah berlakunya kemalangan di dalam kapal selam ketika ia sedang menjalankan misi di Laut Kuning pada 08:12 (waktu tempatan),menyebabkan kehilangan nyawa 55 anggotanya,”

“Turut maut dalam insiden itu adalah Kapten Kolonel Xue Yong-Peng.”

“Adalah dipercayai kematian mereka disebabkan hypoxia berpunca daripada kegagalan sistem pada kapal selam itu. Kapal selam itu melanggar rintangan rantai dan sauh yang digunakan oleh Tentera Laut China untuk memerangkap kapal-kapal selam Amerika Syarikat dan sekutunya.”

“Ia seterusnya telah menyebabkan kegagalan sistem dalam kapal selam itu yang mengambil masa selama enam jam untuk memperbaikinya dan membawa kapal selam itu ke permukaan. Sistem oksigen kapal selam mengalami kegagalan berfungsi.”

Dua bulan lepas, laporan-laporan mula muncul tentang “kehilangan” sebuah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Shang (Type 093) selepas mengalami kemalangan di Selat Taiwan.

Kapal selam berkuasa nuklear China Type 094 kelas-Jin di Pangkalan Laut Yulin di Pulau Hainan. (kredit CSIS/MAXAR)

 

Laporan tentang kemungkinan kapal selam China mengalami kemalangan itu timbul beberapa hari selepas China melancarkan latihan perang di sekitar perairan Taiwan bulan lepas.

Latihan perang besar-besar oleh tentera China itu disifatkan sebagai “amaran” kepada Taiwan dan pendokong utamanya, Amerika Syarikat.

Kementerian Pertahanan China tidak pernah menyentuh mengenai spekulasi “kehilangan” kapal selamnya itu dalam sidang medianya, walaupun media-media di luar China “kecoh” tentang dakwaan kemalangan menimpa aset bawah laut Beijing itu.

Ditanya mengenai dakwaan insiden menimpa kapal selam berkuasa nuklear China bulan lepas, Kementerian Pertahanan Taiwan sekadar menyatakan ia tidak mempunyai “sebarang maklumat untuk disahkan”.

Bagaimanapun nada Kementerian Pertahanan Taiwan agak berlainan apabila ditanya tentang dakwaan kemalangan kapal selam China itu baru-baru ini.

Kini Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan “perkara berkaitan itu menyentuh sensitiviti. Bukan hak kami untuk memberikan komen.”

Pangkalan kapal selam China di Yulin, Pulau Hainan.

 

Laporan-laporan menyatakan bahawa “kemalangan” kapal selam China kini dikatakan berlaku di Laut Kuning (Yellow Sea) dan bukan di Selat Taiwan, sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

Timbalan Pengarah Pejabat Perisikan Kementerian Pertahanan Taiwan Mejar Jeneral Huang Wengqi dilaporkan berkata beliau tidak mahu memberikan komen tentang dakwaan “kemalangan” kapal selam kelas-Shang China kerana maklumatnya mengenainya adalah “amat rahsia.”

Laporan-laporan tentang “kemalangan” menimpa kapal selam nuklear kelas-Shang China mula muncul pada 21 Ogos, menyatakan kira-kira 100 orang krew kapal selam itu maut.

Kapal selam nuklear kelas-Shang merupakan antara kapal selam paling berkemampuan milik China, walaupun ia digambarkan sebagai kapal selam berkuasa nuklear generasi kedua.

Kemalangan menimpa kapal selam China bukanlah sesuatu yang baru.

 Pada 25 April 2003, sekumpulan nelayan China terjumpa periskop di tengah-tengah lautan dan melaporkannya kepada pihak tentera negara itu yang menghantar dua buah kapal perangnya untuk memeriksa.

Kapal selam kelas-Ming “361” China yang malang (dalam bulatan merah)

 

Pada mulanya, Tentera Laut China menjangkakan periskop itu adalah milik sebuah kapal selam asing, sama ada milik kapal selam Korea Selatan atau Jepun yang sedang dalam misi perisikan di dalam perairan China.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut menunjukkan periskop itu dimiliki oleh kapal selam mereka sendiri iaitu kapal selam kelas-Ming dengan nombor pengenalan “361.”

Kapal selam kelas-Ming ini adalah kapal selam berteknologi lama yang direkabentuk berdasarkan rekabentuk kapal selam kelas-Romeo Russia.

Pemeriksaan lanjut terhadap kapal selam yang tersadai di tengah-tengah lautan itu telah membawa penemuan yang menyedihkan selepas mereka telah menemui jasad 70 krew kapal selam diesel/elektrik itu  termasuk seorang pegawai kanan tentera laut negara itu dikenali dengan nama Komodor Chen Fuming.

Insiden membabitkan kapal selam kelas-Ming “361” itu adalah di antara insiden terbesar membabitkan tentera China pada waktu aman. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

ChinafeaturedKapal SelamPerangkap
Comments (0)
Add Comment