(VIDEO) “Pengintip” Israel Dihadapkan Ke Mahkamah, Berdepan Hukuman Mati

(VIDEO) Lelaki miliki dwi-kerakyatan Israel dan Perancis Shalom Avitan, 38 tahun berhadapan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang lelaki memiliki dwi-kerakyatan Israel dan Perancis, Shalom Avitan mengaku tidak bersalah  atas dakwaan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 158 peluru, pada Mac lalu.

Lelaki itu yang berusia 38 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalahnya apabila dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Pemegang pasport Perancis itu juga minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

“Saya faham tuduhan, tidak bersalah,” katanya ringkas.

Mengikut pertuduhan, Avitan didakwa memiliki enam senjata api dan peluru berkenaan pada 26 hingga 28 Mac lalu di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang.

Avitan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Avitan dibawa masuk ke bilik Mahkamah pada jam 9.30 pagi dan dikawal ketat oleh anggota polis yang memakai Balaclava.

Beliau tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8 pagi tadi menggunakan kenderaan polis sambil  dikawal ketat oleh kira-kira 20 anggota polis lengkap bersenjata sub-mesingan sebelum dibawa masuk ke dalam kompleks mahkamah.

Hakim Tasmin Abu Bakar tidak membenarkan ikat jamin Avitan dan menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Hussian berkata Avitan  memasuki Malaysia pada 12 Mac menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau dilaporkan berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya dikenali dengan nama “Eran Haya” untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga.

PDRM menurutnya telah bertindak meningkatkan keselamatan antaranya terhadap Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong berikutan tangkapan itu berlaku ketika peperangan masih berlangsung antara Palestin dan Israel.

Malaysia adalah penyokong setia Palestin dan lantang mengkritik tindakan Israel dalam perang Gaza.

Dalam pada itu, beberapa media berbahasa Hebrew Israel mengenal pasti Avitan sebagai ahli kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.

Seterusnya, menurut portal berita dan hiburan Israel, Mako, Avitan (suspek) tiba ke Malaysia untuk membunuh ketua kumpulan penjenayah seteru dikenali sebagai Eran Haya.

Senjata api yang dirampas daripada warga Israel.

 

Terdahulu selama beberapa bulan, kedua-dua kumpulan penjenayah itu terjebak dalam konflik yang ganas.

Menurut laporan stesen televisyen di Israel, Channel 12, rumah Avitan di kawasan kejiranan mewah sekitar Tel Aviv dibom oleh konco-konco kumpulan penjenayah Haya pada pertengahan Mac lalu.

Dalam jangka masa sama serangan itu dilancarkan, Haya dipercayai memasuki Malaysia.

Avitan tidak lama kemudian mengekori Haya masuk ke negara ini dengan menggunakan pasport Perancis memandangkan dia mempunyai dua kewarganegaraan. — DSA

 

featuredIsraelMahkamahShalom Avitan