(DEFENCE SECURITY ASIA) – Peluru berpandu canggih dwi-mod (dual mode) buatan Iran dikenali dengan panggilan “Saqr 358” kini menjadi “musuh utama” kepada dron-dron dioperasikan oleh tentera Israel dan Amerika Syarikat di ruang udara selatan Lubnan serta Yemen.
Awal hari ini, sebuah lagi dron Medium Altitude Long Range (MALE) “Hermes 900” milik tentera Israel yang dianggarkan bernilai US$10 juta sebuah (RM45 juta) menjadi mangsa terbaru peluru berpandu “Saqr 358” apabila ia ditembak jatuh oleh pejuang Hezbollah yang melancarkannya di selatan Lubnan.
Pihak tentera Israel hari ini mengakui sebuah dron Hermes 900 miliknya telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu udara ke darat dan bangkainya telah terhempas di wilayah selatan Lubnan, hanya beberapa hari selepas sebuah lagi dron Hermes 900 miliknya juga ditembak jatuh di ruang udara pekan Deif Kifa di selatan Lubnan pada awal bulan ini.
Penganalisis tentera di Timur Tengah menyatakan bahawa dron Hermes 900 yang ditembak jatuh awal hari ini adalah dron kelima milik tentera Israel yang berjaya ditembak dijatuh oleh pejuang Hezbollah sejak konflik tercetus pada Oktober tahun lepas.
Kelima-lima dron tentera Israel yang ditembak jatuh itu terdiri daripada tiga buah dron Hermes 900 dan dua buah dron Hermes 450.
Gambar dan video saat-saat terakhir dron canggih milik tentera Israel itu ditembak jatuh di ruang udara selatan Lubnan telah tersebar di media-media sosial, menyaksikan dron bernilai RM45 juta itu terbakar dan menjunam ke darat.
Dron Hermes 900 atau dipanggil “Kochav” adalah satu daripada aset Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) yang paling canggih dimiliki oleh tentera Israel dan direkabentuk serta dibangunkan oleh syarikat pertahanan negara Yahudi itu, Elbit Systems.
Selain untuk misi-misi ISR, dron Hermes 900 Israel itu juga terlibat dengan misi-misi mengenalpasti sasaran, ISTAR dan pemantauan udara.
Tentera Israel turut menggunakan dron-dron Hermes 900 dan Hermes 450 untuk membedil kenderaan dan lokasi kediaman pemimpin-pemimpin kumpulan Hezbollah serta kumpulan bersenjata Palestin yang lain di selatan Lubnan.
Dioperasikan oleh Skuadron 166 Tentera Udara Israel, dron Hermes 900 mampu membawa muatan seberat 350kg dan terbang setinggi 30,000 kaki.
Dron Hermes 900 itu boleh terbang selama 36 jam dalam satu penerbangan, memberikan ia kemampuan untuk melaksanakan misi-misi jarak jauh dan lama.
Pada akhir Mei lalu, Tentera Amerika Syarikat telah kehilangan sebuah lagi dron MQ-9B Reaper selepas dron berteknologi tinggi yang dianggarkan bernilai US$30 juta (US$141 juta) itu ditembak jatuh oleh pejuang-pejuang Houthi Yemen berkemungkinan besar menggunakan peluru berpandu “Saqr 358.”
Ia adalah dron MQ-9B Reaper milik tentera Amerika Syarikat yang keenam ditembak jatuh di Timur Tengah dan kelima oleh pejuang Houthi di Yemen sejak kebelakangan ini.
Secara keseluruhannya, Amerika Syarikat telah kerugian US$180 juta (RM847 juta) dengan enam dron MQ-9B Reaper yang ditembak jatuh di Timur Tengah, lima daripadanya oleh pejuang Houthi di Yemen.
Tiga daripada dron itu dilaporkan ditembak jatuh pada bulan Mei lalu sahaja.
Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.
Dibangunkan oleh Iran, peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq.
Kini pejuang Hezbollah menggunakan dengan berkesan peluru berpandu “Saqr 358” di selatan Lubnan.
Versatiliti dan keberkesanan peluru berpandu dwi-mod canggih Iran itu menyebabkan “Saqr 358” menjadi senjata pilihan kepada kumpulan-kumpulan proksi Iran di Timur Tengah untuk menangani dron-dron musuh.
Ia memberikan kumpulan-kumpulan itu kemampuan untuk menganggu dan menangani keupayaan pengintipan serta pengawasan oleh pihak musuh terutamanya terutamanya Israel dan Amerika Syarikat.
Peningkatan penggunaan peluru berpandu canggih Iran itu telah memberikan cabaran yang hebat kepada operasi tentera Israel dan Amerika Syarikat terutamanya kepada unit-unit yang bergantung kepada penggunaan dron-dron.
Dengan memusnahkan platform tanpa pemandu Israel dan Amerika Syarikat, Hezbollah dan kumpulan-kumpulan bersenjata pro-Iran yang lain telah mengurangkan kemampuan tentera musuh itu untuk mengawasi serta melaksanakan serangan-serangan tepat (precision strikes) atau pengumpulan maklumat perisikan.
Setakat ini tidak banyak yang diketahui tentang spesifikasi teknikalnya peluru berpandu dwi-mod itu, tetapi “Saqr 358” memiliki panjang hampir 3 meter manakala diameternya peluru berpandunya adalah 152mm.
Berat keseluruhannya adalah 50kg dan menggunakan enjin turbojet yang kecil serta berkemampuan terbang dalam jarak daripada 10km sehingga kepada 100km.
Peluru berpandu canggih Iran itu menggunakan peledak High Fragmentation seberat 10kg dan ia tidak memerlukan sistem pelancaran yang canggih, selain mudah dipindahkan daripada satu lokasi ke satu lokasi.
Peluru berpandu dwi mod itu juga dilihat telah menyertai beberapa perarakan oleh tentera Iran yang memaparkan “Saqr 358.” — DSA