Pelancong Batalkan Tempahan Hotel Di Cyprus Selepas Ancaman Serangan oleh Pemimpin Hezbollah

Laporan media tempatan di Cyprus menyatakan pelancong-pelancong asing mula membatalkan tempatan hotel mereka di pulau peranginan di Mediterranean itu manakala pelancong yang mahu ke pulau itu membatalkan penerbangan mereka, selepas Cyprus diancam oleh Hezbollah.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan media tempatan di Cyprus menyatakan pelancong-pelancong asing mula membatalkan tempatan hotel mereka di pulau peranginan di Mediterranean itu manakala pelancong yang mahu ke pulau itu membatalkan penerbangan mereka, selepas Cyprus diancam oleh Hezbollah.

Ia merupakan perkembangan tidak baik kepada Cyprus yang bergantung kepada sektor pelancongan untuk menjana ekonominya.

Dalam kenyataan terbarunya, pemimpin Hezbollah Hassan Nasrallah mendakwa pulau Cyprus yang terletak lebih 200km daripada Lubnan sedang memberikan bantuan ketenteraan kepada Tentera Udara Israel.

Hezbollah juga menuduh Cyprus membenarkan pulau itu digunakan oleh Israel sebagai pangkalan lojistiknya dalam konfliknya dengan Hezbollah dan Palestin pada ketika ini.

“Kami mendapat maklumat perisikan bahawa Tentera Udara Israel sedang berlatih di Cyprus, untuk menggunakan lapangan terbangnya.”

“Kami memberi amaran kepada Cyprus, sekiranya ia membuka lapangan terbangnya kepada Israel ketika peperangan yang berpotensi berlaku, kami akan menjadikan Cyprus sebagai sebahagian daripada peperangan itu,” kata pemimpin Hezbollah itu.

Menurut laporan, pesawat-pesawat pejuang Israel mula melihat kepada lapangan-lapangan terbang di Cyprus sebagai alternatif sebagai langkah persediaan terhadap kemungkinan pangkalan-pangkalan udara miliknya di dalam Israel diserang dan dimusnahkan oleh Hezbollah.

Sebab itu Tentera Udara Israel mula mencari lapangan terbang alternatif,di mana pesawat-pesawat pejuang boleh melancarkan serangan terhadap kedudukan Hezbollah di selatan Lubnan.

Cyprus sebelum ini sememangnya membenarkan Tentera Udara Israel untuk menggunakan ruang udaranya, walaupun penggunaan ruang udara berlaku ketika di luar waktu konflik.

Selain itu, pulau peranginan di Mediterranean itu juga menempatkan dua buah pangkalan tentera milik Britain iaitu di Akrotiri dan Dhekelia yang kerap kali digunakan oleh pesawat-pesawat kombat Tentera Udara Britain dalam sebarang operasi tenteranya di Timur Tengah.

Pangkalan udara Britain di Cyprus itu turut digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang dan dron milik Britain apabila Iran melancarkan serangan peluru berpandu ballistik dan dron berani mati terhadap Israel beberapa bulan lalu.

Pemimpin Hezbollah Hassan Nasrallah

 

Sementara itu, Presiden Cyprus Nikos Christodoulides menafikan pembabitan negara pulau itu terhadap sebarang operasi ketenteraan terhadap Hezbollah sebagaimana didakwa oleh pemimpin Hezbollah itu.

Beliau menyatakan bahawa Cyprus adalah “sebahagian daripada jalan penyelesaian kepada konflik dan bukan sebahagian daripada konflik.”

Kumpulan bersenjata Hezbollah memiliki pelbagai jenis roket dan dron-dron berani mati yang berkemampuan membedil mana-mana sasaran di pulau Cyprus yang terletak hanya kira-kira 270km daripada Lubnan.

Banyak pihak di Cyprus menyatakan kebimbangan mereka terhadap ancaman terbaru daripada pihak Hezbollah yang diakui memiliki kekuatan untuk melaksanakan ancamannya menyerang pulau peranginan itu. — DSA

CyprusfeaturedHezbollahSerang
Comments (0)
Add Comment