PASKAL, Naval Special Warfare Amerika Syarikat Terlibat Dalam Latihan Bersama CARAT 2024

Menurut kenyataan media sosial TLDM, anggota-anggota PASKAL dan NSW Tentera Laut Amerika Syarikat telah terlibat dalam melaksanakan latihan Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) ke atas kapal Littoral Mission Ship (LMS), KD Rencong.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pasukan Khas Tentera Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Naval Special Warfare (NSW) Tentera Laut Amerika Syarikat telah terlibat dalam latihan bersama semasa Fasa Laut Eksesais CARAT 2024 (Cooperation Afloat Readiness and Training) yang berlangsung di perairan negara.
Eksesais CARAT 2024 di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat itu berlangsung di sekitar Lumut, Subang, dan perairan Utara Selat Melaka bermula pada 29 Okt dan akan berakhir pada Selasa ini.
Menurut kenyataan media sosial TLDM, anggota-anggota PASKAL dan NSW Tentera Laut Amerika Syarikat telah terlibat dalam melaksanakan latihan Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) ke atas kapal Littoral Mission Ship (LMS), KD Rencong.
Kenyataan media sosial itu turut menyertakan gambar-gambar sekitar latihan bersama di antara PASKAL dan NSW Tentera Laut Amerika Syarikat itu.
NSW Tentera Laut Amerika Syarikat adalah komponen pasukan khas tentera laut bagi United States Special Operations Command, yang merupakan pemerintahan bersama pasukan khas yang menguruskan pasukan-pasukan khas tentera negara itu.
(kredit media sosial TLDM)
(kredit media sosial TLDM)
Menurut laporan, NSW Tentera Laut Amerika Syarikat ini terdiri daripada lapan pasukan SEAL, tiga pasukan Special Boat dan pelbagai pasukan bantuan Tentera Laut Amerika Syarikat yang lain, dengan bilangan keanggotaan NSW itu dilaporkan melebihi 9,000 orang.
NSW Tentera Laut Amerika Syarikat itu telah terlibat dalam pelbagai operasi di merata lokasi seluruh dunia.
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Zahani Zainal Abidin TUDM turut telah melawat dan memantau secara langsung pelaksanaan Fasa Laut eksesais CARAT 2024.
“Kehadiran beliau bukan sahaja memberikan inspirasi malah turut menyuntik semangat serta dedikasi kepada seluruh warga yang terlibat. Beliau yang hadir ke kapal USS DEWEY Tentera Laut Amerika Syarikat dengan menaiki helikopter EC 725 milik TUDM dan berpeluang menyaksikan secara langsung latihan Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) yang dilakukan oleh anggota PASKAL dan Naval Special Warfare Team Tentera Laut Amerika Syarikat ke atas kapal KD RENCONG milik TLDM.”
“Lawatan itu menunjukkan komitmen beliau untuk memastikan segala prosedur dan taktikal dipatuhi dengan ketat demi keselamatan dan kejayaan setiap latihan yang dijalankan,” menurut kenyataan media sosial TLDM itu.
(kredit media sosial TLDM)
(kredit media sosial TLDM)
Turut hadir mengikuti lawatan adalah AKS J3 Markas Angkatan Bersama  Mej Jen Dato’ Tong Veng Long TUDM, Commander Task Force 76 Tentera Laut Amerika Syarikat Rear Admiral Christopher D. Stone dan AKS J7 Markas Angkatan Bersama Laksma Ts Dr Shaftdean Lufty Rusland.
Seramai 441 peserta ATM dan 380 peserta USN terlibat dalam Eksesais CARAT 24 ini.
Eksesais CARAT 24 juga menyaksikan penglibatan aset-aset ATM seperti KD TERENGGANU, KD RENCONG, dua buah pesawat pejuang  F/A-18D Hornet, sebuah helikopter Fennec, sebuah helikopter EC 725 dan Fast Combat Boat (FCB) manakala aset-aset USN pula seperti terdiri daripada kapal destroyer kelas-Arleigh Burke,  USS DEWEY, sebuah pesawat peronda maritim P-8A Poseidon dan sebuah helikopter MH-60S.
Timbalan komodor Destroyer Squadron 7 dan ketua delegasi Amerika Syarikat pada majlis perasmian Eksesais CARAT 2024 Capt John Baggett beberapa hari lalu dilaporkan berkata,”Tahun ini menandakan ulangtahun ke-30 Eksesais CARAT yang membuktikan tentang kekuatan dan ketahanan kerjasama di antara Amerika Syarikat dan Malaysia.”
“Di dalam tempoh tiga dekad, kita telah membina asas yang asas kukuh bersandarkan kepada kepercayaan dan kerjasama yang memberikan faedah kepada kedua-dua negara.
(kredit media sosial TLDM)
Insignia Naval Special Warfare Tentera Laut Amerika Syarikat
Eksesais sebegini menunjukkan kerjasama yang baik di antara kedua-dua angkatan tentera dan menekankan rasa hormat di antara satu sama lain,” kata beliau, sebagaimana dilaporkan oleh portal Tentera Laut Amerika Syarikat.
Eksesais CARAT 2024 membina atas kerjasama erat selama 67 tahun di antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Menurut laporan di dalam portal Tentera Laut Amerika Syarikat, Eksesais CARAT 2024 itu membuktikan dedikasi berterusan negara itu terhadap kedamaian, kestabilan dan keselamatan di rantau itu.
Selain itu, latihan ketenteraan itu merupakan simbol komiten Amerika Syarikat terhadap rakan-rakan ASEAN untuk mengukuhkan lagi ASEAN Centrality, menyokong Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. — DSA

 
AmerikaCaratfeaturedPaskal
Comments (1)
Add Comment