(VIDEO) Pakistan Uji Peluru Berpandu Ballistik Anti-Kapal “SMASH”, Berkemampuan Bedil Sasaran 350km

(VIDEO) Dengan jarak bedilan mencecah 350km, peluru berpandu ballistik anti-kapal “SMASH” (dipanggil P282) meningkatkan kemampuan serangan dan pertahanan dimiliki oleh Tentera Laut Pakistan terutamanya dalam Anti-Area Access Denial.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Pakistan telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu ballistik anti-kapal (Anti-Ship Ballistic Missile ASBM) terbaru miliknya, menurut kenyataan dikeluarkan olehnya pada 5 Nov lalu menerusi media sosial.
Menurut kenyataan itu, peluru berpandu ballistik anti-kapal itu mempunyai jarak sasaran sejauh 350km dan berupaya membedil sasaran di daratan dan lautan.
Laporan menyatakan bahawa peluru berpandu ballistik anti-kapal Pakistan itu dibina oleh pakar-pakar persenjataan negara itu.
Tidak banyak maklumat tentang peluru berpandu ballistik anti-kapal milik Pakistan itu, tetapi kenyataan yang dikeluarkan menyatakan bahawa peluru berpandu itu “dilengkapi dengan sistem navigasi moden dan ciri-ciri manuver yang tinggi.
Dalam video yang menunjukkan pelancaran peluru berpandu itu, ia menunjukkan peluru berpandu terbabit dilancarkan daripada salah sebuah kapal friget kelas-Zulfiquar (F-22P).
Video itu menunjukkan peluru berpandu itu berjaya membedil sasarannya dengan darjah ketepatan yang tinggi.
Tentera Laut Pakistan mengoperasikan empat buah kapal friget kelas-Zulfiquar yang dibina berdasarkan rekabentuk kapal perang Tentera Laut China Type 053 yang dilengkapi dengan lapan buah pelancar peluru berpandu.
Dalam video itu, terdapat perkataan “SMASH” tertera pada peluru berpandu yang memungkinkan bahawa tentera Pakistan menamakan peluru berpandu itu.
Ujian peluru berpandu ballistik anti-kapal dinamakan “SMASH” itu telah disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan Tentera Laut Pakistan, jurutera-jurutera dan saintis senjata negara itu.
Presiden, Perdana Menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan mengucapkan tahniah kepada Tentera Laut Pakistan yang berjaya melancarkan ujian pelancaran peluru berpandu itu.

Dengan jarak bedilan mencecah 350km, peluru berpandu ballistik anti-kapal “SMASH” (dipanggil P282) meningkatkan kemampuan serangan dan pertahanan dimiliki oleh Tentera Laut Pakistan terutamanya dalam Anti-Area Access Denial.
Selain berkemampuan membedil sasaran darat dan laut, teknologi navigasi membolehkannya mengubah arah dan kelajuan ketika dalam penerbangan, menjadikannya sistem peluru berpandu yang sukar untuk dipintas oleh sistem pertahanan udara.
Peluru berpandu ballistik anti-kapal “SMASH” memperkuatkan lagi keseimbangan strategik Pakistan di kawasan Lautan Hindi.
Peluru berpandu ballistik anti-kapal dibangunkan oleh Pakistan itu berkongsi spesifikasi yang sama dengan peluru berpandu ballistik anti-kapal CM-401 yang dibangunkan oleh China, berkemampuan membedil kapal-kapal bersaiz besar dan sederhana.
Kerjasama erat antara Pakistan dan China dalam membangunkan teknologi ketenteraan membuktikan hubungan pertahanan yang rapat antara kedua-dua negara.

Export persenjataan China ke Pakistan adalah aspek dasar luar yang penting buat Beijing, sekaligus membenarkan negara Asia Selatan itu meningkatkan kemampuan ketenteraannya.
Kerjasama yang rapat di antara kedua negara sekutu membolehkan Islamabad memiliki sistem persenjataan halimunan, tepat dan laju, dimana ia adalah sukar diperolehi jika ia bergerak berseorangan tanpa menyekutukan dirinya dengan kuasa besar seperti China. — DSA

featuredKapalPakistanSMASH