Pakistan Terima Pesawat Peronda Maritim Jarak Jauh Pertama Bawah Projek “Sea Sultan” Pada 2026

Pada 2021, Pakistan menganugerahkan kontrak kepada syarikat Leonardo dan Paramount untuk mengubahsuai tiga buah pesawat komersial Embraer Lineage 1000 kepada pesawat peronda maritim jarak jauh, sebagai usaha jangka panjangnya untuk menggantikan pesawat peronda maritim P-3C Orion miliknya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Pakistan dijadual menerima pesawat peronda maritim (MPA)  jarak jauh pertamanya yang diubahsuai daripada pesawat komersial Embraer Lineage 1000 oleh syarikat Leonardo dan Paramount Aerospace Systems pada 2026.
Pada 2021, Pakistan menganugerahkan kontrak kepada syarikat Leonardo dan Paramount untuk mengubahsuai tiga buah pesawat komersial Embraer Lineage 1000 kepada pesawat peronda maritim jarak jauh, sebagai usaha jangka panjangnya untuk menggantikan pesawat peronda maritim P-3C Orion miliknya.
Syarikat Paramount Aerospace diberikan tugas untuk melaksanakan kerja-kerja MRO (Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) sebagai sebahagian daripada projek pengubahsuaian pesawat itu yang diberikan nama “Projek Sea Sultan”.
Tiga buah pesawat Embraer Lineage 1000 itu akan dilengkapkan dengan penderia-penderia Electronic Support Measures/Electronic Intelligence (ESM/ELINT), electro-optical, radar Active Electronically Scanned Array (AESA), komunikasi satelit, chaff/flare dan juga torpedo/sonobuoy dan depth charge.
Menurut Ketua Staf Tentera Laut Pakistan Laksamana Naveed Ashraf, kemasukan tiga buah kapal peronda maritim jarak jauh Embraer Lineage 1000 ke dalam Tentera Laut Pakistan adalah “penambahan menakjubkan” kepada keupayaan kemampuan rondaan maritim tentera laut negara itu.
“Pesawat tersebut (Embraer Lineage 1000) kini sedang menjalani proses modifikasi di Afrika Selatan dan dijangka akan dihantar (ke Pakistan) pada tahun 2026, dengan penghantaran seterusnya dirancang secara berperingkat dalam usaha untuk memodenkan penerbangan tentera laut kami.”
“Dengan teknologi terkini, Sea Sultan akan melengkapkan platform sedia ada seperti P-3C Orion dan ATR 72 yang lebih lama, sambil menawarkan prestasi yang lebih unggul dari segi jarak operasi, ketahanan, peperangan anti-kapal selam, dan keupayaan menentang kapal perang permukaan,” katanya.
Tentera Laut Pakistan telah pun menyatakan hasrat untuk menggantikan sepenuhnya peswat-pesawat peronda maritim P-3C Orion dengan 10 buah peswat komersial yang diubah suai kepada pesawat peronda maritim.
Pada September 2021, Tentera Laut Pakistan telah menerima pesawat pertama Embraer Lineage 1000 dalam satu majlis di Stesen Tentera Laut Pakistan Mehran, Karachi.
Pesawat ini belum dimodifikasi kepada pesawat peronda maritim jarak jauh dan telah digunakan untuk latihan kru.
Pesawat Embraer Lineage 1000 sebelum diubahsuai kepada pesawat peronda maritim jarak jauh Pakistan dibawah projek “Sea Sultan”
Selain Paramount, beberapa syarikat Afrika Selatan lain turut terlibat dalam projek Sea Sultan untuk mengubahsuai pesawat komersial Embraer Lineage 100 kepada pesawat peronda maritim jarak jauh.
Syarikat kejuruteraan aeroangkasa, Aerosud, telah diberi kontrak untuk membekalkan dua set bahagian dalaman pesawat.
Selepas fasa reka bentuk selama 18 bulan, Aerosud telah memulakan pembuatan komponen dalaman untuk konfigurasi misi khas.
Konfigurasi ini merangkumi komponen khusus seperti dapur kecil (galley), meja pemerhati, pemisah ruang, dan ruang simpanan peralatan, dengan tarikh siap dijadualkan pada pertengahan 2025.
“Kontrak ini bukan sahaja menyerlahkan keupayaan teknikal Aerosud tetapi juga pendekatan strategiknya dalam kerjasama dan pelaksanaan projek. Dengan bekerjasama dengan Paramount Aerospace Systems, Aerosud terus mengembangkan portfolio projeknya, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal dipercayai dalam industri aeroangkasa,” menurut kenyataan syarikat itu. — DSA
EmbraerfeaturedPakistanSea Sultan
Comments (0)
Add Comment