Pesawat Pejuang J-10C Pakistan “Bertembung” Dengan Eurofighter Typhoon Milik Qatar

Menurut Tentera Udara Pakistan lagi, pesawat-pesawat pejuang J-10C miliknya akan “berhadapan” dengan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tentera Udara Qatar yang berpotensi memberikan juruterbangnya  maklumat tentang keberkesanan pesawat pejuang buatan China apabila berhadapan dengan platform buatan Barat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Tentera Udara Qatar dan J-10C milik Tentera Udara Pakistan “bertembung” dalam latihan udara dinamakan “Zilzal-II” yang dianjurkan oleh Qatar.

Ia adalah pertemuan pertama bagi pesawat-pesawat pejuang dengan rekabentuk canard.

Menurut pengumuman oleh Tentera Udara Pakistan, latihan udara Zilzal-II itu memberikan senario peperangan udara yang realistic dan menguji persediaan operasi oleh tentera-tentera udara yang menyertainya.

Latihan udara “Zilzal-II” itu merupakan kerahan luar negara yang pertama bagi pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan sejak ia ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera udara negara Asia Selatan itu pada Mac tahun lepas.

Kenyataan oleh Tentera Udara Pakistan itu tidak menjelaskan jumlah sebenar pesawat pejuang J-10C miliknya yang dikerah ke Qatar untuk menyertai latihan udara itu di sebuah pangkalan udara di Doha, Qatar.

Latihan udara diadakan di pangkalan udara di Doha dan tidak di sebuah lagi pangkalan udara Al-Udeid yang dipercayai turut menempatkan pesawat-pesawat pejuang milik Amerika Syarikat yang berkemungkinan sedang sibuk melancarkan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan bersenjata Houthi di Yemen pada ketika ini.

Pesawat J-10C Pakistan

 

Menurut Tentera Udara Pakistan lagi, pesawat-pesawat pejuang J-10C miliknya akan “berhadapan” dengan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tentera Udara Qatar yang berpotensi memberikan juruterbangnya  maklumat tentang keberkesanan pesawat pejuang buatan China apabila berhadapan dengan platform buatan Barat.

Kedua-dua buah pesawat pejuang itu dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan boleh menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) seperti Meteor oleh MBDA dan PL-15.

“Penyertaan pesawat-pesawat pejuang J-10C Pakistan dalam latihan udara itu menandakan detik penting langkah Tentera Udara Pakistan untuk menjadi tentera udara yang berteknologi tinggi dan kuat.”

“Perolehan dan pengoperasian pesawat-pesawat pejuang ini menunjukkan dedikasi Tentera Udara Pakistan untuk mengekalkan pasukan yang berteknologi tinggi, berkemampuan untuk berhadapan dengan cabaran untuk mempertahankan ruang udara Pakistan,” menurut kenyataan itu.

Dalam latihan Zilzal-I yang diadakan pada 2020, menyaksikan pesawat pejuang J-17 milik Tentera Udara Pakistan beroperasi dengan pesawat pejuang Mirage 2000 milik Tentera Udara Qatar, selain F-15 dan Rafale.

Pesawat pejuang J-17 “Thunder dibangunkan secara bersama oleh Pakistan dan China.

Pesawat Typhoon Qatar

 

Pada awal tahun 2022, dalam usahanya untuk bersaing dengan pesawat-pesawat Rafale yang diperolehi oleh India, Pakistan mengumumkan bahawa ia telah pun membeli 25 buah pesawat pejuang J-10 secara “senyap-senyap” daripada China.

Pesawat satu enjin J-10 itu dibangunkan oleh oleh Chengdu Aircraft Corporation.

Menurut Menteri Dalam Negeri Pakistan Sheikh Rasheed Ahmad pada ketika itu, perolehan 25 buah pesawat J-10 oleh Pakistan daripada China itu merupakan usaha negara itu untuk bersaing dengan 36 buah pesawat dua enjin Rafale buatan Perancis yang diperolehi oleh seteru utamanya itu.

Pakistan dan India adalah seteru utama dan kedua-dua angkatan tentera itu telah berperang beberapa kali terutamanya berkenaan isu Kashmir, sebuah wilayah yang majoritinya adalah beragama Islam tetapi diperintah oleh India.

Pakistan memperolehi varian terkini pesawat J-10 iaitu versi “C” yang dilengkapi dengan peralatan terkini seperti Active Electronically Scanned Array (AESA) dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “PL-15”.

Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu dikatakan dibangunkan dengan bantuan pakar-pakar daripada Russia dan memilik jarak effektif di antara 200km hingga 300km, sebagaimana didakwa oleh China.

Peluru berpandu PL-15 itu juga didakwa adalah pesaing utama kepada peluru berpandu udara-ke-udara keluaran Amerika Syarikat iaitu AIM-120 “AMRAAM.”

Pesawat J-10C itu juga dikatakan menggunakan enjin keluaran syarikat tempatan China dipanggil “WS-10C” dan bukan enjin Saturn AL-31F yang dibangunkan oleh Russia bagi mengelak kompleksiti dalam penjualan pesawat itu kepada Pakistan. — DSA 

featuredJ-10CPakistanQatarTyphoon
Comments (1)
Add Comment