Tentera Laut Pakistan Diperkuatkan, Pembinaan Kapal Selam Kelas-Hangor Bermula

Pakistan dan China telah menandatangani perjanjian untuk pembinaan lapan buah kapal selam kelas-Hangor dengan empat buah daripada kapal selam itu dibina di limbungan kapal KS&EW di Pakistan dibawah pemindahan teknologi manakala empat lagi kapal selam itu dibina oleh Wuchang Shipbuilding Industri di China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China terus menjadi pembekal senjata utama kepada Pakistan, apabila pembinaan kapal selam kedua kelas-Hangor milik tentera lautnya di Karachi Shipyard & Engineering Works (KS&EW) telah bermula secara rasmi beberapa hari lalu.

Ketua Staf Tentera Laut Pakistan Laksamana Naveed Ashraf menyaksikan upacara simbolik pembinaan rasmi kapal selam kedua kelas-Hangor itu.

Pakistan dan China telah menandatangani perjanjian untuk pembinaan lapan buah kapal selam kelas-Hangor dengan empat buah daripada kapal selam itu dibina di limbungan kapal KS&EW di Pakistan dibawah pemindahan teknologi manakala empat lagi kapal selam itu dibina oleh Wuchang Shipbuilding Industri di China.

Kapal selam kelas-Hangor pertama di dilancarkan pembinaan secara rasmi di Pakistan pada Disember 2022.

Kapal selam kelas-Hangor adalah varian eksport bagi kapal selam Type 039A/041 kelas-Yuan yang kini dioperasikan oleh Tentera Laut China.

Kelapan-lapan kapal selam terbabit perlu dihantar kepada Tentera Laut Pakistan sebagai operatornya di antara tahun 2022 dan 2028, sebagaimana syarat kontrak yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Kapal selam kelas-Hangor itu memiliki panjang keseluruhan 76 meter dan mempunyai berat 2,800 tan, selain dipercayai turut dilengkapi dengan Air Independent Propulsion (AIP).

Kesemua kapal-kapal selam terbaru Tentera Laut Pakistan sudah semestinya akan memperkuatkan lagi kemampuan maritim negara Asia Selatan itu, terutamanya apabila berhadapan dengan musuh tradisinya, India.

Mengenai sistem persenjatannya, pemerhati ketenteraan di rantau itu menyatakan terdapat kemungkinan Pakistan dan China akan melengkapkan kapal selam kelas-Hangor itu dengan peluru berpandu kruis lancaran kapal selam (Submarine-Launched Cruise Missile) Babur-3.

Peluru berpandu Babur-3 itu yang dibangunkan oleh National Defence Complex, Pakistan boleh dilengkapi dengan peledak nuklear serta konvensional dan berkemampuan membedil sasaran sejauh 450km.

Type 039A
Pelancaran peluru berpandu kruis “Babur-3”

 

Pada ketika ini, Tentera Laut Pakistan mengoperasikan tiga buah kapal selam Agosta 90B yang dilengkapi dengan teknologi AIP.

Kapal-kapal Agosta 90B itu telah menjalani Mid-Life Upgrade (MLU) dibawah kontrak yang ditandatangani dengan syarikat Turkiye, STM pada 2016 di mana syarikat itu bertindak sebagai kontraktor utamanya.

Ia telah pun menyerahkan kapal selam pertama yang telah menjalani kerja-kerja naiktaraf dibawah MLU pada 2020 iaitu PNS Hamza.

Usaha-usaha naik taraf kapal selam Agosta 90B itu melibatkan pemodenan Fire Control System, Sonar Suite, Electronic Warfare System, Radar dan Periscope System (Navigation and Assault). — DSA

 

featuredHangorKapal SelamPakistan