Pakistan Dakwa Tentera India Bakal Melakukan “Pencerobohan” Terhadapnya Tidak Lama Lagi
Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Muhammad Asif dilaporkan berkata bahawa negara Asia Selatan itu telah menambah kekuatan tenteranya bagi berhadapan dengan pencerobohan oleh tentera India yang didakwanya berlaku tidak lama lagi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakistan mendakwa “pencerobohan” anggota tentera India terhadap negara itu bakal berlaku tidak lama lagi, sebagai tindak balas oleh New Delhi terhadap insiden keselamatan di Pahalgam di Jammu dan Kashmir mengorbankan 26 orang yang didakwanya dilakukan oleh Islamabad.
Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Muhammad Asif dilaporkan berkata bahawa negara Asia Selatan itu telah menambah kekuatan tenteranya bagi berhadapan dengan pencerobohan oleh tentera India yang didakwanya berlaku tidak lama lagi.
Beliau juga berkata bahawa Pakistan sedang berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tertinggi dan negara itu akan hanya menggunakan senjata nuklear dimilikinya sekiranya “terdapatnya ancaman terhadap kewujudannya.”
“Kita telah memperkukuhkan pasukan kita kerana perkara ini kini dianggap semakin hampir berlaku. Oleh itu, dalam situasi sebegini, beberapa keputusan strategik perlu dibuat, dan keputusan-keputusan itu telah pun diambil,” kata beliau dalam satu temu bual bersama agensi berita anterabangsa, Reuters di pejabatnya di Islamabad.
Beliau berkata bahawa retorik berkenaan ketegangan kedua-dua negara semakin meningkat dan pihak tentera Pakistan telah memberikan penerangan kepada kerajaan negara itu tentang kemungkinan tindakan ketenteraan oleh India.
Beliau tidak menerangkan dengan lebih lanjut tentang dakwaan beliau berkenaan kemungkinan tindakan ketenteraan oleh India yang berlaku itu.
Sejak beberapa hari lalu, pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India termasuk Rafale dan kapal-kapal perang tentera laut negara itu telah terlibat dalam latihan tentera, dipercayai sebagai respons ketegangan dengan Pakistan.
Pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India
Walaupun sumber rasmi menyifatkannya sebagai latihan rutin, insiden-insiden sebelum ini menunjukkan bahawa latihan seumpama itu sering menjadi petanda kepada persiapan menghadapi konflik yang lebih besar.
Hakikat bahawa IAF mengerahkan pesawat pejuang tercanggihnya, Rafale, dalam latihan yang dinamakan Aakraman (serangan), serta penglibatan juruterbang terbaik mereka, jelas menunjukkan betapa besar dan seriusnya skala latihan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada latihan itu, juruterbang IAF dilaporkan telah melaksanakan latihan serangan darat berintensiti tinggi merentasi pelbagai bentuk muka bumi, termasuk kawasan berbukit.
Latihan besar-besaran itu turut melibatkan skuadron pesawat-pesawat Su-30MKI milik IAF.
Besar skala operasi tersebut dapat diukur apabila beberapa aset IAF dipindahkan dari pelbagai pangkalan udara, termasuk dari kawasan timur.
Latihan itu juga merangkumi penerbangan jarak jauh dan pengeboman tepat ke atas sasaran di lokasi jauh, biasanya bertujuan untuk misi serangan jarak dalam.
Kapal destroyer Tentera Laut India “INS Ranvijay.”
Tentera Laut India juga telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu Medium-Range Surface-to-Air Missile (MR-SAM) dalam satu lagi mesej jelas yang ditujukan kepada Pakistan, selepas apa yang berlaku di Pahalgam di Jammu dan Kashmir.
Dalam ujian pelancaran peluru berpandu pertahanan udara yang diadakan di Laut Arab itu, kapal pemusnah peluru berpandu Tentera Laut India, INS Surat telah melaksanakan ujian pelancaran MR-SAM yang dibangunkan bersama-sama Israel.
Peluru berpandu pertahanan udara MR-SAM itu yang mempunyai jarak effektif sejauh 70km hingga 100km berjaya memusnahkan sasarannya, menunjukkan bahawa ia adalah amat berkesan dalam menangani ancaman peluru berpandu dan pesawat-pesawat tempur musuh.
“Kapal Tentera Laut India telah berjaya melaksanakan beberapa ujian pelancaran peluru berpandu yang membuktikan kesiapsiagaan platformnya, krew dan aset-aseatnya untuk melaksanakan serangan jarak jauh, “ menurut kenyataan Tentera Laut India menerusi platform media sosial X.
Seorang pegawai kerajaan yang dipetik oleh media tempatan negara itu menyatakan bahawa, “Ujian tembakan peluru berpandu anti-kapal yang terbaru ini menunjukkan keupayaan kapal untuk berubah peranan daripada keadaan aman kepada mod tempur, ketika masih berada di laut tanpa perlu kembali ke pangkalan.”
Peluru berpandu Medium Range Surface-to-Air Missile (MR-SAM) adalah sistem pertahanan udara canggih yang dibangunkan bersama oleh syarikat pertahanan Israel, Israel Aerospace Industries (IAI), dan Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan India (DRDO).
Kapal Tentera Laut India INS Surat melancarkan peluru berpandu MR-SAM
Sistem MR-SAM direka khusus untuk memintas pelbagai ancaman udara termasuk pesawat pejuang, helikopter, dron, peluru berpandu kruis serta peluru berpandu anti-radiasi pada jarak sederhana antara 70 hingga 100 kilometer.
Dengan menggunakan teknologi radar AESA (Active Electronically Scanned Array) pelbagai fungsi yang sangat sensitif, MR-SAM berupaya mengesan, mengenal pasti, menjejak, dan seterusnya memusnahkan sasaran dengan ketepatan yang tinggi dalam pelbagai keadaan cuaca serta persekitaran peperangan elektronik.
Kapal pemusnah peluru berpandu INS Surat (D69) adalah sebuah kapal perang moden kelas Visakhapatnam milik Tentera Laut India, yang direka khusus bagi melaksanakan misi pertahanan udara, peperangan anti kapal selam, peperangan anti kapal permukaan serta pertahanan strategik maritim.
Dibina oleh Mazagon Dock Shipbuilders Limited (MDL) yang berpangkalan di Mumbai, INS Surat dilancarkan secara rasmi pada 17 Mei 2022 dan merupakan kapal keempat daripada empat kapal pemusnah kelas Visakhapatnam yang dibangunkan di bawah projek Project-15B.
Sebagai kapal pemusnah generasi baharu, INS Surat memiliki keupayaan tempur dan daya tahan yang tinggi, dilengkapi dengan sistem persenjataan tercanggih termasuk peluru berpandu supersonik anti kapal BrahMos, sistem pertahanan udara MR-SAM, peluru berpandu anti kapal selam, serta torpedo berat.
Pesawat pejuang JF-17 Pakistan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15.
Beberapa hari lalu, tentera Pakistan telah mengeluarkan gambar-gambar pesawat pejuang JF-17 “Thunder” miliknya dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 buat pertama kali.
Bukan itu sahaja, gambar-gambar dikeluarkan oleh tentera Pakistan juga menunjukkan pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkan bersama oleh Pakistan dan China dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat, PL-10.
Laporan menyatakan bahawa China telah mempercepatkan penghantaran peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 kepada Pakistan, bagi membolehkan negara sekutu Asia Selatannya itu berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang India seperti Rafale dan Su-30MKI.
Ia adalah respons China terhadap ketegangan yang semakin memuncak dalam hubungan di antara Islamabad dan New Delhi, sejurus selepas insiden yang berlaku di Pahalgam, yang terletak di wilayah Jammu dan Kashmir.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).
Pesawat pejuang JF-17 Pakistan dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15.
Dibangunkan oleh China Academy of Launch Vehicle Technology (CALT), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
PL-15 dipercayai mempunyai jarak operasi melebihi 300km, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara dengan jarak tembakan paling jauh di dunia.
Menurut penganalisis ketenteraan serantau, kehadiran peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang berkeupayaan tinggi dengan jarak jangkauan sehingga 300 kilometer akan memberikan Pakistan kemampuan melancarkan serangan terhadap sasaran musuh pada jarak jauh, sekali gus meningkatkan radius operasi tempur pesawat JF-17 miliknya.
Ia juga bakal mewujudkan cabaran taktikal yang serius kepada Angkatan Udara India (IAF), terutamanya bagi pesawat-pesawat tempur utama seperti Su-30MKI, Rafale, dan Mirage 2000, yang mungkin terpaksa mengubah taktik operasi udara masing-masing.