Pakar Pertahanan Russia Bimbang Radar Canggih “Podlet-K1” Dirampas Pejuang Syria
Sistem radar canggih “Podlet-K1” yang berjaya "ditawan" oleh kumpulan pejuang Syria itu adalah aset kritikal dalam infrastruktur pertahanan Russia yang biasanya bergandingan dengan sistem pertahanan udara S-400 dan S-300PMU-2.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakar-pakar dan pemerhati pertahanan Russia melahirkan kebimbangan berikutan laporan menyatakan bahawa sistem radar canggih dinamakan 48Ya6-K1 “Podlet-K1”, telah dirampas oleh kumpulan pejuang di Syria.
Sistem radar canggih “Podlet-K1” yang berjaya “ditawan” oleh kumpulan pejuang Syria itu adalah aset kritikal dalam infrastruktur pertahanan Russia yang biasanya bergandingan dengan sistem pertahanan udara S-400 dan S-300PMU-2.
Menurut sumber-sumber tempatan dan laporan daripada kumpulan pejuang Syria, sistem radar terbabit telah dirampas semasa kumpulan pejuang itu mara ke kawasan yang sebelum ini diduduki oleh pasukan tentera darat Syria.
Radar moden ini yang dianggarkan bernilai sekitar USD$5 juta (RM22 juta), berpotensi memberikan maklumat-maklumat yang amat berguna kepada angkatan tentera Barat atau Ukraine sekiranya sistem pertahanan moden itu jatuh ke tangan mereka.
Ia berpotensi menjejaskan strategi pertahanan Russia.
“Sistem radar Podlet-K1, yang juga dikenali dengan nama 48Ya6-K1, merupakan salah satu peralatan moden dalam inventori ketenteraan Russia. Ia telah digunakan dalam konflik di Ukraine dan akan menjadi aset risikan yang sangat berharga sekiranya ia jatuh ke tangan negara-negara Barat.”
RINGKASAN:
Pakar pertahanan Russia bimbang selepas laporan menyatakan radar canggih 48Ya6-K1 “Podlet-K1” dirampas oleh kumpulan pejuang di Syria. Radar, bernilai sekitar USD 5 juta, merupakan elemen penting dalam pertahanan udara Russia, digunakan bersama sistem S-400 dan S-300PMU-2.
Menurut laporan, radar itu ditawan semasa kumpulan pejuang mara ke kawasan yang dikuasai tentera Syria, dengan gambar radar di casis trak KamAZ-6350 muncul di media sosial. Lokasi tepat dan tarikh rampasan belum disahkan, namun dipercayai berlaku sekitar bandar Hama.
Radar Podlet-K1, yang mampu mengesan sasaran sejauh 300 km dan setinggi 10 km, memainkan peranan utama dalam sistem amaran awal dan pertahanan udara berlapis Russia. Kehilangan radar ini menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh dianalisis oleh Ukraine atau NATO, mendedahkan kelemahan ketara dalam sistem pertahanan Russia, terutamanya terhadap peluru berpandu Barat seperti Storm Shadow dan Neptune.
Belum jelas sama ada radar itu dimiliki tentera Syria atau dioperasikan oleh pasukan Russia. Laporan mendakwa ia dirampas daripada Divisyen Pasukan Khas Ke-25 Syria, tetapi ada kemungkinan ia diuruskan bersama oleh Russia. Rampasan ini dianggap sebagai ancaman besar terhadap strategi pertahanan udara Russia di rantau tersebut.
Gambar radar Podlet-K1 yang ditawan itu, dipasang pada chassis trak KamAZ-6350 8×8 baru-baru ini telah memenuhi media-media sosial, walaupun tarikh sebenar gambar itu diambil masih tidak jelas.
Selain itu, lokasi tepatnya dimana sistem radar canggih itu ditawan juga belum disahkan, namun ada yang mencadangkan ia ditawan semasa pertempuran di sekitar bandar Hama, di bahagian tengah-barat Syria.
Seorang blogger ketenteraan terkenal Russia memberi amaran tentang kemungkinan implikasi serius berhubung situasi penawanan radar canggih milik Russia itu.
“Memandangkan radar ‘Podlet-K1’ adalah salah satu sistem utama untuk mengesan ancaman-ancaman yang bergerak pantas dan rendah seperti peluru berpandu Storm Shadow dan Neptune, kemungkinan teknologi ini dipindahkan ke Ukraine atau negara Barat untuk dianalisis membawa implikasi yang sangat serius dalam jangka masa panjang,” menurut beliau.
Radar Podlet mampu mengesan sasaran dalam jarak antara 200 hingga 300 kilometer dan pada altitud sehingga 10 kilometer, beroperasi dengan berkesan dalam mod altitud rendah, altitud tinggi, jarak jauh, dan kawasan berbukit.
Radar ini merupakan elemen penting dalam sistem amaran awal dan penetapan sasaran untuk sistem peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) canggih seperti S-400 dan S-300, yang digunakan oleh Russia untuk melindungi ruang udaranya daripada peluru berpandu kruis dan pesawat-pesawat kombat musuh.
Kehilangan sistem radar canggih Podlet-K1 ini dianggap sebagai suatu perkembangan besar memandangkan kepentingannya dalam strategi pertahanan udara berlapis (layered air defence) yang digunakan oleh pasukan Russia dan Syria.
Pakar-pakar pertahanan di Moscow bimbang sekiranya Barat menganalisis radar ini secara mendalam oleh sama ada oleh Ukraine atau NATO, ia akan dapat mendedahkan kelemahan ketara dalam sistem pertahanan udara Russia.
Pengetahuan sedemikian boleh menjejaskan keberkesanan sistem ini dalam memintas peluru berpandu buatan kuasa-kuasa Barat yang kini digunakan secara meluas di Ukraine dalam konflik dengan tentera Russia.
Pada ketika ini, masih tidak jelas sama ada radar canggih Podlet-K1 itu merupakan sebahagian daripada Angkatan Tentera Syria atau milik unit-unit tentera Russia yang beroperasi di negara Timur Tengah tersebut, walaupun sistem pertahanan udara Syria dan Russia diketahui mempunyai kerjasama rapat dalam beberapa aspek.
Terdapat laporan tidak rasmi yang mendakwa sistem radar Podlet K-1 telah dirampas daripada Divisyen Pasukan Khas Ke-25 Tentera Syria, namun tidak dapat menolak kemungkinan bahawa sistem tersebut dioperasikan oleh tentera Russia yang ditempatkan bersama unit tersebut. — DSA