(DEFENCE SECURITY ASIA) – Adakah Tentera Darat bakal mengoperasikan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana (ATGW-MR) daripada Turki?
Pada akhir tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah pun mengiklankan tender untuk memperolehi sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana yang akan digunakan oleh platun-platun anti-kereta kebal di peringkat battalion infantri tentera darat.
Perolehan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana yang baru itu dipercayai untuk menggantikan sistem Metis-M daripada Russia dan Bakhtar Shikan daripada Pakistan (klon daripada Hongjian HJ-8 China) yang agak berusia.
Sebagaimana yang kita ketahui, banyak pihak berminat untuk membekalkan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana mereka kepada Tentera Darat termasuk daripada Korea Selatan.
Bagaimanapun terdapat spekulasi mengatakan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana keluaran Turki OMTAS (Orta Menzilli Tanksavar Sistemi) yang dibangunkan oleh firma Roketsan berkemungkinan menjadi pilihan Tentera Darat.
Sistem OMTAS ini digunakan oleh Tentera Darat Turki bagi menggantikan sistem TOW dan Milan, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia telah pun melihat aksi di beberapa konflik yang melibatkan negara itu.
Bagaimanapun, sekiranya sistem OMTAS ini terpilih, ia hanya mengesahkan bahawa sistem-sistem persenjataan Turki semakin mendapat tempat di hati Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selari dengan hubungan baik kedua-dua negara.
Nampaknya, selepas kenderaan berperisai “Adnan” dan “Gempita”, ATM bakal menggunakan lebih banyak sistem persenjataan buatan Turki.
OMTAS ini adalah sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana generasi ke-4 yang amat berkesan untuk memusnahkan kenderaan-kenderaan berperisai, kubu-kubu diperkukuhkan serta kereta-kereta kebal utama (main battle tanks).
Satu sistem OMTAS ini terdiri daripada peluru berpandu itu sendiri, platform pelancarnya dan fire control unit, dengan keseluruhan berat sistem itu mencecah sehingga 35kg yang menjadikan sistem ini amat bersesuaian untuk digandingkan dengan sebuah kenderaan (untuk mobiliti yang lebih baik di medan konflik).
Bagaimanapun, pelancaran sistem OMTAS ini boleh dilakukan tripod, platform darat yang stabil serta remote-controlled turret.
Ia juga adalah sistem yang boleh beroperasi siang dan malam serta segala bentuk keadaan cuaca.
Bagi kepala peledaknya, sistem boleh dilengkapkan dengan Tandem-Charged High Explosive Anti Tank (HEAT) untuk kenderaan perisai serta kereta kebal utama dan juga High-Explosive Fragmentation untuk kedudukan infantry.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Cara serangan OMTAS pula adalah sama ada Direct Attack atau Top Attack, fire-and-forget atau fire-and-update.
Mengenai kemampuannya menembusi armor kereta kebal utama, firma Roketsan tidak mendedahkan ketebalan reaktif armor yang boleh ditembusi oleh peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana OMTAS tetapi dijangkakan ia tidak kurang 1000mm.
Sistem OMTAS ini boleh membedil sasaran dengan ketepatan yang tinggi sehingga 4km jauhnya. — DSA